Monday, July 8, 2024

Umno Bentong minta kerusi Ketari yang dipegang DAP

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 8, 2024 6:51 PM
Umno Bentong akan meminta untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).

Pemangku ketua Umno Bentong Mohamad Zaini Salleh (gambar judul) berkata ini kerana kerusi berkenaan yang kini disandang oleh Thomas Su Keong Siong daripada DAP, terletak di kawasan majoriti Melayu.

Calon BN Amizar Abu Adam juga kalah tipis pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), katanya.

"Kita akan buat tuntutan secara rasmi agar DUN Ketari diberikan kepada Umno untuk pilihan raya umum akan datang. Ini kerana kita ada justifikasi pada PRU15, kita Umno bertanding dan kita hanya kalah 120 undi.
"Kita akan memohon pertimbangan pihak parti khususnya pimpinan BN pusat dan negeri agar memutuskan kerusi Ketari (diberikan) kepada Umno," katanya, petik laporan Sinar Harian.

Mohamad Zaini menyuarakan tuntutan itu ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong di Pahang hari ini.

Pada PRU15, Su (gambar atas) menang kerusi itu dengan 9,722 undi menentang Amizar dan William Tan dari PN.

Zaini berkata Umno mempunyai beberapa individu berwibawa yang boleh bertanding di kerusi Ketari.

Dia turut menyebut seorang calon yang tidak dinamakan sebagai calon berpotensi diletakkan bertanding pada PRU16.

"Calon tersebut amat mesra dan dikenali penduduk setempat serta merupakan anak Ketari," katanya lagi.

Dalam pada itu, Zaini memberitahu Umno Bentong sentiasa menjalankan kerja-kerja mendekati pengundi dan masyarakat.

Antaranya, dengan melancarkan jentera laskar siber Umno Tentera Alam Maya (Tamu), dalam usaha menangani cabaran semasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-