Friday, August 23, 2024

Cukuplah Melayu bertelagah, berpecah

bebasnews.my
By Hassan Mohd Noor
-22/08/2024

KUALA LUMPUR — Cukup-cukuplah bangsa kita ini bertelagah, berpecah belah. Itu permintaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung sayap itu di Dewan Merdeka, WTC hari ini.

Atas kesedaran ini, Pemuda UMNO menghulurkan tangan untuk mengajak ahli-ahli politik Melayu dari setiap parti politik, sama ada dalam UMNO mahupun di luar UMNO untuk sama-sama bergerak ke arah Penyatuan Melayu ini.

“Selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya menyeru agar semua ahli politk Melayu, buang ego masing-masing. Kerana dalam soal permasalahan orang Melayu, kita berhadapan dengan isu yang lebih besar dan menekan,” katanya.

Beliau mengingatkan adalah menjadi kerugian yang besar, sekiranya kaum majoriti di negara ini dihimpit permasalahan yang gagal diselesaikan menerusi kesepakatan parti-parti politik.
“Kita terlibat dalam gelanggang politik ini adalah pilihan kita sendiri. Kita mahu berkhidmat kepada rakyat, bantu orang susah, bawa agenda bangsa, agama dan negara.

“Secara peribadi, saya memilih untuk bersama parti UMNO adalah kerana saya percaya, betapa UMNO adalah sebuah parti yang sangat-sangat memahami roh perjuangan untuk orang Melayu.

Atas didikan Rumah UMNO inilah, Pemuda UMNO yakin – permasalahan orang-orang Melayu hanya boleh diselesaikan menerusi kesepakatan orang-orang Melayu sendiri,” katanya.

Dr Akmal berkata, hakikatnya, orang Melayu sudah bosan dan jemu dengan skrip lama dalam dunia politik Melayu.

“Bila tak setuju, lari buat parti baharu. Bila tak sekepala, tikam sana, lompat sini. Bila yang bawah bagi teguran, kena cop khianat dan kuat melawan,” katanya.

Dalam ucapannya , beliau menarik perhatian mengenai kedudukan Melayu di mana kadar kemiskinan tegar di Malaysia mencatatkan masyarakat Melayu Bumiputera di kedudukan tertinggi iaitu 7.2 peratus manakala penguasaan korporat Bumiputera di Bursa Malaysia hanya 7 peratus dan dalam pasaran ekuiti, kurang dari 20 peratus.

“Kemudian, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia, setakat tahun 2020, sebanyak 69.7% jumlah banduan adalah terdiri daripada Melayu dan Bumiputera.

Belum lagi dihitung dalam isu pengangguran, keciciran pendidikan, pemilikan rumah – yang kita semua maklum, tanpa statistik dan angka sekalipun, kita tahu di mana kedudukan orang Melayu kita. Apatah lagi dalam bidang politik yang memaksa kita bersaing pula sesama Melayu,” katanya.

Beliau berkata, permasalahan yang dibangkitkan itu bukan masalah untuk difikirkan oleh UMNO sahaja, tetapi juga masalah yang perlu difikirkan oleh orang Melayu dalam PKR, Pas, Amanah, Bersatu bahkan juga orang Melayu dalam DAP.

“Rumah UMNO ini, sudah banyak menjadi saksi penyatuan orang Melayu. Ada yang bertelagah, rumah UMNO inilah tempat kembali bermuhasabah. Ada yang merajuk, rumah UMNO inilah tempat kembali berpujuk. Ada yang marah, kecewa dan geram, tetapi tradisi rumah UMNO ini bukannya menyimpan dendam.

“Kita boleh berbeza pendapat dalam berpolitik, tetapi dalam mencari jawapan kepada permasalah Melayu, Islam dan Raja-Raja, ayuh, bersatulah,” katanya.

BebasNews

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-