Diterbitkan: Jul 23, 2024
Anak sulung bekas perdana menteri, Mohamad Nizar Mohamad Najib menafikan spekulasi mendakwa dia bertemu pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pahang.
Katanya, “pertemuan dongeng” seperti yang tular di media sosial itu tidak pernah berlaku sama sekali dan dirinya tidak akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarganya perjuangkan.
“Ayahanda Dato Sri Najib selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti. Mana mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang Umno yang lain sejak ia ditubuhkan.
“Mana mungkin saya akan membelot untuk khianati kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang saya amat kasihi dan hormati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tegasnya, sebagai seorang exco kerajaan Pahang dan Adun Peramu Jaya, dia tidak tergamak untuk mengkhianati perjuangan Umno.
"Saya bukan seorang katak politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta 'menjualkan' diri kepada mana-mana pembida yang tinggi," katanya.
Terdahulu, tular satu poster di media sosial yang mendedahkan Pahang sedang goyang! Ia mendakwa sebuah kerajaan negeri akan ditubuhkan setelah anak Najib ituk berjumpa dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Pada pilihan raya umum ke-15 lalu, PN memperolehi 17 kerusi manakala BN juga memenangi 17 kerusi. Bagaimanapun dengan sokong PH yang mempunyai lapan kerusi, BN berjaya menubuhkan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Nizar yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Pekan meminta supaya fitnah yang hanya mahu mencari keuntungan politik murahan dihentikan.
"Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba) (Hadis Riwayat al-Bukhari).
"Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama Umno, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pahang yang ada sekarang," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.