Ili Aqilah
Diterbitkan: Aug 22, 2024 9:04 AM
Walau dengan keributan di media sosial dan juga media berhubung ucapan kontroversi Pengerusi PN Muhyiddin Yassin - yang mencetuskan ketegangan dengan istana Pahang - penganalisis berpandangan ia mungkin hanya memberi kesan kecil dalam politik negara.
Menurut mereka, ucapan itu tidak akan mengubah landskap politik semasa mahupun kedudukan Muhyiddin dalam Bersatu dan PN.
Profesor Pengajian Asia University of Tasmania James Chin berkata kesan daripada ucapan itu hanya dapat dilihat di media sosial dan akan surut dalam masa beberapa hari.
“Dari segi impak politik, ini kekal sebagai isu di media sosial.
“Tapi dalam beberapa hari, ia akan surut. Polis akan bertindak pantas dan perkara ini akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, dengan Peguam Negara memutuskan tindakan selanjutnya,” kata Chin.
Kontroversi ini bermula apabila rakaman ucapan Muhyiddin ketika kempen PRK Nenggiri disebarkan di media sosial.
Dia dilihat mempersoalkan mengapa Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ketika PRU15, tidak mengundangnya ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun mendakwa dia memiliki sokongan 115 ahli Parlimen, termasuk dirinya.
Untuk rekod, Sultan Abdullah menawarkan kepada Muhyiddin untuk menubuhkan kerajaan gabungan dengan PH pimpinan Anwar Ibrahim namun dia menolaknya.
Kata Chin lagi, orang ramai kurang berminat dengan soal jika ucapan Muhyiddin bernada hasutan dan lebih berminat dengan soal jika dia dapat membuktikan memiliki sokongan 114 ahli Parlimen lain.
“Bagi kebanyakan orang, isunya bukan jika dia menghasut, tetapi untuknya membuktikan dia ada sokongan,” katanya lagi.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kemudian menyuarakan kemurkaan terhadap ucapan Muhyiddin, menyifatkan dia memperlekeh dan mempertikai tugas dan peranan bapanya sebagai Agong.
Ucapan persoal keabsahan kerajaan Anwar
Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Syaza Shukri pula berkata sementara Muhyiddin ada hak untuk bercakap tentang pengalaman dan pandangannya, ucapan itu membangkitkan persoalan berhubung keabsahan kerajaan pimpinan Anwar.
“Ini walaupun kerajaan Anwar sudah dapat undi percaya di Parlimen. Tak perlu ada persoalan lanjut berhubung siapa yang patut atau tak patut jadi kerajaan - soal ini sudah selesai,” katanya.
Turut senada adalah Mohammad Tawfik Yaakub, pensyarah Universiti Malaya yang berkata pengalaman peribadi Muhyiddin tidak menjustifikasikan tindakan mengkritik istana secara terbuka.
“Kita tidak ingin mewujudkan duluan di mana individu atau kumpulan rasa bebas untuk menyuarakan rasa tidak puas hati atau pandangan berbeza secara terbuka tentang institusi diraja, terutama ketika kempen pilihan raya.
Sultan Abdullah di hari terakhir sebagai Agong
Dia menyeru Muhyiddin untuk membuat permohonan maaf segera kepasa Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal.Syaza pula menasihatkan Muhyiddin agar tidak memanjangkan kontroversi itu, dan tidak lagi membangkitkan isu perakuan bersumpah.
“Kerajaan dan polis juga tidak perlu terlalu keras dalam menangani isu ini kerana ia hanyalah kenyataan yang dibuat Muhyiddin,” katanya.
Selepas Tengku Hassanal mengeluarkan titahnya, Adun PN di Pahang mengeluarkan kenyataan menyokong seruan Tengku Hassanal agar siasatan dibuat terhadap Muhyiddin.
Walaupun ada yang terkejut dengan kenyataan itu, Chin berkata ia langkah yang perlu untuk mengekalkan hubungan jangka panjang PN Pahang dengan istana.
“Semua ahli politik di Pahang faham yang komunikasi dengan istana adalah penting.
“Jika anda lawan istana, hidup anda akan jadi sangat sukar, terutama apabila pilihan raya. Jadi mereka tiada pilihan,” katanya lagi.
Namun Tawfik berpandangan kenyataan itu mungkin menandakan pergeseran antara kepimpinan PN negeri dan pusat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.