Showing posts with label Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Show all posts
Showing posts with label Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Show all posts

Tuesday, October 29, 2024

Polis siasat insiden kibar bendera asing di Johor Bahru

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
29 Oct 2024, 11:13 AM

Program anjuran sebuah pertubuhan kebudayaan di Sentosa itu kelmarin menghimpunkan penganut agama membabitkan lebih daripada 10 negara.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata siasatan termasuk di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949. (Facebook pic)

PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan terhadap insiden tular pengibaran bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu acara perarakan festival budaya antarabangsa di Sentosa, Johor Bahru malam kelmarin.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata polis menerima satu video tular semalam yang menunjukkan sekumpulan individu berkenaan mengibarkan bendera negara luar.

Menurutnya, program anjuran sebuah pertubuhan kebudayaan itu menghimpunkan penganut agama membabitkan lebih daripada 10 negara.

“IPD Johor Bahru Selatan telah menerima satu laporan polis berhubung pengibaran negara luar dalam perarakan itu pada 3 petang semalam.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata pihaknya akan memanggil penganjur dan saksi terbabit acara berkenaan bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian Hotline Johor Bahru selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Tuesday, July 30, 2024

Bersih: Hentikan pelesenan media sosial

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 30, 2024 
Badan pemantau pilihan raya, Bersih menyertai gesaan agar kerajaan menghentikan rancangan untuk melaksanakan pelesenan platform media sosial, dengan menyifatkan langkah itu sebagai terburu-buru dan membuka ruang kepada penyalahgunaan.

Bersih berkata kerajaan sebelum ini cenderung menggunakan undang-undang drakonian seperti Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1987 dan Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai senjata politik untuk menyiasat dan mendiamkan mulut pengkritik.

"Bersih menegaskan undang-undang baru ini akan membuka kepada penyalahgunaan kuasa dan tindakan tidak setimpal oleh pihak pemerintah yang boleh menidakkan keadilan kepada penyedia perkhidmatan media sosial, penyedia perkhidmatan pesanan internet dan akhirnya akan membungkam kebebasan bersuara.

"Undang-undang yang bersifat punitif seperti akta-akta yang disebutkan di atas, dan ditambah dengan perundangan baharu untuk perlesenan platform media sosial berpotensi besar untuk disalahgunakan sebagai kerangka perundangan untuk menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi daripada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gabungan itu turut menyokong cadangan Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Artikel 19 agar kerajaan menghentikan dulu keputusan itu dan mewujudkan satu majlis media sosial untuk mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan.

Ini katanya termasuk menerusi penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk meneliti punca kepada buli siber serta aktiviti penyalahgunaan platform sosial media yang lain dan menilai kerangka peraturan yang lebih inklusif.

"Bersih ingin tegaskan sebarang proses pembentukan undang-undang baharu ini harus dilakukan berasaskan prinsip ketelusan, keadilan, kebertanggungjawaban, inklusif serta menghormati hak asasi rakyat," tambahnya.

Pada Sabtu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi.

Langkah baru itu yang akan diperkenalkan pada 1 Ogos dan dikuatkuasakan mulai 1 Jan tahun depan, bertujuan untuk menangani jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Bagaimanapun, aktivis dan kumpulan masyarakat sivil berkata langkah itu boleh disalahgunakan untuk menutup mulut pengkritik, sama seperti undang-undang drakonian lain di negara ini.

Bagaimanapaun Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan kebebasan bersuara tetap wujud di media sosial walaupun dengan rancangan kerajaan untuk memperkenal lesen dan kawal selia untuk platform tersebut.

Monday, March 20, 2017

Lelaki hina PM di Facebook ditahan

Bernama 
March 20, 2017

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap perdana menteri melalui laman Facebook.
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan polis hari ini selepas didapati mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi laman sosial pada 16 Mac lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki itu ditahan 1 tengah hari tadi di Pulau Pinang berikutan kenyataan dibuatnya yang dipercayai boleh menggugatkan keharmonian serta kesejahteraan negara.

“Pada 16 Mac lalu, polis Johor menerima beberapa laporan berkaitan penyalahgunaan media sosial itu dengan satu kenyataan jelik terhadap perdana menteri dan polis membuat tindakan susulan.

“Suspek ditahan di sebuah restoran di Tingkat 2, ICT Mall Komtar, Georgetown dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini petang tadi.

Wan Ahmad Najmuddin berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap perdana menteri melalui laman Facebook.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas mensabitkan.

Wan Ahmad Najmuddin turut menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu atau untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

“Sebagai negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa, hormat menghormati serta sifat kesopanan dan kesusilaan di antara satu sama lain adalah begitu penting dalam menjamin keharmonian sesebuah negara.

“Saya juga mengingatkan polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit,” tegasnya.

Sunday, July 3, 2016

Gambar aib PM: Penulis buku direman tiga hari

SITI NOOR SEPEE
3 JULAI 2016
Penulis dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.
JOHOR BAHRU - Seorang penulis buku terkenal direman selama tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan terhadap kes menyebarkan gambar mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam kejadian Jumaat lalu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Norhidayah Abd Manaf membenarkan penulis direman sehingga Selasa ini selepas mengambilkira faktor kesihatan tertuduh yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Mengikut faktas kes, pada Jumaat lalu kira-kira jam 7.00 pagi semasa pengadu berada di rumah di Senggarang, Batu Pahat menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang memaparkan gambar tidak senonoh Najib yang dihantar oleh penulis.

Pengadu mendapati gambar berkenaan telah diedit dan menjatuhkan moral pemimpin pertama negara.

Penulis pada mulanya ditahan polis di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari mulai hari ini hingga 6 Julai (Rabu ini).

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dia yang memakai baju lokap bewarna unggu dibawa ke mahkamah kira-kira jam 10 pagi tadi.

Saturday, August 22, 2015

Akta sedia ada memadai sekat salah guna internet

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 OGOS 2015

Gambar Hiasan.

SHAH ALAM - Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang diwujudkan di negara ini sudah memadai dalam usaha menyekat pelbagai isu dan salah guna medium komunikasi khususnya internet.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teknologi, Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, tidak wajar menggubal akta baharu untuk mengawal selia internet dalam usaha menghalang penyebaran fitnah dan khabar angin, sebaliknya akta sedia ada mungkin hanya perlu ditambah baik.

“Perkara paling utama bagi mengatasi fitnah dan khabar angin dalam kalangan pengguna internet adalah melalui pendidikan atau kesedaran literasi media kepada pengguna agar lebih bijak dalam menilai dan menganalisis media,” katanya ketika diminta mengulas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan standard antarabangsa bagi mengawal selia internet ketika berucap pada siri ke-26 Ceramah Tunku Abdul Rahman bertajuk ‘Kepimpinan Dalam Masa Mencabar’ anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM) malam kelmarin.

Dalam ucapan berkenaan, Perdana Menteri berkata, apa yang akan dilakukan kerajaan adalah bagi mengawal selia, bukan menyekat pengguna internet, agar tiada siapa menderita akibat difitnah jenayah.

Mohd Khairie berkata, perkara berkenaan bukan satu isu baharu bahkan ianya telah diutarakan pada 2012 oleh sebuah institusi antarabangsa iaitu International Communication Union (ITU) supaya satu dasar atau polisi bagi mengawal selia penggunaan aktiviti internet berstandard dunia diwujudkan.

"Bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya kerana sesetengah negara yang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

"Apa yang diutarakan Perdana Menteri kurang jelas kerana aspek penggunaan internet terlalu luas meliputi medium untuk berkomunikasi, ekonomi, perniagaan dan sebagainya dengan skop yang terlalu luas bukan sahaja merujuk kepada situasi semasa yang menggalakkan perlakuan fitnah,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Khairie berkata, sekiranya kerajaan ingin meneruskan cadangan berkenaan, apa yang utama diharapkan dasar atau polisi yang digubal memberi manfaat kepada pengguna dan tidak merugikan rakyat serta menjamin pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan sosial.

Friday, August 7, 2015

Akta Komunikasi dibuat untuk diamkan rakyat

FATHIN ATHIRAH HASLI
7 OGOS 2015
- Gambar Hiasan
PETALING JAYA - Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 yang bakal diusul Oktober nanti merupakan usaha kerajaan untuk mendiamkan rakyat.

Ini kerana menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, media sosial merupakan salah satu cabang berguna bagi rakyat untuk menyalurkan dan berkongsi maklumat mengenai isu-isu semasa berkaitan kerajaan dengan rakyat.

"Sekarang bagaikan berjalan satu operasi untuk mendiamkan anak muda dan pimpinan politik yang lantang bersuara meminta penjelasan serta menggertak agensi-agensi kerajaan yang melakukan siasatan.

"Seolah-olah ada satu usaha untuk mendiamkan rakyat yang begitu marah akibat pelbagai skandal dan kepincangan yang melanda negara," katanya menerusi sebuah sidang media di sini, hari ini.

Awal minggu ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa kerajaan mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia dan SKMM.

Katanya, penggunaan internet dan media sosial di negara ini dipelopori terlalu meluas tanpa mengikut undang-undang.

Menurut Fahmi lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya bersikap lebih demokratik dan terbuka dalam menerima kritikan rakyat khusus menerusi media sosial.

"Beliau (Najib) perlu sedar bahawa media sosial merupakan perhubungan dua hala. Zaman perhubungan satu hala sudah lama berkubur.

"Beliau tidak sepatutnya menggunakan retorik "trial by social media" sebagai alasan membuat pindaan terhadap akta-akta ini, lebih-lebih lagi kerana rakyat hanya mengharapkan penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Kekangan dan tindakan ini hanya mengukuhkan persepsi bahawa ada sesuatu yang cuba disembunyikan.," katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-