Showing posts with label Pahang. Show all posts
Showing posts with label Pahang. Show all posts

Tuesday, July 23, 2024

Anak ‘bossku’ nafi jumpa pemimpin PN, akui kekal bersama Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 23, 2024 
Anak sulung bekas perdana menteri, Mohamad Nizar Mohamad Najib menafikan spekulasi mendakwa dia bertemu pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pahang.

Katanya, “pertemuan dongeng” seperti yang tular di media sosial itu tidak pernah berlaku sama sekali dan dirinya tidak akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarganya perjuangkan.

“Ayahanda Dato Sri Najib selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti. Mana mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang Umno yang lain sejak ia ditubuhkan.

“Mana mungkin saya akan membelot untuk khianati kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang saya amat kasihi dan hormati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tegasnya, sebagai seorang exco kerajaan Pahang dan Adun Peramu Jaya, dia tidak tergamak untuk mengkhianati perjuangan Umno.

"Saya bukan seorang katak politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta 'menjualkan' diri kepada mana-mana pembida yang tinggi," katanya.

Terdahulu, tular satu poster di media sosial yang mendedahkan Pahang sedang goyang! Ia mendakwa sebuah kerajaan negeri akan ditubuhkan setelah anak Najib ituk berjumpa dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Pada pilihan raya umum ke-15 lalu, PN memperolehi 17 kerusi manakala BN juga memenangi 17 kerusi. Bagaimanapun dengan sokong PH yang mempunyai lapan kerusi, BN berjaya menubuhkan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Nizar yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Pekan meminta supaya fitnah yang hanya mahu mencari keuntungan politik murahan dihentikan.

"Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba) (Hadis Riwayat al-Bukhari).

"Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama Umno, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pahang yang ada sekarang," katanya lagi.

Monday, July 8, 2024

Umno Bentong minta kerusi Ketari yang dipegang DAP

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 8, 2024 6:51 PM
Umno Bentong akan meminta untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).

Pemangku ketua Umno Bentong Mohamad Zaini Salleh (gambar judul) berkata ini kerana kerusi berkenaan yang kini disandang oleh Thomas Su Keong Siong daripada DAP, terletak di kawasan majoriti Melayu.

Calon BN Amizar Abu Adam juga kalah tipis pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), katanya.

"Kita akan buat tuntutan secara rasmi agar DUN Ketari diberikan kepada Umno untuk pilihan raya umum akan datang. Ini kerana kita ada justifikasi pada PRU15, kita Umno bertanding dan kita hanya kalah 120 undi.
"Kita akan memohon pertimbangan pihak parti khususnya pimpinan BN pusat dan negeri agar memutuskan kerusi Ketari (diberikan) kepada Umno," katanya, petik laporan Sinar Harian.

Mohamad Zaini menyuarakan tuntutan itu ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong di Pahang hari ini.

Pada PRU15, Su (gambar atas) menang kerusi itu dengan 9,722 undi menentang Amizar dan William Tan dari PN.

Zaini berkata Umno mempunyai beberapa individu berwibawa yang boleh bertanding di kerusi Ketari.

Dia turut menyebut seorang calon yang tidak dinamakan sebagai calon berpotensi diletakkan bertanding pada PRU16.

"Calon tersebut amat mesra dan dikenali penduduk setempat serta merupakan anak Ketari," katanya lagi.

Dalam pada itu, Zaini memberitahu Umno Bentong sentiasa menjalankan kerja-kerja mendekati pengundi dan masyarakat.

Antaranya, dengan melancarkan jentera laskar siber Umno Tentera Alam Maya (Tamu), dalam usaha menangani cabaran semasa.

Tuesday, August 22, 2023

‘Jika tiada laungan azan, maknanya bekalan air bermasalah’

malaysiakini.com
NS Ramli
Diterbitkan: Aug 22, 2023 11:09 AM
Masalah bekalan air bersih bukan sahaja menghantui penduduk di Kelantan tetapi juga mendatangkan masalah kepada segelintir penduduk di Pahang.

Misalnya, penduduk di Felda Panching Utara, dekat Kuantan telah berdepan dengan masalah ini sejak kira-kira setahun lalu.

Malah, masalah gangguan bekalan air di kawasan itu belum menunjukkan bakal berakhir.

Penduduk mendakwa aduan juga sudah dibuat kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Norazian Md Ali, bilal
"Surau kami pun kadang kala terpaksa ditutup, kalau tak ada (bekalan) air, tak bolehlah nak buat solat berjemaah di sini," kata bilal surau As-Sajiddin, Felda Panching Utara, Norazian Md Ali, 52, ketika ditemui petang semalam.

Norazian berkata, sebelum ini surau berkenaan menerima ramai jemaah setiap kali masuk waktu solat fardu, namun sejak masalah gangguan air berlaku, surau itu tidak lagi boleh mengadakan solat berjemaah seperti sebelumnya.

"Macam sekarang, dah dua tiga hari kami tak boleh berjemaah di sini, jadi semua perlu ke Masjid Al Huda jika nak solat berjemaah.

"Jaraknya tidak jauh mana, kira-kira 900 meter dari surau ini.

"Cuma kalau bekalan air pulih, mudahlah kami nak berkumpul, lagipun kebanyakan peneroka di sini generasi pertama, yang muda semua dah keluar (kerja) di Kuantan atau luar Pahang," katanya lagi.

Dia turut memberitahu, penduduk sekitar surau itu juga sudah faham jika tidak ada laungan azan dari surau, maknanya bekalan air bermasalah.
Kamariah Mohamad, penduduk
Bagi Kamariah Mohamad, 67, pula dia berharap perkara itu boleh diatasi segera kerana ia sudah berlanjutan sejak sekian lama.

"Saya pun kurang sihat, ada masalah (sakit) saraf dan pergerakan terbatas.

"Sekarang ini harapkan suami (Ampandi Samsuddin, 71) dan anak-anak untuk sediakan bekalan air.

"Bekalan kadang-kadang terputus terus seharian , kadang-kadang ada sekejap sebelah petang atau tengah malam.

"Memang sukar nak buat urusan harian, nak membasuh baju kena tunggu jam 1-2 pagi," katanya.

Dia turut berkata, masalah itu juga mengakibatkan sukar untuk berkumpul dengan anak cucu terutamanya ketika musim cuti sekolah atau hari raya.

"Masa hari raya kami terpaksa tutup pintu (rumah), sebab tak ada air nak basuh pinggan gelas jika tetamu datang beraya," katanya lagi.
Hayati Baharum, penduduk
Seorang penduduk Felda Panching Utara, Hayati Baharum, 52, mengakui masalah itu turut menjejaskan perniagaannya.

Dia yang sebelum ini mengusahakan nurseri mendakwa terpaksa menghentikan operasi perniagaan itu berikutan masalah gangguan bekalan air.

"Kita nak jual pokok bunga, anak pokok buah, kenalah pastikan semuanya segar baru ada orang nak beli.

"Kalau air pun tak ada, macam mana nak siram pokok itu semua, jadi saya fikir baik saya berhenti dulu (berniaga) dan harap pihak berwajib boleh selesaikan masalah ini," katanya.
Mohd Tarmizi Yahaya, Adun Panching
Dalam pada itu, ahli dewan undangan negeri (Adun) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, permasalahan dihadapi kira-kira 300 penduduk Felda Panching Utara itu akan dibawa kepada pihak berkaitan.

"Saya dimaklumkan bahawa masalah ini membabitkan tekanan air rendah di sesetengah kawasan di sini.

"Ada kawasan tinggi mengalami masalah ini dan kawasan rendah pun ada juga gangguan sama.

"Mereka (penduduk) memaklumkan sudah membuat laporan kepada pihak PAIP, cuma setakat ini, belum ada tindakan susulan dilakukan pihak berkenaan," katanya.

Mohd Tarmizi berpendapat, isu itu tidak selesai jika PAIP hanya menghantar lori tangki bagi membekalkan air kepada penduduk.

Katanya, tindakan itu hanyalah untuk penyelesaian jangka pendek dan penduduk mengharapkan penyelesaian yang boleh menjamin bekalan air di situ tidak terganggu.

"Kalau kita tengok di sini pun, kebanyakan peneroka adalah warga emas, jadi penyelesaian seperti menghantar lori tangki tidak banyak membantu mereka.

"Kita cuma harap pihak PAIP boleh menjelaskan punca sebenar gangguan dan memberi maklumat mengenai usaha yang sudah atau sedang dilakukan mereka (PAIP) untuk menyelesaikan isu terbabit," katanya.

Friday, June 16, 2023

Lebih mudah DAP perjuang pekebun durian haram Raub selepas bersama UMNO: Jasri

agendaily.com
16/06/2023
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin.

Perjuangan DAP dalam membela pekebun haram durian Musang King di Raub lebih mudah selepas ini kerana sudah bersama UMNO dalam kerajaan campuran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata usaha DAP sejak sebelum ini diteruskan lagi supaya diberikan geran tanah dan kebenaran bercucuk tanam kepada pekebun haram durian di Raub, ia terbukti dengan gesaan terbaharu dibuat Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui di Parlimen baru-baru ini.

“Sebelum ini mereka mendesak untuk berjumpa Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) bagi mencari jalan menghalalkan pencerobohan mereka tanpa menghiraukan keputusan mahkamah.

“Ini jelas menunjukan DAP terus kekal dengan prinsip dan ideologi mereka dan konsisten menuntut apa yang mereka perjuangkan. Ini menjadi lebih mudah kepada mereka kerana mereka sudah bersama UMNO membentuk kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Yu Hui ketika sesi perbahasan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, pekebun durian ‘Musang King’ adalah mangsa kepada sistem negara dan sumbangan mereka tidak pernah diiktiraf, sepatutnya geran tanah diberikan kepada mereka oleh kerajaan negeri Pahang.

Jasri yang juga Ketua Bersatu Bahagian Maran mendakwa, apa menghairankan, DAP tidak pernah berubah dalam perjuangannya walaupun sudah bersama-sama dengan UMNO membentuk kerajaan.

“Yang berubah UMNO. Perjuangan yang diwarisi sejak dari datuk nenek kita dulu dibuang begitu sahaja. Tiada lagi laungan dan suara-suara mempertahankan perjuangan alif ba ta. Ini mungkin kerana hendak menjaga hati rakan dalam kerajaan.

“Tetapi DAP sikit pun tidak hairan kepada rakannya UMNO dan terus menuntut supaya apa yang diminta diberi dengan apa cara sekalipun.

“Bukan itu sahaja, kelmarin Kementerian Pelancongan bersetuju mempertimbangkan makanan bak kut teh dijadikan makanan warisan negara. Walhal terang-terang makanan ini bukan makanan asal negara dan tidak dimakan oleh majoriti kaum di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau mendakwa, minggu lalu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, pemimpin UMNO menyarankan kepada rakan mereka dalam kerajaan campuran jangan membuat kenyataan kontroversi dan menyinggung perasan orang Melayu tetapi sikit pun tidak diendahkan.

“DAP tahu UMNO kini bukanlah parti yang kuat setelah kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu. Jadi mereka tidak peduli. DAP tidak pernah berubah agenda perjuangan mereka tetapi sebaliknya UMNO yang diubah.

“Betullah kata pepatah Melayu, kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Kalau kita masih tidak sedar akhirnya saya percaya kita akan menjadi Pak Kaduk, ayamnya menang kampung tergadai,” katanya.

Wednesday, December 14, 2022

Kerajaan DAP-UMNO Pahang tak benarkan PN guna fasiliti kerajaan

agendaily.com
14/12/2022
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

PAS menempelak kerajaan DAP-UMNO Pahang kerana terus mengamalkan perangai lama apabila melarang fasiliti kerajaan daripada digunakan Perikatan Nasional (PN) bagi majlis rakyat.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kesal dengan tindakan kerajaan negeri membatalkan tempahan Dewan Tun Razak, Temerloh bagi mengadakan majlis kesyukuran dan meraikan petugas PN serta masyarakat awam di daerah itu, hari ini.

Tegas beliau, tempahan dan kelulusan penggunaan fasiliti itu telah diberi sebelum ini dan sewa juga telah pun dibuat.

“PAS Pahang kesal dengan tindakan kerajaan negeri melalui PBT Temerloh yang membatalkan tempahan Dewan Tun Razak, Temerloh bagi mengadakan majlis kesyukuran dan meraikan petugas PRU serta masyarakat awam di Temerloh, hari ini.

“Perangai lama mereka ini tidak berubah sejak dahulu dan ia menambahkan kemarahan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka berkata, dewan orang ramai sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.

Menurut beliau, penggunaan kemudahan awam sepatutnya tidak terhad kepada parti pemerintah sahaja.

“Dewan orang ramai sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai, sayangnya ia hanya boleh digunakan oleh parti pemerintah sahaja.

“Walaupun PRU lalu menyaksikan PN berjaya memenangi kerusi Parlimen Temerloh dan DUN Semantan dan Lancang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Noor dalam kenyataan memberitahu, semakan di pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh menyatakan pembatalan tersebut dibuat selepas mendapat arahan terus secara lisan daripada kerajaan Pahang.

DAP yang sebelum ini ketika menjadi pembangkang pernah juga membantah tindakan kerajaan UMNO menghalang pembangkang menggunakan kemudahan disediakan kerajaan.

Sunday, November 27, 2022

Haji Wan Rosdy MB kerajaan UMNO-DAP Pahang

agendaily.com
27/11/2022
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail adalah Menteri Besar kerajaan UMNO-DAP Pahang.

Seperti yang dijangkakan UMNO Pahang memilih mengkhianati akar umbi parti itu apabila bekerjasama dengan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP bagi membentuk kerajaan negeri UMNO-DAP.

Kedua-dua parti – UMNO dan DAP – mencapai persetujuan melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar.

Kerajaan UMNO-DAP itu kini mempunyai 24 kerusi berbanding Perikatan Nasional 17 kerusi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, UMNO dan Barisan Nasional hanya menang 16 daripada 41 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pilihan raya bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember ini, susulan kematian calon Perikatan Nasional pada awal pagi hari pengundian pada 19 November lalu.

Dalam PRU-15 itu calon UMNO yang menang kerusi DUN Pahang ialah:

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail – Jelai;
Mustapa Long – Padang Tengku;
Abdul Aziz Mat Kiram – Batu Talam;
Datuk Seri Soffi Razak – Benta;
Fadzli Mohamad Kamal – Dong;
Rodzuan Zaaba – Jenderak;
Syed Ibrahim Syed Ahmad – Kerdau;
Johari Harun – Pelangai;
Sabariah Saidan – Guai;
Khaizulnizam Mohamad Zuldin – Kemayan;
Mohd Sharim Zain – Chini;
Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff;
Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif – Inderapura;
Mohamad Nizar Najib – Peramu Jaya; dan
Razali Kassim – Muadzam Shah.

Sementara itu, kerusi dimenangi PH pula ialah:

Tanah Rata – Ho Chi Yang (DAP);
TRAS – Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP);
Bilut – Lee Chin Chen (PKR);
Ketari – Su Keong Siong (DAP);
Mentakab – Woo Chee Wan (DAP);
Triang – Leong Yu Man (DAP); dan
Semambu – Chan Chun Kuang (DAP).

Perikatan Nasional sedia beri kerusi MB kepada UMNO, tapi…

agendaily.com
27/11/2022
Perikatan Nasional menguasai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang; Barisan Nasional (16) dan Pakatan Harapan (lapan).

Perikatan Nasional Pahang sedia bertolak ansur dengan menyerahkan jawatan Menteri Besar (MB) kepada UMNO dalam usaha merealisasikan pembentukan kerajaan negeri dengan kerjasama Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata BN perlu memenuhi beberapa syarat dan tuntutan seiring dengan kekuatan Perikatan Nasional yang menang 17 kerusi berbanding BN (16 kerusi) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, antara tuntutan ialah tiga daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik diberikan kepada Perikatan Nasional, jumlah kerusi Exco yang sama dan jawatan speaker DUN.

“Saya yakin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili BN Pahang mungkin akan mempertimbangkan syarat kita yang ingin dibuktikan di Pahang.

“Insya-Allah sinar harapan itu ada di mana-mana. Perikatan Nasional Pahang bersedia berkompromi sebagai model penyatuan ummah dan Pahang dijadikan model,” kata Tuan Ibrahim menurut Kosmo.

“Oleh itu permuafakatan politik Perikatan Nasional dan BN dalam Muafakat Nasional merupakan jalan terbaik demi perpaduan ummah dan kestabilan di negeri ini.

“Perikatan Nasional bersedia bertolak ansur menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada BN walaupun kita menang lebih satu kerusi yang diberi mandat oleh pengundi,” kata Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka.

Di Pahang, Perikatan Nasional mempunyai 17 kerusi DUN, BN (16 kerusi) dan PH (lapan kerusi), dengan PRU-15 DUN Tioman bakal diadakan pada 7 Disember setelah ditangguh berikutan kematian calon Perikatan Nasional pada 19 November lalu.

DUN Pahang tergantung selepas keputusan PRU-15 menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendedahkan sikap tamak BN kerana mahu membolot jawatan MB dan tujuh kerusi Exco.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata parti yang mendapat mandat terbesar daripada rakyat Pahang ialah Perikatan Nasional, justeru, ia menggambarkan kehendak rakyat dan harus dihormati.

Menurut beliau sejak awal, Perikatan Nasional sedia berunding untuk membentuk kerajaan Pahang tetapi bukan dengan Pakatan Harapan yang membawa agenda yang bertentangan dengan kepentingan rakyat.

Wan Rosdy akan terajui kerajaan BN-PH di Pahang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 27, 2022 5:10 PM
Pihak istana Pahang memberi perkenan pembentukan kerajaan Pahang yang terdiri daripada BN dan Pakatan Harapan (PH).

Istana juga memberi perkenan Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menteri besar negeri itu.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang selanjutnya memperkenankan pembentukan kerajaan negeri Pahang Darul Makmur daripada parti BN dan PH.

“Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3.(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan untuk melantik Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Yang Berhormat Menteri Besar Pahang," kata kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya DiRaja Sultan Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Majlis angkat sumpah akan diadakan pada 11 pagi esok di Balairung Seri, Istana Abu Bakar.

Perkembangan ini sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi berhubung pembentukan kerajaan negeri selepas dewan undangan negeri tergantun pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Pengerusi PH Pahang Amirudin Shari semalam memaklumkan gabungan itu yang memegang lapan kerusi sudah mencapai persetujuan dengan BN yang memegang 16 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

BN turut mengadakan rundingan dengan PN yang mempunyai 17 kerusi, namun rundingan itu gagal.

Satu lagi pengundian DUN akan berlangsung iaitu bagi kerusi Tioman pada 7 Dis berikutan kematian calon PN/PAS.

Awal hari ini, pemimpin Bersatu Saifuddin Abdullah menyifatkan sikap tamak pimpinan Umno dan BN Pahang telah menyukarkan rundingan bagi penubuhan kerajaan negeri Pahang.

Wan Rosdy menang di DUN Jelai pada PRU ke-15 dengan mendapat 10,092 undi dan menang dengan majoriti 6,983 undi. Ketua Umno Cameron Highlands itu tidak pernah tewas di DUN Jelai sejak 2004.

Perikatan Nasional yakin rampas DUN Tioman 7 Disember ini

agendaily.com
27/11/2022
Calon Perikatan Nasional daripada PAS Nor Idayu Hashim (dua dari kiri) berkempen menjelang hari pengundian pada 7 Disember 2022.

Perikatan Nasional (PN) yakin dapat menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) melibatkan DUN Tioman, 7 Disember nanti.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya kemenangan itu dizahirkan bermakna Perikata Nasional akan memperoleh 18 kerusi berbanding 17 pada pilihan raya 19 November lalu sekali gus dapat memberikan semangat dan kekuatan gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan yang membentuk Perikatan Nasional di Pahang.

Perikatan Nasional meletakkan Nor Idayu Hashim daripada PAS bagi merebut kerusi DUN Tioman.

“Nor Idayu seorang suri rumahtangga, tetapi mempunyai ijazah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), muslimat yang sangat aktif dalam PAS Rompin dan banyak terbabit dengan program keagamaan dan kemasyarakatan,” katanya kepada media selepas hadir majlis Jamuan Kesyukuran Rakyat DUN Cheka di Kerambit dekat Lipis, semalam.

Beliau berkata, kalangan akar umbi PAS bersetuju Nor Idayu menjadi calon sekali gus akan mewakili suara wanita di dalam DUN Tioman.

Tuan Ibrahim berkata, jentera PAS sudah lama bersiap siaga setelah kerusi DUN Tioman diberikan kepada calon PAS sebelum ini berasaskan persefahaman dalam kalangan pemimpin PN.

“Kita bersungguh untuk memenangkan calon ini kerana saya difahamkan menerusi tinjauan di lapangan, PAS mampu mengatasi calon Barisan Nasional yang merupakan cabaran utama dan saya yakin kita akan menang.

“Berasaskan kemenangan 17 kerusi DUN di Pahang pada 19 November lalu, saya amat yakin DUN Rompin akan dimenangi oleh calon Perikatan Nasional berasaskan senario perubahan drastik yang diterjemahkan oleh pengundi pada PRU-15, 19 November lalu,” katanya lapor Astro Awani.

Ujarnya lagi, kemenangan calon DUN Tioman juga berasaskan bantuan serta sokongan pengundi terutamanya dalam kalangan orang muda termasuk mereka yang berusia 18 tahun.

Pada 19 November lalu, calon Perikatan Nasional daripada PAS, Md Yunus Ramli, meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung dan berikutan itu, pengundian bagi kerusi tersebut ditangguhkan sehingga 7 Disember ini.

Tuan Ibrahim: PAS sanggup serah jawatan MB Pahang pada BN

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 27, 2022 3:24 PM
PN Pahang sedia bertolak ansur dengan menyerahkan jawatan menteri besar kepada BN dalam usaha merealisasikan pembentukan kerajaan negeri melalui kerjasama BN dan PN.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata BN bagaimanapun perlu memenuhi beberapa syarat dan tuntutan seiring dengan kekuatan PN yang menang 17 kerusi berbanding BN yang memenangi 16 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, antara tuntutan ialah tiga daripada lima anggota Dewan Undangan Negeri yang dilantik diberikan kepada PN, PN menerima jumlah kerusi exco yang sama dan jawatan speaker DUN.

“Saya yakin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili BN Pahang mungkin akan mempertimbangkan syarat kita yang ingin dibuktikan di Pahang.
“Insya Allah sinar harapan itu ada di mana-mana, PN Pahang bersedia berkompromi sebagai model penyatuan ummah dan Pahang dijadikan model,” kata Tuan Ibrahim dipetik Kosmo!Online.

“Oleh itu permuafakatan politik PN dan BN dalam Muafakat Nasional merupakan jalan terbaik demi perpaduan ummah dan kestabilan di negeri ini.

“PN bersedia bertolak ansur menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada BN walaupun kita menang lebih satu kerusi yang diberi mandat oleh pengundi,” katanya yang juga Adun Cheka.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu bercanggah dengan pandangan Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah (gambar, bawah) pada hari ini yang menyifatkan pimpinan Umno dan BN di negeri itu bersikap 'tamak' seolah memberi gambaran rundingan antara dua gabungan itu telah berakhir.
Saifuddin mendakwa gabungan BN menuntut kerusi menteri besar dan tujuh daripada lapan jawatan exco kerajaan Pahang.

Di Pahang, PN mempunyai 17 kerusi DUN, BN mempunyai 16 kerusi dan PH mempunyai 8 kerusi, dengan pilihan raya kecil (PRK) Tioman kini dijadualkan pada 7 Dis berikutan kematian calon PN/PAS.

DUN Pahang tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Susulan itu terdapat siri perbincangan antara PN dan BN, selain BN dan PH untuk menubuhkan kerajaan negeri campuran.

Pada 24 Nov lalu, PH menyatakan sokongan kepada Wan Rosdy sebagai menteri besar Pahang yang seterusnya dikatakan membawa kepada persetujuan dua gabungan itu untuk membentuk kerajaan perpaduan negeri bersama.

Saturday, November 26, 2022

Tak cukup kerusi, PH dan DAP akan bentuk kerajaan negeri Pahang dengan BN

agendaily.com
26/22/2022
UMNO kini bekerjasama dengan DAP.

Pakatan Harapan (PH) yang terdapat DAP dalamnya menyatakan kesediaan membentuk kerajaan negeri Pahang bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Memandangkan hanya menang lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, PH bersama DAP di Pahang berharap dapat membentuk kerajaan negeri sama seperti yang berlaku di peringkat pusat, kata pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari.

“PH Pahang sudah bermesyuarat hari ini yang dipengerusikan oleh Pengerusi PH Pahang.

“Kita telah mencapai persetujuan sebulat suara untuk memberi sokongan secara rasmi untuk membentuk kerajaan Pahang bersama dengan BN.

“Kami berharap kerajaan negeri Pahang yang baharu pasca PRU-15 dapat dibentuk demi menjamin pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar untuk kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan PH dan DAP Pahang itu nampaknya dilihat sebagai mengikut jejak yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bekerjasama dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan pusat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Perikatan Nasional (PN) Pahang memenangi 17 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang, manakala BN hanya memperoleh 16 kerusi dan PH, lapan kerusi.

Berikutan keputusan itu, tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Tuesday, November 22, 2022

PN, BN masih bincang bentuk kerajaan negeri Pahang

agendaily.com
22/11/2022
Datuk Seri Saifuddin Abdullah mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota pada PRU-15 lalu.
Adakah UMNO Pahang akan menggadai prinsip perjuangan parti itu sebagaimana dilakukan UMNO Perak yang tunduk dan duduk di bawah DAP, akan diketahui apabila Menteri Besar kerajaan sementara Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berbincang dengan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu mewakili Perikatan Nasional (Perikatan) yang menang 17 kerusi DUN, mana Wan Rosdy mewakili Barisan Nasional (BN) yang menang 16 kerusi. Lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Perikatan Nasional Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata perbincangan telah diadakan sebelum ini dan diteruskan hari ini (22 November 2022).

“Berkaitan pembentukan kerajaan negeri Pahang, wakil Majlis Tertinggi PN Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Hari ini, akan diadakan perbincangan selanjutnya,” katanya lagi.

Proses pengundian bagi satu lagi DUN iaitu Tioman akan dilaksanakan pada 7 Disember depan susulan kematian calon Perikatan Nasional, Md Yunus Ramli, awal pagi Sabtu, sebelum pengundian.

Tuesday, August 16, 2022

PAS yakin potensi tawan Pahang pada PRU15

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
Setidaknya jadi pemegang syer paling besar bentuk kerajaan negeri

BANGI, 18 Muharam 1444H, Selasa – Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yakin bahawa parti itu berpotensi menawan negeri Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dengan mengambil kira senario perkembangan sokongan terhadap pilihan raya pada 2018, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, perkara itu dapat dicapai sekiranya usaha dilakukan dengan menggunakan kaedah yang betul.

Beliau berkata, PAS ketika ini menang lapan kerusi daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada PRU14, manakala 25 kerusi adalah Barisan Nasional (BN) dan sembilan lagi Pakatan Harapan (PH).

“Dalam PRU yang akan datang jika penyokong-penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepimpinan negeri Pahang, Insya-Allah PAS ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang.

“Ambil contoh DUN Pulau Tawar di mana PAS hanya kalah dengan majoriti 587 undi sahaja di tangan UMNO, sedangkan undi yang diperolehi oleh PKR ialah 1,973,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengundi PKR dan PH di kerusi Pulau Tawar perlu berfikir akan betapa ruginya undi dibazirkan begitu sahaja dengan memberikan kemenangan kepada UMNO-BN.

Katanya, jika pengundi memberikan undi kepada PAS, maka parti itu boleh memenangi DUN Pulau Tawar.

“Senario itu sebagai contoh sahaja, dan ia berlaku juga di beberapa DUN yang lain, misalnya DUN Tioman di mana calon PAS mendapat undi sebanyak 5,382 dan tewas dengan majoriti 1,280 di tangan calon UMNO-BN, sedangkan calon PKR di DUN tersebut mendapat 3,029 undi.

“Alangkah baiknya jika pengundi-pengundi PKR-PH dalam pilihan raya yang lepas dapat membuat pertimbangan semula dan memberikan undi kepada PAS pada pilihan raya kali ini demi merubah kepimpinan kerajaan negeri Pahang.

“Insya-Allah, selepas himpunan 20K penghujung Julai yang lepas, jentera PAS Pahang kelihatan semakin bertambah aktif dari barisan Pemuda, Muslimat, Ulama dan seluruh lapisan jentera bekerja keras demi memastikan PAS berjaya merampas Pahang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, September 12, 2021

MB Pahang gesa PAS umum pendirian mahu bersama MN atau PN

by Berita Gerak Malaysia
September 12, 2021


KUANTAN, Sept 12 – UMNO Pahang menyambut baik saranan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Pas membuat pendirian sama ada mahu bersama Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, saranan itu wajar supaya tidak timbul sebarang konflik pada pilihan raya itu jika MN dan PN membuat keputusan meletakkan calon bertanding di kawasan pilihan raya yang sama.

“Di Pahang, sepertimana diperakui Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Timbalannya, Andansura Rabu, pilihannya ialah MN bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, MN juga telah diperakui sebagai model terbaik untuk politik negeri ini.

“Saya berharap, Pas Pusat dapat membuat pendiriannya seperti saranan Mohamad bagi mengelak kekeliruan dan syak wasangka bukan sahaja dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO malah saya percaya juga dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas,” katanya.

Pada Sabtu, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO itu menjelaskan pembahagian kerusi yang diperuntukkan bagi menghadapi PRU15 sudah dipersetujui di peringkat parti dalam BN.

Jelasnya, Pas perlu membuat keputusan sama ada mahu bersama MN ataupun PN bagi menghadapi PRU15 termasuk pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyatakan keputusan serta pendirian jika mahu bersama UMNO.

Sunday, August 30, 2020

Kenapa isu ‘pekebun durian Raub’ istimewa sangat pada MCA?

ismaweb.net
fazleensafina

Taikun mudah dapat tanah, orang kampung terus bertani secara daif
SEPERTI yang saya jangka, MCA akan bertindak sebagai ‘wakil’ parti dalam kerajaan untuk membela pekebun-pekebun haram seiring dengan tekanan DAP di pihak pembangkang dan dilengkapi dengan rangkaian badan bukan kerajaan (NGO).

Sudah terang lagi bersuluh yang ini adalah isu pencerobohan tanah yang sangat bersistematik dan rapi.

Dengan kata lain, ini adalah suatu kegiatan haram yang sangat nyata. Tetapi tanpa segan silu para politikus membela penceroboh-penceroboh ini.

Mengapa MCA begitu bersungguh hingga perlu tubuhkan sebuah jawatankuasa khas ‘tergempar’ di peringkat parti untuk isu ini, sedangkan mereka sendiri ada dalam kerajaan negeri Pahang yang sedang mencari jalan untuk menyelesaikan isu ini?

MCA juga mengakui bahawa kerajaan negeri sepatutnya boleh ‘lakukan lebih baik’ dalam menyelesaikan kes ini.

Istimewa dan pentingnya isu ini bagi mereka sehingga Timbalan Menteri Perpaduan (Ti Lian Ker) dan Setiausaha Agung MCA (Chong Sin Woon) turut sertai jawatankuasa tersebut selain pimpinan parti yang lain.

Kita bimbang mereka akan lobi lebih banyak lagi dari apa yang telah dikompromikan oleh kerajaan baru-baru ini.

Lihat sahaja, mengapa jawatankuasa ini ditubuhkan hanya selepas pekebun-pekebun ini mendapat ‘kemenangan kecil’ beberapa hari sebelum itu?

Ini tidak mustahil kerana kita tahu yang parti-parti Melayu dalam kerajaan sedang bersungguh-sungguh mahu memenangi hati masyarakat Cina kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dekat.

Dari sudut yang lain, sesiapa yang menceroboh sesuatu tidak sepatutnya diberikan apa-apa hak walau apa pun alasannya. Lebih-lebih lagi tanah yang diceroboh sebesar lebih 4000 ekar, bukan kecil-kecilan.

Jika kita berkompromi dengan modus operandi sebegini, kita telah membuka ‘floodgate’ untuk lebih ramai membuat perkara yang sama di seluruh negara.

Bayangkan, betapa mudahnya taikun-taikun boleh mendapat tanah nanti, sedangkan orang-orang kampung yang mengusahakan tanah secara halal akan terus bertani secara daif.

Kita harap pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat masuk campur dengan serius dalam isu ini kerana rakyat sudah mula sangsi dengan gerak-geri politikus-politikus yang mula melibatkan diri dalam isu ini.

Kita menyeru supaya rakyat dan NGO-NGO pantau rapat, sebagai ‘check and balance’ kepada kerajaan dan pihak berkuasa dalam isu ini kerana terbukti gelombang suara rakyat mampu mempengaruhi tindakan-tindakan kerajaan.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)


Sumber:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/08/29/pahang-mca-forms-committee-to-tackle-issues-faced-by-farmers-in-the-state

Saturday, August 29, 2020

Gesa kerajaan Pahang bawa isu pekebun durian haram ke mahkamah

Siti Hafidah
Khuatir ada unsur penyelewengan, mustahil tak sedar tanah diceroboh

BANGI, 10 Muharram 1442H, Sabtu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pahang menuntut kerajaan negeri menggunakan undang-undang sedia ada dalam menangani kes pencerobohan tanah rizab oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Badan Perhubungan BERJASA Pahang, Dr Mohd Nor Sundari menegaskan, mengikut Kanun Tanah Negara 1965, berdasarkan Seksyen 425, penceroboh boleh diambil tindakan undang-undang.

“Justeru, BERJASA meminta kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

“Siasatan terperinci perlu dilakukan oleh pihak polis dan SPRM bagi membongkar sebarang salah laku dan penyalahgunaan kuasa oleh agensi-agensi kerajaan yang terbabit.

“…khususnya Jabatan Tanah dan Galian dan Jabatan Perhutanan dan Perhilitan yang selama ini berdiam diri apabila berlaku pencerobohan tanah-tanah rizab kerajaan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BERJASA Pahang berkata, gesaan itu juga susulan bimbang ada unsur-unsur penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan para penguat kuasa.

Katanya, ini kerana mustahil agensi-agensi terbabit tidak menyedari berlakunya pencerobohan dan pembukaan tanah secara besar-besaran menjangkau seluas 4,400 hektar tanah rizab kerajaan di Raub.

“Keadaan ini telah pun berlaku selama 40 tahun. Aktiviti-aktiviti haram ini menyebabkan kerajaan negeri kehilangan berjuta-juta ringgit setiap tahun. Sesuatu yang sangat pelik dan mustahil apabila aktiviti haram ini tidak diketahui dan disedari oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Sehubungan itu, BERJASA mendesak agar satu siasatan oleh pihak polis dan SPRM dijalankan secara menyeluruh membabitkan semua daerah di Pahang bagi memastikan setiap hektar tanah rizab kerajaan tidak dicerobohi.

“Bahkan kerajaan negeri juga dapat merancang projek-projek yang boleh mendatangkan pulangan yang baik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Saturday, February 2, 2019

Polis tahan peniaga didakwa hina Agong, disiasat bawah Akta Hasutan

Bernama
-February 2, 2019 6:46 PM
(Gambar reuters)

KUANTAN:  Polis Pahang menahan seorang peniaga kerana disyaki menghina Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Facebook.

Ketua Polis Datuk Zakaria Ahmad berkata suspek berusia 45 tahun itu ditahan hari ini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh memandangkan laporan polis terhadapnya dibuat di situ.

Beliau menambah siasatan dijalankan mengikut Akta Hasutan.

Semalam, tular di laman sosial dakwaan seorang peniaga memuatnaik kenyataan didakwa menghina di ruangan komen Facebook ke atas gambar Sultan Abdullah, namun komen itu telah dipadam.

Sementara itu, di Jerantut, Umno bahagian diketuai Datuk Nazri Ngah membuat laporan polis terhadap seorang lagi pemilik akaun Facebook yang didakwa turut menghina Sultan Abdullah.

Laporan yang dibuat di IPD Jerantut itu turut disertai 7 badan bukan kerajaan (NGO) di daerah tersebut.

“Penghinaan yang dilakukan amat mengguris hati rakyat negara ini, khususnya kepada rakyat Pahang.

“Kami mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan segera ke atas individu ini yang begitu biadap mencabar kedaulatan raja-raja Melayu,” katanya.

Friday, January 22, 2016

Perhilitan Terengganu tumpas sindiket jual harimau

by ARIANNA2016-01-21

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Mohd Hasdi Husin seekor karkas harimau belang jantan yang telah dilapah kepada empat bahagian pada sidang media, Khamis.Gambar The Star

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menumpaskan satu sindiket yang cuba menjual harimau belang dalam satu serbuan yang dilakukan di taman perumahan Pasir Semut dekat Kemaman, petang Rabu.

Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata tangkapan itu adalah yang terbesar dalam tempoh 20 tahun membabitkan penjualan harimau belang di Terengganu.

“Bertindak hasil risikan yang dilakukan, satu serbuan dibuat oleh tujuh anggota penguatkuasa Perhilitan yang berjaya menemui seekor karkas harimau belang jantan yang telah dilapah kepada empat bahagian.


“Hasil pemerhatian, terdapat kesan terkena jerat di kaki hadapan bahagian kiri dan satu tembakan di tengah kepala dengan peluru tunggal.

“Perhilitan telah menahan tiga orang lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun ke Balai Polis Chukai untuk direman bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini Khamis.

Mohd Hasdi berkata modus operandi tiga penjenayah tersebut ialah membina ran di atas pokok yang dipercayai menjadi laluan harimau belang tersebut, malah mereka sanggup bermalam di atas ran tersebut bagi memastikan dapat menangkap harimau itu secepat mungkin.

“Mereka turut memasang jerat dan menyediakan umpan untuk menarik perhatian harimau agar segera datang ke kawasan jerat dan apabila sudah berjaya dijerat, mereka akan terus menembak haiwan tersebut dan segera melapahnya untuk mendapatkan organ dalaman yang segar.

“Ini kerana organ dalaman yang segar mendapat permintaan yang tinggi di kalangan peminat makanan eksotik dan ubat tradisional seperti kepercayaan bangsa tertentu,” katanya.

Harga harimau belang itu boleh mencecah hingga RM500,000 bergantung kepada harga yang dipersetujui dalam proses tawar menawar oleh pihak yang berminat.

Beliau berkata harimau jantan itu yang dianggarkan berusia antara 15 hingga 20 tahun dengan berat lingkungan 100 hingga 150 kilogram itu dipercayai berasal dari hutan tebal di sekitar Kemaman.

Tiga negeri yang mempunyai sempadan dengan Taman Negara iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan masih memiliki harimau ini dan dianggarkan masih terdapat 400 hingga 500 ekor harimau di Semenanjung Malaysia manakala di Terengganu, kita anggar terdapat 50 hingga 100 ekor harimau spesies ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 68 (2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu mengambil atau menyimpan mana-mana bahagian atau terbitan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa suatu permit khas.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Monday, June 22, 2015

Buka puasa santai cara piknik di Kuantan

Orang ramai duduk di padang MPK sementara menunggu waktu berbuka puasa. - Foto TRP/Fernando Fong

KUANTAN, 22 Jun:

Sudah menjadi kelaziman setiap kali menjelang bulan Ramadan di Kuantan, Pahang, ratusan pengunjung akan berbuka puasa beramai-ramai memenuhi padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Jalan Mahkota yang dimulakan sejak beberapa tahun yang lalu.

Terletak di tengah-tengah bandar Kuantan ini berhampiran dengan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah menjadikan padang ini tarikan utama kepada pelancong dan warga kota bagi menikmati keindahan remang senja bandar Kuantan.

Bermula pada jam 5.00 petang orang ramai mula memenuhi padang MPK dengan membawa bekalan yang dimasak dari rumah atau dibeli di pasar Ramadan berhampiran untuk berbuka bersama keluarga dan teman.

Menjelang waktu berbuka, suasana berubah seperti pesta dengan jumlah orang ramai mula memenuhi padang dan menunggu dengan sabar azan maghrib bagi menandakan waktu bebuka puasa.

Pada hujung minggu dan cuti umum, jumlah pengunjung akan bertambah ramai dengan anggaran sehingga 10,000 orang terutamanya pada jam 7.00 petang.

Menurut warga tempatan yang bebuka puasa di sini, ini adalah cara orang Kuantan berbuka puasa jika berada di sekitar lokasi ini.

Fazrol Nasir, 30, berkata terdapat juga pengunjung bukan Islam dan pelancong asing yang turut sama berada di sini menjelang waktu berbuka bagi merasai sendiri pengalaman berbuka beramai-ramai.

“Pihak berkuasa tempatan sentiasa menyelenggara padang ini agar sentiasa bersih dan selamat kepada semua pengunjung dan menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mengekalkan kebersihan di sini dengan adanya papan tanda peringatan di kawasan ini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Basarudin Ahmad berkata ia seperti acara wajib setiap tahun bagi masyarakat di sini yang dimulakan pada tahun 2007.

“Tiada siapa tahu bila ia bermula, apabila smeua orang lihat ramai berbuka puasa di sini bersama keluarga semua mula ikut.

“Ada yang berpendapat, ia dimulakan oleh sekumpulan anak muda yang ingin mencari tempat berbuka yang murah dan selesa bersama teman-teman memandangkan bazaar Ramadan tidak jauh dari lokasi ini telah menarik lebih ramai orang ke sini untuk berbuka berbanding pulang ke rumah,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/22/buka-puasa-santai-cara-piknik-di-kuantan/#ixzz3dkDw6tsC

Saturday, December 20, 2014

MB Pahang bersumpah tak pernah terima rasuah



Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bersumpah dalam sidang DUN Pahang hari ini bahawa beliau tidak pernah menerima rasuah daripada pekebun sayur di Cameron Highlands.

"Demi Allah, demi Rasul, di dalam dewan yang mulia ini saya bersumpah, saya dan Exco tidak pernah menerima apa-apa rasuah daripada pekebun sayur di Cameron Highlands.

"Tetapi jangan pula apabila saya bersumpah begini ada yang mengata saya ada terima daripada sumber yang lain pula," katanya pada sesi penggulungan sidang DUN.

Menurutnya kerajaan negeri Pahang telah lama menghentikan pengeluaran kelulusan lesen menduduki sementara (TOL) di Cameron Highlands iaitu sejak tahun 2000 dalam usaha memelihara tanah tinggi itu daripada penerokaan tidak terkawal.

Malah katanya, bermula 2007 setiap pembaharuan lesen TOL juga perlu dibawa dalam mesyuarat kerajaan negeri untuk keluluasan dan bukannya menerusi pejabat daerah lagi.

Adnan berkata langkah itu dilakukan bertujuan untuk mengelakkan rasuah dalam kalangan pentadbir di peringkat daerah itu.

"Tetapi apabila saya lakukan tindakan itu ramai pula menyangka saya dan Exco, nak makan duit rasuah sayur,".

Sementara itu dalam perkembangan lain, Adnan berkata tahun 2017 akan dijadikan sebagai Tahun Melawat Pahang dalam usaha kerajaan negeri untuk membawa industri pelancongan di negeri ini ke tahap lebih tinggi.

"Kali terakhir Tahun Melawat Pahang ialah pada tahun 1994 dan Pahang mempunyai banyak produk yang boleh diketengahkan seperti Taman Negara dan acara-acara bertaraf antarabangsa.

"Persiapan untuk Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 sedang giat dilakukan... 2016 merupakan tahun pemasaran dan promosi," katanya.

Beliau berkata disasarkan seramai 15 juta pelancong akan berkunjung ke negeri ini dengan membuat perbelanjaan sebanyak RM9.9 bilion sempena TMP 2017.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-