Wednesday, July 24, 2024

Kajian 20,000 dokumen tentukan hubungan Kedah, Pulau Pinang akan dibentang

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my
Julai 24, 2024 
Muhammad Sanusi pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Wisma Darulaman. NSTP/ WAN NABIL NASIR.

ALOR SETAR : Kerajaan negeri akan membentangkan dapatan hasil kajian pasukan penyelidiknya ke atas 20,000 dokumen di luar negara bagi melihat fakta sebenar hubungan antara Kedah dan Pulau Pinang pada masa lampau.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pasukan penyelidik membabitkan pakar perundangan dan sejarahwan terbabit sedang meneliti dokumen yang diambil di England, Belanda, Thailand dan Indonesia.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menggunakan dapatan daripada kajian berkenaan bagi menentukan hala tuju baharu dalam hubungan antara dua negeri berkenaan termasuk dalam isu berkaitan tuntutan pajakan dan pampasan bekalan air.

"Pasukan pengkaji sejarah Kedah dan Pulau Pinang sedang mengumpulkan dapatan kajian yang akan diumumkan pada Disember ini selepas mereka beberapa kali keluar negara bagi mengumpulkan kira-kira 20,000 dokumen yang kebanyakannya laporan pentadbiran Negeri-Negeri Selat.

"Saya ada teliti sedikit dokumen yang diambil di British Library dan British National Archive yang menjadi rujukan kajian, semua ini akan dijadikan fakta kepada kerajaan negeri dalam melihat hubungan Kedah dan Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Tahun lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri akan meneruskan usaha membetulkan sejarah berkaitan kedudukan Kedah dan Pulau Pinang yang didakwa dipesongkan sejak 200 tahun lalu.

Katanya, eksploitasi ke atas sejarah Kedah yang dilakukan sejak pemerintahan British wajar diperbetul selepas mendakwa pakar sejarah pada era ini menemui fakta baharu hasil pelbagai kajian.

Isu ini timbul apabila pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, sewaan Pulau Pinang terbatal sebaik saja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kajian itu dibuat bukan semata-mata untuk membolehkan tuntutan dibuat ke atas Pulau Pinang, tetapi bagi menjelaskan bagaimana wujudnya hubungan antara dua negeri berkenaan.

"Laporan pentadbiran Negeri-Negeri Selat itu adalah yang dihantar kepada House of Common dan Straits Settlement Office di London. Jadi kita tunggu dapatan pasukan pengkaji sebelum kerajaan negeri kemukakan fakta ilmiah mengenai kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

"Dalam isu ini, kita tidak pernah diam dan saya sendiri bercakap lama mengenainya, bukan kerana kita hendak duit percuma. Saya mahu jadikan perkara yang kita ungkap sejak ratusan tahun dulu sebagai fakta, sebab itu kita kumpul semua bahan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-