Thursday, June 13, 2024

Rasa seperti isi ayam, tak hanyir

hmetro.com.my
Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Ikan bandaraya yang akan diproses untuk menghasilkan makanan ikan di kolam ternakan ikan talapia di Kampung Tebing Tinggi. FOTO AZRUL EDHAM

Kuala Pilah: Tidak ramai mahu menjadikan ikan bandaraya sebagai juadah kerana bentuk fizikal dan cara pemakanannya, namun ada individu yang bijak mengambil faedah daripada haiwan akuatik ini.

Ahli Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB), Ahmad Nawawi Husin, 31, berkata, isi ikan bandaraya boleh dijadikan makanan haiwan ternakan dan peliharaan.

"Seperti yang dilakukan penternak ikan di Kuala Pilah, Heidi Shafiq yang mencipta sendiri ramuan serta makanan ikan tilapia untuk kolamnya yang mana dia dapat menjimatkan kos makanan.

"Isi ikan bandaraya ini juga boleh dijadikan makanan haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing, cuma pihak yang mempunyai kepakaran perlu mencari bahan dan kandungan yang sesuai supaya ia tidak menjejaskan kesihatan dan pembesaran haiwan," katanya di sini, kelmarin.

Menurutnya, telur ikan bandaraya boleh dijadikan umpan untuk memancing dan harganya boleh mencecah RM60 sekilogram.

"Malah, hasil kajian juga mendapati kandungan merkuri ikan bandaraya lebih rendah berbanding ikan yang biasa kita makan seperti gelama, selar kuning dan siakap. Ia selamat dimakan.

"Namun, buat masa sekarang tiada lagi yang menjadikan ikan bandaraya ini sebagai makanan secara komersial atau besar-besaran.

"Ada dalam kalangan ahli komuniti cuba memasak beberapa resipi menggunakan ikan bandaraya antaranya masak lemak cili api, buttermilk, malah terbaharu ada yang buat sate.

"Rasanya enak seperti isi ayam dan tidak hanyir langsung namun ia bergantung kepada penerimaan serta selera masing-masing," katanya.

Menurutnya, tujuan penubuhan KPIB adalah untuk menghapuskan ikan bandaraya daripada ekosistem sungai tempatan dan sehingga kini ahlinya sudah mencecah lebih 2,000 orang.

"Kebiasaannya ikan ini dilupuskan, namun jika ia memberi faedah atau manfaat kepada orang lain, perkara ini patut dilakukan. Bagaimanapun, kami juga bimbang sekiranya ada yang salah guna.

"Maksudnya, apabila ikan ini ada kegunaannya, ada yang bela dan menjadikannya sebagai pendapatan. Spesies ini senang membiak dan dibimbangi akan menimbulkan masalah lebih serius," katanya.

Disiarkan pada: Jun 13, 2024 @ 7:10am

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-