Oleh Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
Ogos 17, 2024
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Program Madani Zon Selatan 2024 di Dataran UTM, Skudai, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekecewaan susulan segelintir pihak di negara ini terus mencerca dan membuat pelbagai tohmahan terhadapnya dan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri berkata, setiap langkah dan tindakan yang dibuat turut diperkecil dan diperlekehkan seolah-olah tiada manfaat diperoleh rakyat di negara ini.
"Saya tiada masalah termasuk di Johor, jika ada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau EXCO beri teguran, saya terima.
"Namun, sikap mengaibkan, mencerca dan memperlekeh apa yang (beliau, Kerajaan Perpaduan) dilakukan secara berterusan termasuk ganjaran penjawat awam, seakan tidak pernah berkesudahan.
"Padahal pelarasan gaji penjawat awam diumumkan selepas pengiraan teliti dibuat, dan kenaikan ini kepada kakitangan pendapatan rendah antara RM2,000 hingga RM2,500, supaya pendapatan kakitangan rendah dan tinggi tidak terlalu melebar.
"Janganlah kufur nikmat. Janganlah ekonomi baik tak syukur, naik gaji tak syukur, negara aman pun tak bersyukur," katanya berucap pada penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyerahkan replika cek Skim Insuran Kesejahteraan Rakyat kepada waris Hapies Kasah (dua, kanan), pada Program MADANI Rakyat Zon Selatan di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai hari ini. - Foto BERNAMA
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelbagai tohmahan dan cercaan melampau turut dilempar terhadapnya termasuk mendakwa kononnya menjadi tali barut Israel, Amerika Syarikat dan DAP."Apa yang ditohmah dan didengar di luar sudah keterlaluan. Padahal saya berkerja dalam satu pasukan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
"Islam tetap agama rasmi Persekutuan, hak Bumiputera terus dipertahankan dan Raja-Raja Melayu terus kekal.
"Kerajaan Perpaduan tak pernah ubah prinsip ini. Oleh itu, jangan dengar tohmahan dan cercaan jahat di luar yang bertujuan hanya mahu memfitnah.
"Biarlah mereka ini menjerit dan melalak kerana dalam dunia politik memang ramai pembelit, politik hasad dengki dan cemburu. Gunakan kebebasan kewarasan akal fikiran," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) pada Sesi Forum dan Dialog: Setahun Pencapaian Ekonomi MADANI sempena Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah); Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (dua, kanan), dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri). - Foto BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.