Tuesday, September 3, 2024

Tiada bandar di dunia yang dapat tandingi keindahan Putrajaya, akui Tun M

bharian.com.my
Oleh Suzalina Halid 
suzalina@bh.com.my
- September 3, 2024 
Dr Mahathir bangga dengan pembangunan Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 30 tahun Putrajaya megah berdiri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bertanggungjawab dalam 'melahirkan' bandar pentadbiran itu, melahirkan rasa kagum dan bangga dengan pembangunan kawasan itu.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengucapkan tahniah kepada barisan pegawai yang mentadbir Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Malaysia.

Akui Dr Mahathir, tiada mana-mana bandar di dunia yang diterokanya dapat menandingi keindahan dan susunan pembangunan di Putrajaya.

"Jalannya dipenuhi dengan tanaman bunga dan pagar yang dihias cantik manakala barisan pokok rendang pula menghiasi jalan raya.

"Taman pula dijaga dengan baik dengan adanya landskap. Pihak pentadbir jelas mempunyai cita rasa yang baik dengan menghargai keindahan.

"Bangunan yang berada di antara jalan (boulevard) tengah itu mengagumkan. Malah medan selera juga dibangunkan dan diselenggara dengan baik," katanya di platform X.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, keindahan Putrajaya pastinya membanggakan rakyat Malaysia apatah lagi dengan pertumbuhannya yang sangat luar biasa.

"Dari pelancarannya pada 1995, bandar ini sudah matang namun paling membanggakan rakyat Malaysia ialah keindahan bandar itu. Ia benar-benar mencerminkan sebuah bandar dalam taman.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pentadbir Putrajaya kerana anda berjaya melaksanakan satu tugas yang hebat," katanya.

Asalnya dikenali sebagai Prang Besar, idea penubuhan Putrajaya adalah cetusan daripada Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri ke-empat.

Kawasan itu dibangunkan menjadi pusat pemerintahan kerajaan pada 12 Oktober 1994 namun aktiviti pembinaan dimulakan pada 16 April 1995.

Kos pembangunan Putrajaya menelan belanja sebanyak RM20.5 bilion membabitkan kawasan berkeluasan 4,931 hektar sebelum diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2001.

Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan selepas ia ditukarkan dari Kuala Lumpur pada 1999

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-