Tuesday, July 30, 2024

‘Tak adil kata kerajaan Anwar diktator’, Hassan sanggah Ambiga

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-30 Jul 2024

Hassan Karim mengakui pentadbiran Anwar Ibrahim kini mempunyai kelemahan namun bukan diktator.
Hassan Karim menyifatkan Ambiga Sreenevasan berlebihan dan tidak adil mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim sebagai kerajaan paling diktator dalam sejarah negara.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menyangkal dakwaan bekas ketua Bersih Ambiga Sreenevasan yang mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim sebagai kerajaan paling diktator dalam sejarah negara.

Wakil rakyat PKR itu menyifatkan bekas presiden Majlis Peguam terbabit berlebihan dan tidak adil dalam mengkritik berhubung tindakan kerajaan mengenakan undang-undang pelesenan baru bagi pengendali perkhidmatan media sosial dan pesanan internet.

Menurutnya, cadangan dikhususkan kepada pengendali perkhidmatan mempunyai lapan juta pengikut itu boleh dibantah, dipertikai dan disanggah.

“Saya sebagai Ahli Parlimen dipilih rakyat menyokong kerajaan persekutuan sekarang walaupun sedar kerajaan ini ada kelemahannya di sana sini (namun saya) amat yakin bahawa kerajaan ini bukan kerajaan diktator.

Saya yang menceburi dunia politik dari muda semasa mahasiswa sehingga ke usia warga emas kini yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara menafikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim diktator, katanya di Facebook.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana kerajaan mentadbir Putrajaya kini boleh dianggap diktator sedangkan mereka tidak pernah menggantung Parlimen dengan mengisytiharkan darurat seperti kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelumnya?.

“Bagaimana kerajaan pimpinan Anwar ini diktator sedangkan di Parlimen Laporan Suhakam dibahaskan? Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Jawatankuasa Kewangan Negara (PAC) Parlimen dibahaskan secara terbuka di Parlimen?.

Bagaimana kerajaan persekutuan sekarang jadi diktator sedangkan tiga minggu lalu pada 6 Julai calon yang mewakili parti kerajaan persekutuan kalah teruk di PRK Sungai Bakap?, katanya.

Hari ini, media melaporkan Ambiga mendakwa pentadbiran kini disifatkan kerajaan paling diktator dalam sejarah pemerintahan negara kerana tidak memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, sebaliknya memperkenalkan pelesenan baharu untuk media sosial.

Minggu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengumumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon lesen kelas pemberian perkhidmatan aplikasi.

Kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet akan diperkenal 1 Ogos.

SKMM menjelaskan dasar baharu itu dibuat selaras keputusan Jemaah Menteri dalam usaha memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-