Friday, August 23, 2024

'SD Muhyiddin ada klausa batalkan semua perjanjian sebelum PRU15'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 23, 2024 11:51 AM
Akuan berkanun (SD) yang ditandatangani oleh semua ahli parlimen yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 mempunyai klausa yang membatalkan semua perjanjian sebelum pilihan raya, kata Bersatu.

Justeru, ketua penerangan parti itu, Razali Idris berkata bahawa kesahihan SD tersebut tidak boleh dipertikaikan dan apa yang ditandatangani oleh ahli parlimen itu sebelum PRU15 tidak boleh diambil kira.

Razali berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang mempersoalkan kesahihan SD tersebut.
“Zahid salah. Kenapa?

“Kerana SD yang ditandatangani oleh semua MP yang menyokong Muhyiddin mempunyai klausa bahawa semua dokumen yang ditandangani sebelum ini berkaitan pembentukan kerajaan selepas PRU-15 adalah terbatal.

“Ini bermakna semua 115 SD yang PN serahkan kepada Istana Negara pada jam 1.28 petang, 21 November 2022 adalah sah,” dakwanya.
Sebelum ini, Zahid berkata PN hanya mempunyai 105 ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas PRU15 memandangkan 10 SD daripada BN adalah tidak sah.

Ini, katanya kerana ahli parlimen BN telah menandatangani tiga dokumen yang menyerahkan kuasa kepadanya sebagai presiden parti, mengakui mana-mana kerusi yang dimenangi adalah milik parti, dan perjanjian untuk membayar denda RM100 juta jika mereka keluar parti atau menyokong orang lain.

Malah menurut Razali, dia yakin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim ketika itu tidak menikmati sokongan majoriti untuk mempertikaikan SD Muhyiddin.
“Adakah Anwar Ibrahim mempunyai lebih 112 SD pada masa itu untuk dilantik sebagai PM?

“Saya fikir tidak. Kenapa?

“Kerana kalau Anwar telah mempunyai lebih 112 SD sebelum jam 2.00 petang pada 21 November 2022, iaitu tempoh masa yang ditetapkan oleh Istana Negara untuk penyerahan SD, dia tentunya berlari ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah,” katanya.

Semalam, Razali Razali Idris membidas membidas pihak yang mengkritik presiden partinya, dengan mencabar Muhyiddin supaya mendedahkan nama-nama ahli parlimen yang menyokong dirinya menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum lalu.

Sambil menasihatkan mereka supaya 'menutup mulut', Razali berkata ahli parlimen BN tersebut telah diugut dan mereka perlu memberi keterangan di mahkamah jika Muhyiddin didakwa atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong sebelum ini berhubung pelantikan perdana menteri selepas PRU15.
Muhyiddin dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Dia didakwa sebagai berkata, dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya diangkat sebagai perdana menteri.

Namun, menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Untuk membantu siasatan polis terhadap ucapannya itu, dia telah menyerahkan 115 akuan berkanun (SD) yang menyokong dirinya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022 kepada polis.

Dia juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan yang bertarikh 21 Nov 2022 daripada setiausaha sulit kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dia juga menyebut bahawa turut disertakan bersama adalah 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (GPS - 22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS - 6), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM - 1), serta SD daripada 10 ahli Parlimen BN dan dua ahli Parlimen bebas.

SD daripada PN dan MP PAS adalah berasingan kerana PN pernah bertanding menggunakan logo PAS di Terengganu dan Kelantan.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-