Thursday, September 19, 2024

Pendakwaan sangat bergantung pada keterangan dengar cakap, kata peguam Najib

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
19 Sep 2024, 04:15 PM

Shafee Abdullah berhujah keterangan beberapa saksi pendakwaan diperhitungkan untuk memudaratkan Najib Razak.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan tidak dapat buktikan kes prima facie terhadap Najib Razak berhubung dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, kerana banyak bergantung pada keterangan dengar cakap daripada saksi utama, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Meneruskan penghujahannya pada penutupan kes pendakwaan, Shafee Abdullah selaku peguam bela berkata ini amat jelas dalam keterangan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang memberikan keterangan lima tahun lalu.

Beliau berkata keterangan saksi yang membabitkan tertuduh sebahagian besarnya tertumpu pada apa yang dikatakan oleh setiausaha sulit utama Najib, Azlin Alias, dan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, kepada Amhari.

Amhari dakwa Azlin dan Low bertindak bagi pihak Najib, tetapi Amhari tidak dapat mengesahkan kebenaran keterangannya kerana Azlin telah meninggal dunia manakala Low tidak diketahui di mana, kata Shafee.

Azlin terbunuh dalam nahas helikopter pada 2015, manakala Low masih bebas. Interpol mengeluarkan notis merah terhadap Low.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepatutnya cari Low supaya pihak pendakwaan boleh mendakwa dia bersama Najib atau mennjadi saksi, katanya.

Shafee berhujah Amhari bukan saksi yang boleh dipercayai dan tidak punyai kredibiliti.

Semasa pemeriksaan balas, Amhari mengaku terima rasuah daripada Low, kata peguam itu, dan menambah Amhari berusaha untuk membebaskan diri daripada salah laku sambil menyalahkan Najib.

Shafee berkata keterangan sekurang-kurangnya empat saksi lain – bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Hazem Abdul Rahman, bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir, dan penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo – turut mempunyai keterangan dengar cakap.

Sebahagian daripada keterangan mereka harus dihapuskan kerana ia tidak boleh diterima dan tidak termasuk dalam pengecualian dalam Akta Keterangan, katanya.

Shafee berkata keterangan saksi-saksi ini boleh dianggap khabar angin yang dahsyat, diperhitungkan untuk memudaratkan Najib.

Di manakah bukti langsung untuk mengatakan bahawa ia ada kaitan dengan anak guam saya? katanya.

Mereka mengatakan bahawa mereka dengar daripada Azlin bahawa Najib beri Low kuasa untuk bertindak dalam perkara 1MDB.

Shafee berkata mahkamah tidak seharusnya menolak peluang untuk memastikan kebenaran keterangan lisan yang dikemukakan saksi.

“Anak guam saya tidak diberi perbicaraan yang adil apabila keterangan khabar angin dikemukakan.

Pihak pendakwaan menawarkan saksi mereka (sekiranya dipanggil pihak pembelaan) tetapi kegagalan mereka memanggil saksi material menyebabkan terhadap lompang dalam kes mereka, katanya.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-