Monday, August 19, 2024

Peguam kemuka hujahan 2,500 muka surat mengapa Najib harus dibebaskan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 19, 2024 12:10 PM
Peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa hujahan utamanya merangkumi lebih 2,500 muka surat.

Menurutnya, tuduhan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat 1MDB yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak adalah cacat kerana terdapat pelbagai pertindihan terutamanya membabitkan empat pertuduhan utama, seterusnya mengakibatkan ia agak kabur.

Tambahnya, jumlah muka surat itu tidak termasuk hujahan balas yang akan mencecah lebih 3,000 muka surat di akhir hujahan.

“Kami memohon maaf kerana tidak boleh meringkaskan hujahan kami kerana terlalu banyak perkara yang perlu dinyatakan,” kata peguam itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Bekas anggota parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA), yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-