Tuesday, July 30, 2024

Bersih: Hentikan pelesenan media sosial

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 30, 2024 
Badan pemantau pilihan raya, Bersih menyertai gesaan agar kerajaan menghentikan rancangan untuk melaksanakan pelesenan platform media sosial, dengan menyifatkan langkah itu sebagai terburu-buru dan membuka ruang kepada penyalahgunaan.

Bersih berkata kerajaan sebelum ini cenderung menggunakan undang-undang drakonian seperti Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1987 dan Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai senjata politik untuk menyiasat dan mendiamkan mulut pengkritik.

"Bersih menegaskan undang-undang baru ini akan membuka kepada penyalahgunaan kuasa dan tindakan tidak setimpal oleh pihak pemerintah yang boleh menidakkan keadilan kepada penyedia perkhidmatan media sosial, penyedia perkhidmatan pesanan internet dan akhirnya akan membungkam kebebasan bersuara.

"Undang-undang yang bersifat punitif seperti akta-akta yang disebutkan di atas, dan ditambah dengan perundangan baharu untuk perlesenan platform media sosial berpotensi besar untuk disalahgunakan sebagai kerangka perundangan untuk menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi daripada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gabungan itu turut menyokong cadangan Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Artikel 19 agar kerajaan menghentikan dulu keputusan itu dan mewujudkan satu majlis media sosial untuk mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan.

Ini katanya termasuk menerusi penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk meneliti punca kepada buli siber serta aktiviti penyalahgunaan platform sosial media yang lain dan menilai kerangka peraturan yang lebih inklusif.

"Bersih ingin tegaskan sebarang proses pembentukan undang-undang baharu ini harus dilakukan berasaskan prinsip ketelusan, keadilan, kebertanggungjawaban, inklusif serta menghormati hak asasi rakyat," tambahnya.

Pada Sabtu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi.

Langkah baru itu yang akan diperkenalkan pada 1 Ogos dan dikuatkuasakan mulai 1 Jan tahun depan, bertujuan untuk menangani jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Bagaimanapun, aktivis dan kumpulan masyarakat sivil berkata langkah itu boleh disalahgunakan untuk menutup mulut pengkritik, sama seperti undang-undang drakonian lain di negara ini.

Bagaimanapaun Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan kebebasan bersuara tetap wujud di media sosial walaupun dengan rancangan kerajaan untuk memperkenal lesen dan kawal selia untuk platform tersebut.

1 comment:

  1. Posting yang sama tajuk di FB sudah kena buang.....melanggar peraturan.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-