Saturday, July 13, 2024

Pembangkang kuasai 4 negeri bukan sebab jentera mereka kuat - Ahmad Zahid

bharian.com.my
Oleh Baharom Bakar 
bhnews@bh.com.my
Julai 13, 2024 @ 7:46pm
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - NSTP/GHAZALI KORI

JERTIH: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu tidak perlu berdiam diri, sebaliknya harus bersedia untuk menangkis setiap isu dibangkitkan pihak lawan.

Beliau menekankan, kejayaan parti pembangkang mencakupi PAS dan BERSATU menguasai Kelantan, Terengganu, Perlis serta Kedah pada pilihan raya lalu bukan disebabkan kekuatan jentera mereka.

Sebaliknya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu berpunca daripada kelemahan strategi.

"Kegagalan UMNO menguasai empat negeri pada PRU lalu disebabkan ada dalam kalangan ahli parti yang melemahkan sesama sendiri.

"Kita perlu mengubah strategi dan tidak terlalu memberi tumpuan kepada politik pembangunan serta perkhidmatan.

"Sebaliknya, kita perlu bersedia untuk menangani setiap isu yang dibangkitkan parti lawan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat; Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusof; dan Bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh.

Seterusnya, Ahmad Zahid berkata, UMNO perlu membentuk jawatankuasa khas untuk menangani semua isu dibangkitkan parti pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri itu juga menegaskan, seluruh pimpinan UMNO perlu berubah dan memanfaatkan pelbagai kemudahan sekiranya ingin mengembalikan kegemilangan parti.

"UMNO dan BN gemilang ketika parti diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik sebagai Presiden dari 2003 hingga 2009.

"UMNO Terengganu juga mampu mengulangi kegemilangan sebagaimana diterajui Idris yang dilantik sebagai Pengerusi BN negeri pada 2018, apabila berjaya merampas Terengganu daripada terus dikuasai PAS pada 2004," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berikrar untuk terus memperjuangkan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-