Showing posts with label Madani. Show all posts
Showing posts with label Madani. Show all posts

Monday, February 10, 2025

Tahun kedua penuh campur tangan ke atas Islam

harakahdaily.net
February 10, 2025

Tahun pertama tonjol pelbagai aktiviti dan tokoh Islam

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu kembali kepada matlamat asal untuk membawa perubahan negara kepada acuan Islam yang sebenar sebagai agama Persekutuan, bersesuaian dengan dasar ‘Madani’ dislogankan.

Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama dan Negara, Ustaz Masridzi Sat berkata, tahun kedua kerajaan menyaksikan pemimpin bukan-Islam seperti DAP dilihat mula mencampuri urusan berkaitan kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini.

“Walaupun di peringkat awal dipenuhi dengan kehadiran para alim ulama terkenal dari luar negara serta pelbagai aktiviti keagamaan seperti Maulidur Rasul, zikir munajat, seminar, tausiyah, ceramah pengajian dan sebagainya.

“Namun pada tahun kedua keadaan jadi berubah,” katanya pada sidang media NGO Melayu-Islam yang turut dihadiri Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali, di sini hari ini.

Juga hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali serta Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.

Jelas beliau, antara isu terbaru yang berlaku ialah bantahan garis panduan baru bagi orang Islam menyertai acara di rumah ibadat bukan-Islam dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Bantahan dibuat oleh pimpinan DAP, MCA, MIC dan pimpinan bukan Islam dalam Kerajaan Madani, juga cara tatakelola akhlak PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) yang menolak cadangan yang disokong oleh mufti ini.

“Adalah sangat merendah dan menghina JAKIM serta para mufti yang menyokong garis panduan ini. Ditambah lagi dengan isu-isu sensitif seperti kapal perang China di Pulau Pinang dan kibaran bendera China di Teluk Intan,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa rakyat beragama Islam di negara ini untuk membuka mata dan sedar mengenai perkembangan yang berlaku ketika ini.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat yang beragama Islam agar lebih peka dan sensitif terhadap isu-isu yang merbahaya kepada agama dan negara termasuklah berani menegur, berani bersuara dan berani membantah.

“Sebarang dasar atau peraturan yang boleh mengancam, memudaratkan dan melemahkan Islam dan umat Islam dalam negara ini,” katanya. 

– HARAKAHDAILY 10/2/2025

Friday, February 7, 2025

Garis panduan JAKIM adab sambut perayaan bukan Islam untuk lindungi akidah

bharian.com.my
Februari 7, 2025 @ 8:44am


Satu daripada enam nilai teras Malaysia MADANI adalah Hormat, merujuk kepada 'perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia'.

Teras murni ini pasti menjadi rujukan, pedoman dan panduan kerajaan serta agensinya bagi mewujudkan satu tatakelola kerja atau peraturan baharu hendak diwujudkan.

Atas faktor ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mewujudkan garis panduan bagaimana adab dan larangan bagi orang Islam menyambut perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mohktar menjelaskan, cadangan garis panduan itu masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti, sekali gus tidak wajar menjadi isu politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan Kabinet akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Timbul keanehan di sini apabila terdapat segelintir komuniti bukan Islam bertindak menentang cadangan diwujudkan garis panduan baharu daripada JAKIM ini serta bersikap 'lebih sudu daripada kuah' berbanding umat Islam.

Sedangkan sasaran JAKIM mewujudkan garis panduan ini adalah khusus untuk orang Islam dan tidak membabitkan bukan Islam.

Sudah pasti JAKIM melihat kepentingan garis panduan ini mengikut Perkara 3 Perlembagaan yang menegaskan Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan.

Perkara 11 pula menyatakan: 'Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya serta tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya'. Kebebasan ini membentuk perpaduan kukuh antara kaum dan dibuktikan dengan keamanan dikecapi rakyat selama ini.

Justeru, sepatutnya tidak timbul rasa prejudis komuniti bukan Islam apabila JAKIM hendak mewujudkan garis panduan mengenai kehadiran umat Islam dalam majlis atau acara membabitkan bukan Islam.

Dalam Islam, ada peraturan tertentu mengenai jenis pergaulan dibenarkan, terutama dalam konteks agama dan kepercayaan. Garis panduan itu bertujuan membantu umat Islam terutama pemimpin berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam serta cara menghormati prinsip agama mereka, tanpa melanggar batasan syariat.

Garis panduan ini juga memberi panduan bagaimana umat Islam boleh berinteraksi dengan bukan Islam dengan cara sopan dan beradab, tanpa menyinggung perasaan atau menyebabkan konflik untuk menjaga keharmonian masyarakat pelbagai agama dan budaya.

Ini kerana sesetengah acara mungkin mengandungi unsur bertentangan syariat Islam, maka garis panduan ini membantu umat Islam membuat keputusan bijak memilih jenis majlis atau acara patut dihadiri serta mana perlu dielakkan.

Jelas di sini, prejudis yang berbangkit adalah disebabkan kekeliruan sesetengah pihak mengenai prinsip 'boleh dan tidak boleh' umat Islam boleh terbabit dalam sesuatu acara atau majlis bukan Islam.

Prinsip asas garis panduan itu adalah untuk melindungi umat Islam daripada pengaruh yang boleh mengganggu kehidupan beragama mereka, bukan menyekat kebebasan perhubungan antara kaum.

Wednesday, January 22, 2025

PKR datang dari jalanan, jangan halang rakyat berhimpun – Hassan Karim

ByJanatul Firdaus Yaacob
22/01/2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina dari gerakan di jalan raya dan perhimpunan aman.

Justeru PH khususnya PKR diingatkan supaya tidak sesekali lupa diri,” demikian peringatan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

“Kerajaan PH khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina dari gerakan di jalan raya dan perhimpunan aman.

“Jangan lupa sejarah PH terutama PKR itu sendiri.

“Jangan lupa diri,” tegas beliau.


Kenyataan wakil rakyat PKR ini menyusul selepas polis menolak permohonan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan dianjurkan dari Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapati notis pemberitahuan himpunan itu tidak lengkap.

“Tidak elok Kerajaan Madani susah-susahkan rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Lebih-lebih lagi tujuan mereka berhimpun untuk menyatakan hasrat mereka benci pada rasuah. Apa bahayanya perhimpunan anak-anak muda dan anggota masyarakat yang ingin menyatakan fikiran mereka benci kepada rasuah?

“Tidakkah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani ini menjadikan tema benci kepada rasuah adalah perjuangan nombor satu.

“Akta perhimpunan aman 2012 pada masa kerajaan BN memerintah digubal dengan tujuan untuk memudahkan rakyat berhimpun secara aman kerana kerajaan menghormati hak rakyat di bawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk berhimpun.

“Di bawah Perkara 10 yang sama dinyatakan hak rakyat untuk bebas bersuara dan menyatakan fikiran.Apa yang Kerajaan Madani sekarang takutkan? soal Hassan lagi.

Bukan cuma itu, beliau juga memaklumkan, Kerajaan PH 1.0 pada tahun 2019 telah meminda akta perhimpunan itu untuk memudahkan lagi rakyat berhimpun.

Malah katanya Kerajaan PH 1.0 telah menyediakan Padang Merbok tak jauh dari Bangunan Parlimen sebagai tempat untuk berhimpun.

“Jadi Menteri Dalam Negeri perlu membantu para aktivis, NGO dan anggota masyarakat untuk berhimpun secara aman.Itu hak rakyat.

“Tujuan mereka hendak lawan rasuah.Ia selari dengan matlamat kerajaan sekarang pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Menteri Dalam Negeri perlu bimbing pihak polis supaya menyedari zaman dulu-dulu sebelum 2012 memang kuasa Polis di bawah Akta Polis 1967 untuk mengeluarkan permit polis boleh atau tak boleh rakyat berhimpun.

“Sekarang kuasa Polis di bawah Akta Polis telah dibatalkan dan diganti dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Jadi Menteri Dalam Negeri perlu menasihati pihak Polis supaya menjadi fasalitator atau pemudah cara untuk orang ramai berhimpun secara aman.
Lihat perhimpunan aman pada 6 Januari lalu di Istana Kehakiman di Putrajaya berjalan dengan aman.Ini menunjukkan rakyat Malaysia adalah rakyat yang aman bukannya perusuh.Polis harus hadir dalam perhimpunan aman benci rasuah ini sebagai pasukan pengaman yang bertujuan untuk mempermudahkan rakyat berhimpun,” jelas beliau.

Kata Hassan, di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 itu terdapat tempat-tempat atau lokasi yang perhimpunan aman tidak boleh diadakan seperti di kawasan stesen minyak misalnya.

“Jadi pihak polis boleh nasihatkan pihak penganjur supaya memilih tempat lain yang tidak dilarang oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 tersebut.

“Nama baik Kerajaan Madani akan jadi buruk jika menekan hak rakyat untuk berhimpun,” tegas Hassan.

Wednesday, September 11, 2024

Dakwa JK Harmoni agenda pluralisme agama tak benar - Menteri perpaduan:

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Sep 11, 2024 8:57 AM
Tohmahan dibuat Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard yang menyatakan penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) sebagai agenda pluralisme agama di bawah kerajaan, adalah keterlaluan dan tidak benar sama sekali.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kerajaan terdahulu melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2020, bersetuju dengan penubuhan JK HARMONI sebagai platform merapatkan jurang antara badan agama Islam dan selain Islam, serta berkongsi pandangan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Dua fungsi utama jawatankuasa ini termasuk mencadangkan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi yang bersesuaian serta berteraskan nilai murni keagamaan, demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama.

“Ia juga berfungsi untuk melaksanakan aktiviti kesedaran dan keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ia sebagai maklum balas kepada kenyataan Che'gu Bard semalam yang mendakwa JK HARMONI tidak harus diwujudkan, selain membuat tuduhan palsu bahawa kehadiran anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ke rumah ibadat selain Islam (RISI) melalui Program Harmoni MADANI, melibatkan aktiviti ritual dengan tujuan untuk menyamaratakan agama lain dengan Islam.

Bagaimanapun Aaron menekankan pelaksanaan Program Jejak Harmoni iaitu salah satu program di bawah Inisiatif Harmoni MADANI, tidak langsung menyentuh tentang akidah atau amalan ritual mana-mana agama.

“Program ini bertujuan untuk menyebarkan semangat kebersamaan, saling memahami, mengangkat nilai sejagat antara agama, sekali gus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan Inisiatif Harmoni MADANI mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu ‘Faham, Hormat dan Terima’ bagi memastikan budaya keharmonian antara masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Aaron berkata pengurusan isu dan cabaran menyentuh konteks perpaduan, memerlukan pendekatan dan inisiatif berterusan bagi memastikan keadaan perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Sehubungan itu, KPN dengan kerjasama JAKIM telah menjadikan keharmonian antara penganut agama sebagai agenda utama, dalam meningkatkan keharmonian rakyat di negara ini,” katanya.

- Bernama

Saturday, August 17, 2024

PM kecewa dirinya, Kerajaan Perpaduan berterusan ditohmah, dicerca

bharian.com.my
Oleh Mohamed Farid Noh 
farid_noh@bh.com.my
Ogos 17, 2024 
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Program Madani Zon Selatan 2024 di Dataran UTM, Skudai, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekecewaan susulan segelintir pihak di negara ini terus mencerca dan membuat pelbagai tohmahan terhadapnya dan Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri berkata, setiap langkah dan tindakan yang dibuat turut diperkecil dan diperlekehkan seolah-olah tiada manfaat diperoleh rakyat di negara ini.

"Saya tiada masalah termasuk di Johor, jika ada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau EXCO beri teguran, saya terima.

"Namun, sikap mengaibkan, mencerca dan memperlekeh apa yang (beliau, Kerajaan Perpaduan) dilakukan secara berterusan termasuk ganjaran penjawat awam, seakan tidak pernah berkesudahan.

"Padahal pelarasan gaji penjawat awam diumumkan selepas pengiraan teliti dibuat, dan kenaikan ini kepada kakitangan pendapatan rendah antara RM2,000 hingga RM2,500, supaya pendapatan kakitangan rendah dan tinggi tidak terlalu melebar.

"Janganlah kufur nikmat. Janganlah ekonomi baik tak syukur, naik gaji tak syukur, negara aman pun tak bersyukur," katanya berucap pada penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyerahkan replika cek Skim Insuran Kesejahteraan Rakyat kepada waris Hapies Kasah (dua, kanan), pada Program MADANI Rakyat Zon Selatan di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai hari ini. - Foto BERNAMA
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelbagai tohmahan dan cercaan melampau turut dilempar terhadapnya termasuk mendakwa kononnya menjadi tali barut Israel, Amerika Syarikat dan DAP.

"Apa yang ditohmah dan didengar di luar sudah keterlaluan. Padahal saya berkerja dalam satu pasukan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

"Islam tetap agama rasmi Persekutuan, hak Bumiputera terus dipertahankan dan Raja-Raja Melayu terus kekal.

"Kerajaan Perpaduan tak pernah ubah prinsip ini. Oleh itu, jangan dengar tohmahan dan cercaan jahat di luar yang bertujuan hanya mahu memfitnah.

"Biarlah mereka ini menjerit dan melalak kerana dalam dunia politik memang ramai pembelit, politik hasad dengki dan cemburu. Gunakan kebebasan kewarasan akal fikiran," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) pada Sesi Forum dan Dialog: Setahun Pencapaian Ekonomi MADANI sempena Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah); Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (dua, kanan), dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri). - Foto BERNAMA

Wednesday, March 6, 2024

Laung Madani tapi tak ikut nabi, Hadi bidas kerajaan

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli 
- 06 Mar 2024, 2:20pm

Presiden PAS berkata cadangan penghapusan pencen penjawat awam dilihat bukan pendekatan yang Madani.
Abdul Hadi Awang menggesa pemerintah berlaku adil kepada semua rakyat tidak kira di pihak pembangkang atau kerajaan.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengingatkan kerajaan ditadbir Perdana Menteri Anwar Ibrahim jangan hanya melaungkan slogan Madani tetapi tidak mengikuti ajaran nabi.

Hadi (PN-Marang) berkata, cadangan penghapusan pencen penjawat awam dilihat bukan pendekatan yang Madani.

“Jangan kita sebut Madani tetapi tidak menepati apa diajar nabi. Sebut Madani sahaja tetapi objektif tak (ikut apa) yang nabi laksanakan,” katanya dalam perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Jemaah Menteri dilaporkan setuju menetapkan syarat pengambilan penjawat awam baharu berstatus tetap tidak lagi menerima pencen.

Bagaimanapun, pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jabatan Perkhidmatan Awam ketika ini sedang menerajui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA), yang akan menjadi dasar baharu kerajaan khususnya berkaitan kaedah berpencen penjawat awam.

Sementara itu, Hadi berkata penjawat awam adalah golongan jentera kerajaan yang perlu dihargai khidmat mereka.

“Perlu dinilai penjawat ini bukan dari segi duit sahaja tetapi jasa dan khidmat mereka. Budi mereka kepada negara dan rakyat,” katanya.

Hadi dalam perbahasannya turut setuju dengan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyifatkan konsep Madani dibawa kerajaan seperti “burung tiung”, malah beliau menambah ia juga seperti “burung kakak tua”.

“Masukkan dalam ucapan saya. Memang bila bercakap, dia ikut apa tuan dia cakap. Apa makna tak tahu. Ini burung tiung. (Macam) burung kakak tua (juga) walaupun kakak tua tapi tak faham apa dia cakap,” katanya.

Terdahulu, Rasol ketika mencelah perbahasan Hadi berkata konsep Madani dibawa kerajaan berbeza dengan ajaran nabi.

Hadi turut menggesa pemerintah berlaku adil kepada semua rakyat tidak kira di pihak pembangkang atau kerajaan.

Beliau membangkitkan perkara itu selepas Ahli Parlimen pembangkang belum menerima peruntukan daripada kerajaan.

“Perlu adil dalam pemberian peruntukan. Ini kerana bila pungut cukai…pungut pada semua. Tetapi bila diagihkan beza-beza (dan) tak adil,” katanya.

Friday, February 16, 2024

Berbulan-bulan susah nak jumpa beras tempatan, alih-alih keluar Beras Madani

ismaweb.net
Ainul Illia
Kenapa RM30 untuk 10kg? Siapa pengilang Beras Putih Malaysia Madani?

BANGI, 6 Syabaan 1445H, Jumaat – Keputusan kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini, tidak diterima baik oleh rakyat.

Beras itu yang bakal menjadi kategori tunggal bagi beras putih menimbulkan pelbagai persoalan terutama daripada pihak pemain industri dan juga pembeli.

Hairan dengan isu ini, orang awam mula mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan lalu, sehingga menyebabkan mereka terpaksa membeli beras import pada harga yang lebih tinggi.

Lebih menambahkan persoalan, kerajaan membuat ‘kejutan’ dengan memperkenalkan Beras Putih Madani Malaysia dengan harga siling baharu.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. berkata, harga siling baharu bagi beras putih ditetapkan pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Ia akan mula berkuatkuasa pada Isnin (19 Februari) dan beras ini akan berada di pasaran pada 1 Mac.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.

Ini kerana, katanya, segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.

Membidas kenyataan itu, salah seorang pengguna Facebook, Baba Panjang mempersoalkan harga siling baharu yang ditetapkan kerajaan campuran ini.

“Kenapa RM30? Kenapa tak RM28 ke, RM20 ke? Rasa macam idea kedai 1Malaysia. Dulu pun ada barang-barang 1Malaysia. Ishhh siapa lah pengilang beras madani ni.. Mesti kaya sangat,” katanya.

Shukrie Rieey yang turut tidak berpuas hati dengan pelaksanaan harga siling baharu ini berkata,” Puluhan tahun tak ada isu pun beras tempatan hilang di pasaran. Bila Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan menyusahkan rakyat.”

Manakala pengguna Facebook dengan nama Razaly Othman mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan ini.

“Yang hairannya mana perginya berss tempatan? Harga barang naik.. Ingat semakin turun…. Tunaikanlah janji janji semasa berkempen dulu,” katanya.

Sementara itu, Shafiq Hamzah berpandangan bahawa tidak logik beras import yang bernilai RM3,200 bagi setiap per tan metrik perlu dicampurkan dengan beras tempatan yang dikatakan hilang untuk mendapatkan harga jualan RM30 bagi 10kg.

“Kilang beras mana yang nak jual harga macam itu sedangkan mereka nikmati untung daripada harga beras import RM3,200/tan dan dijual pada harga rm40/10kg,” soalnya.

Rahimi Osman pula bimbang akan kesan-kesan yang bakal timbul jika semua beras dijual selaras dengan Harga Beras Putih Malaysia Madani, termasuk beras import.

“Saya risau pengeluar beras import tidak lagi mahu jual beras kerana tidak sepadan. Tinggal beras tempatan sahaja dalam pasaran dan akan timbul masalah lebih besar, tidak cukup beras langsung dalam negara. Rakyat kategori T20, M40 dan B40 akan berebut beli beras.

“Yang berduit boleh simpan bekalan beras banyak-banyak. Yang tiada duit mula tanam ubi kentang balik macam zaman Jepun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-