Monday, July 8, 2024

Bukan semua masalah boleh selesai segera - PM

bharian.com.my
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
bhnews@bh.com.my 
Julai 8, 2024 @ 7:21pm
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Program Santai Bersama Komuniti India Parlimen Tambun di Dewan Komuniti Chemor, Ipoh - Foto NSTP/L MANIMARAN

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat tidak tergesa-gesa menuntut perubahan yang dijanjikan kerajaan serta mengemukakan apa juga permasalahan yang timbul secara berhemah agar ia boleh diselesaikan.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu faham bahawa bukan semua masalah boleh segera diselesaikan, justeru sebarang tuntutan yang dikemukakan secara baik dan berhemah akan diteliti dan cuba diselesaikan.

Ahli Parlimen Tambun itu mengemukakan beberapa contoh seperti keputusan Kabinet baru-baru-baru ini yang memutuskan pelajar bukan Melayu yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 10A dan ke atas layak melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi.

Anwar berkata, kemungkinan daripada 10 orang yang layak hanya dua orang yang belum mendapat tawaran memasuki matrikulasi itu justeru tidak sepatutnya mereka yang belum mendapat tawaran itu berkata buruk mengenainya jika belum tampil secara berhemah.

"Kita bagi arahan semua mesti dapat (tawaran), tetapi ada satu atau dua belum dapat kemudian katakan 'tengok ini kerajaan tipu, kerajaan zalim'. Keputusan itu untuk seluruh negara bahawa siapa dapat 10A mesti automatik dapat (matrikulasi), tetapi ada sudah dua orang Cina tak dapat, bising bukan main.

"Cakap baik-baik, bawa bincang dengan baik kerana apabila kita dengar kalau boleh selesai, selesai.... jadi sebab itu saya kata komplen boleh tetapi jangan timbul cakap seolah-olah Anwar tak ada ambil tahu semua. Itu tak betul," katanya sewaktu berucap ketika menghadiri Program Santai Bersama YAB Perdana Menteri dengan Komuniti India Parlimen Tambun di Dewan Komuniti Chemor, di sini petang ini.

Hadir sama Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Anwar dalam pada itu mengemukakan beberapa perkara yang menunjukkan kerajaan pimpinannnya tidak pernah meminggirkan masyarakat India antaranya menerusi tambahan RM50 juta bagi program pembiayaan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional selain RM50 juta Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Jangan bermusuh, jangan bawa perpecahan, kalau masyarakat India cakap pada saya dengan baik, saya tengok dan cuba selesaikan.

"Kemudian mengenai pemberian Biasiswa PETRONAS pelajar India yang dahulunya hanya tumpukan pada pelajar Melayu. Sekarang PETRONAS menggajikan lebih 1,000 kakitangan daripada kalangan kaum India," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kini berbaki tiga tahun sebelum berakhir penggal pentadbirannya selaku Perdana Menteri, beliau perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dengan tidak memberi tender kepada keluarga sendiri selain berpenampilan sederhana.

"Saya tak mahu buat begitu, dari dapat RM10 juta, RM1 juta diserahkan kepada isteri, RM1 juta diberi kepada anak, menantu. Saya sudah kerja satu setengah tahun, saya tak beri tender untuk keluarga saya malah tak ambil gaji sekarang (sebagai Perdana Menteri).

"Kereta mahal berharga RM2 juta pun saya tolak walaupun kalau saya ambil pun okay, bukan sebab apa melainkan saya mahu tunjukkan (bahawa) bukan semua Perdana Menteri macam itu, agar menjadi inspirasi buat rakyat.

"Rakyat sekarang ini susah, harga barang naik, sesetengahnya kalau hendak makan pun tak cukup, begitu juga sekolah anak-anak. Jadi kalau menjadi pemimpin mesti fikir bagaimana boleh selesaikan, tetapi kalau kita pemimpin fikir anak, menantu, kawan maka jadi rakyat (bagaimana) mahu tolong?" katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-