Friday, August 23, 2024

Usul pengampunan penuh Najib paling banyak diterima

bharian.com.my
fahmy.azril@bh.com.my
- Ogos 23, 2024 @ 10:33am
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka WTCKL, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Usul pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merangkap bekas Presiden UMNO, paling banyak diterima pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata usul mengenai pembebasan Najib yang terkenal dengan gelaran 'bossku' diperoleh daripada 72 bahagian UMNO.
Usul pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merangkap bekas Presiden UMNO, paling banyak diterima pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini. - foto fail NSTP
"Usul diterima daripada 171 bahagian dan usul tertinggi diperoleh daripada 72 bahagian ialah untuk kita terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh Datuk Seri Najib Razak.

"Sesungguhnya, bossku terperangkap di sebalik tirai besi namun suara ikhtiar UMNO tidak akan pernah terhenti, malah berikan kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan tertinggi.

"Justeru, saya memohon untuk kita terus berdoa kerana doa inilah senjata kita. Semoga Allah melembutkan hati dan membukakan jalan agar pembebasan Datuk Seri Najib ini berlaku akhirnya, mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Hakikatnya kuasa bukan di tangan kita tetapi iman kita meyakini Allah adalah pemilik hati manusia, Insya-Allah," katanya berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pengampunan dalam kes ini adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, yang bersifat mutlak.

Pada Perhimpunan Puteri UMNO semalam, Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, ketika menggulung perbahasan turut menyatakan sokongan untuk terus bersama Nooryana Najwa Najib yang juga anak Perdana Menteri keenam itu, dalam memperjuangkan nasib bapanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-