Tuesday, September 3, 2024

‘Apa jadi SG4 jika PAS tumbang di Kedah, Terengganu, Perlis?’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 3, 2024 10:38 AM
Seorang anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini tampil mempersoalkan nasib syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group), jika kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) tumbang di satu atau dua negeri yang menubuhkannya.

Menurut Mohd Puad Zarkashi, perkara itu tidak mustahil dan mendakwa langkah itu bukan untuk membantu mana-mana negeri tetapi hanya bermotifkan politik.
“Apa akan jadi kepada Syarikat SG4 jika satu atau dua kerajaan negeri PN bertukar tangan.

“Trengganu, Kedah dan Perlis bukan mustahil dirampas semula oleh BN.

“Akan timbul banyak masalah baik dari segi pekerja, aset, saham dan lembaga pengarah. Tidak pernah empat negeri berkongsi buat satu syarikat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, Ketua Panel Penasihat SG4, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mengambil langkah bersama untuk berkongsi kekayaan dengan membentuk SG4.
Katanya, setiap satu negeri akan memiliki kepentingan yang sama dalam syarikat tersebut.

Menurut Mahathir, syarikat itu dimilik 25 peratus oleh setiap negeri supaya negeri yang ketinggalan jauh pun, seperti Perlis, boleh mendapat hasil.

Malah, katanya, keuntungan dalam SG4 akan diagihkan secara saksama.

Mengulas lanjut, Puad secara sinis menyindir Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwanya tidak suka berkongsi.
“Sanusi pula tidak suka kongsi-kongsi. Takut Sanusi kata, ‘Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi’.

“Justeru penubuhan syarikat SG4 ini bermotif politik bukan perniagaan. Apa lagi penasihatnya adalah Tun (Dr) Mahathir,” katanya lagi.

Semalam, pada sidang media sempena Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, Selangor, Sanusi menegaskan pihaknya akan membawa isu tuntutan caj air mentah kepada Pulau Pinang ke mahkamah untuk diputuskan.

Hal itu kerana, Kedah menanggung kerugian yang besar sejak sekian lama dan Pulau Pinang sendiri mencadangkan agar ia dirujuk ke mahkamah.
Ditanya nilai kerugian yang ditanggung oleh Kedah ekoran bekalan air ke negeri jirannya itu, Sanusi berkata: “Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi, tak tahulah berapa.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-