Saturday, September 21, 2024

Apa saya peduli projek kepada Ahli Parlimen, PM bidas pembangkang

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-21 Sep 2024

Anwar Ibrahim berkata demikian selepas dikritik pembangkang kerana tidak memberi peruntukan kepada wakil rakyat mereka.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan hanya mengambil berat mengenai projek kepada rakyat bukannya Ahli Parlimen.

Beliau berkata demikian selepas dikritik pembangkang kerana tidak memberi peruntukan kepada wakil rakyat mereka.

“Dia (pembangkang) cakap peruntukan Ahli Parlimen, bagi wang pada kamu…kami adil. Bagi wang pada rakyat, kami zalim.

Saya nak beritahu saudara-saudara, apa saya peduli projek kepada Ahli Parlimen. Saya peduli projek kepada rakyat, katanya semasa berucap dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Pada 15 Sept lalu Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mengumumkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan kepada wakil rakyat, mendakwa ia bertentangan Perlembagaan dengan beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bagaimanapun menjawab dakwaan Hamzah dengan berkongsi draf itu, menyatakan niat kerajaan adalah untuk mewujudkan suasana aman dan harmoni, dan supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada pemulihan ekonomi selain dapat memainkan peranan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang.

Sementara itu, Anwar berkata penting untuk kerajaan fokus memperkuatkan ekonomi negara.

Beliau mengingatkan mana-mana pemimpin atau wakil rakyat PKR akan ditukar jika tidak menunjukkan prestasi baik.

“PKR dilahirkan daripada perjuangan rakyat di bawah. Siapa yang agak lemah dan mana-mana wakil rakyat atau pemimpin yang lembap (akan) (di) tukar.

Kerana jangan lupa…ingat (parti) dari derita air mata, luka, darah dan perjuangan rakyat di bawah. Saudara tahu bila (parti) bertapak tidak ada pembesar, tak ada orang kaya, Tun atau Tan Sri bersama kita. Yang ada ini semangat rakyat, katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-