Thursday, August 22, 2024

MCW cadang perasuah dihukum sebat mandatori

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 22, 2024 8:45 AM
Saranan agar kerajaan menguatkuasakan hukuman yang lebih berat seperti sebatan mandatori terhadap individu terlibat rasuah adalah satu bentuk tindakan tegas untuk membuktikan isu itu ditangani secara serius.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata sebelum ini kebanyakan pesalah rasuah didapati tidak ‘terkesan’ dengan hukuman penjara atau denda yang dikenakan terhadap mereka.

“Oleh itu, MCW berpendapat apabila hukuman sebatan diperkenalkan akan melahirkan rasa gerun kepada mereka yang ingin berbuat demikian kerana kesan sebatan memberi impak mendalam ditanggung seumur hidup.

“Hukuman berat dan berkesan pasti akan menjadi satu pencegahan yang kuat kepada mereka yang mungkin terfikir untuk terlibat dalam rasuah ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari ini: ‘Rasuah Dalam Imigresen Semakin Kritikal?’ terbitan Bernama TV semalam.
Beliau berkata ia juga penting untuk memulihkan integiriti dalam sektor penguatkuasaan dan memberi kepercayaan kepada rakyat bahawa keadilan akan ditegakkan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Beliau diminta mengulas adakah hukuman sebatan mandatori yang dicadangkan Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3RAM) dan disokong oleh MCW sebelum ini, bersifat keterlaluan untuk dikenakan terhadap pesalah kes rasuah termasuk penguat kuasa yang terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara tanpa melalui pemeriksaan yang ditetapkan.

Cadangan itu susulan beberapa pembongkaran kes sejak akhir-akhir ini dengan terbaharu melibatkan tangkapan lima pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, yang disyaki bersekongkol dengan sindiket untuk melepaskan warga asing menerusi modus operandi dipanggil ‘counter setting’.

Jais berkata pembongkaran itu menunjukkan komitmen tinggi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa di Jabatan Imigresen.

“MCW sangat menyambut baik usaha ini, ia adalah langkah penting untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjaga dan terjamin, mengambil kira memang wujud kelemahan yang ketara dalam prosedur pemeriksaan di pintu masuk negara yang memudahkan berlakunya kes rasuah,” katanya.

- Bernama
View Synonyms and Definitions

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-