Friday, August 23, 2024

'Muhyiddin tiada sokongan mencukupi, ada MP tanda tangan SD dua, tiga kali'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 23, 2024
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menempelak Muhyiddin Yassin yang terus menjaja bahawa dirinya mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya, menurut Anwar, pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri.

Ini kerana berlaku pertindihan apabila beberapa ahli parlimen menandatangani akuan berkanun (SD) sehingga dua atau tiga kali, menyebabkan Muhyiddin tiada sokongan mencukupi untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Apabila kedudukan tidak jelas, Muhyiddin kata ada 115, Anwar kata ada 112, ada orang tandatangan sekali, dua kali, tiga kali. Ada parti berbeza pendapat.

“Oleh itu, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) terpaksa buka semula dan semak untuk yakinkan diri Tuanku (Agong).

“Sebab itu dalam Perlembagaan Persekutuan, dikatakan mengikut pandangan dia (Agong) setelah melihat, kemudian Tuanku panggil sidang (Majlis) Raja-Raja untuk bincang,” katanya kepada pemberita selepas makan tengah hari di Warung Gertak Merah, Kg Sungai Penchala, di Kuala Lumpur hari ini.

Pada Rabu lalu, semasa siasatan polis ke atas dirinya berhubung dakwaan memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong sebeum ini, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,

Muhyiddin menyerahkan 115 akuan berkanun yang didakwanya yang menyokong dirinya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022.

Dia juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan yang bertarikh 21 Nov 2022 daripada setiausaha sulit kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Majlis Raja-Raja dan Peguam Negara ketika itu Idrus Harun turut mempertikai jumlah SD berkenaan.

“Setakat saya faham pandangan Raja-Raja dan peguam negara masa itu yang dilantik oleh Muhyiddin mengatakan jumlah itu dipertikai, maka diserah kepada budi bicara Agong,” kata Anwar.

Muhyiddin dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Dia didakwa sebagai berkata, dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya diangkat sebagai perdana menteri.

Namun, menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-