Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jul 24, 2024 12:26 PM
Badan Peguam Malaysia berpaling kepada Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan Peguam Negara yang menarik balik kes rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Badan profesion undang-undang itu memfailkan notis rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.
Menurut salinan notis rayuan yang dilihat oleh Malaysiakini, Badan Peguam tidak berpuas hati dengan keputusan hakim Amarjeet Singh yang disampaikan pada 27 Jun lalu.

Keperluan undang-undang untuk kebenaran semakan adalah untuk menghapuskan permohonan remeh atau sia-sia pada peringkat awal dan untuk memastikan bahawa perkara itu hanya diteruskan ke pendengaran substantif jika terdapat kes untuk dipertimbangkan.
Pada 27 Jun, Amarjeet memutuskan bahawa isu kuasa peguam negara untuk memulakan atau menghentikan prosiding jenayah secara umumnya bukan perkara yang boleh diputuskan oleh mahkamah.
Hakim menyatakan bahawa kuasa perlembagaan peguam negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dianggap sah dan Badan Peguam tidak dapat mempertikaikan keabsahan tersebut.
Mahkamah juga menolak permohonan Badan Peguam agar mahkamah tinggi meneliti beberapa isu perlembagaan yang berkaitan dengan kuasa peguam negara untuk menarik balik kes jenayah terhadap Ahmad Zahid.

Pada 2 Disember tahun lalu, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.
[Baca berita penuh]
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.