Wednesday, July 10, 2024

6 bekas Ahli Parlimen BERSATU kekal wakil rakyat

bharian.com.my
Oleh Fahmy A Rosli 
fahmy.azril@bh.com.my
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

KUALA LUMPUR: Enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat bertarikh semalam.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Enam ahli Parlimen adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.
Muhyiddin Yassin.
"BERSATU telah menerima surat bertarikh 9 Julai 2024 lewat petang semalam daripada Speaker Parlimen yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas Ahli BERSATU.

"Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat itu hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik.

"Dalam situasi ini, jelas enam Ahli Dewan Rakyat itu tidak lagi menjadi ahli BERSATU berdasarkan peruntukan perlembagaan BERSATU.

"Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik adalah muktamad dan konklusif," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU sudah pun memutuskan enam ahli Parlimen berkenaan terhenti keahliannya.

Beliau berkata, pentafsiran BERSATU terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

"Keputusan Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Berkongsi alasan dikemukakan Speaker Dewan Rakyat terhadap Suhaili, Muhyiddin berkata Johari memberikan alasan remeh dan enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu setelah Ahli Parlimen Labuan itu memulakan tindakan mahkamah, yang juga menyalahi peruntukan Perlembagaan BERSATU.

Sehubungan itu, beliau berkata BERSATU memutuskan untuk mengambil langkah susulan dengan melantik beberapa pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan BERSATU.

Beliau mempertimbangkan untuk mengemukakan usul dalam sesi Dewan Rakyat esok bagi merayu keputusan berkenaan.

Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN Nenggiri kosong berkuat kuasa pada 19 Jun.

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi pada 13 Jun lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon dan pengundi awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 3 Ogos dan 13 Ogos.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-