Sunday, September 15, 2024

Islam 'cacat' jika agama dan politik dipisahkan

malaysiakini.com
NS Ramli
Diterbitkan: Sep 15, 2024 10:02 AM
Politik dan agama tidak boleh dipisahkan kerana ia akan menjadikan Islam seolah-olah agama yang 'cacat', kata bekas ahli parlimen Ketereh, Annuar Musa.

Dia berkata, dalam Islam adalah jelas bahawa politik itu sebahagian daripada agama itu sendiri.

"Politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam, kerana Islam itu datang dalam bentuk yang lengkap (dan) sempurna.

"Tidak ada cacat baginya... kalau Islam itu kena letak suku, politik suku, ertinya dalam Islam itu tidak ada politik, maka ertinya Islam itu cacat.

"Sedangkan kita tahu Islam itu lengkap sempurna dicukupkan... tetapi kerana Islam itu telah banyak disalah mengertikan dalam sejarah kerana orang dimomokkan agar takut kepada Islam," katanya ketika berucap pada ceramah perdana sempena Muktamar PAS Kali Ke-70 di Kerdau, dekat Temerloh, malam tadi.

Annuar yang juga AJK PAS Pusat turut memberi peringatan kepada Umno supaya tidak memanjangkan lagi sindiran kononnya PAS parti mengamalkan fahaman khawarij.

Ini kerana katanya, dia tahu siapa yang beri nasihat kepada Umno untuk merekakan istilah khawarij bagi diletakkan 'atas kepala' PAS.

"Kalau Umno cabar, saya akan buka... (mereka) sengaja dicari-cari perkataan untuk menggelarkan, untuk menyindir, untuk melabelkan PAS kerana takut dengan kemaraan PAS.

"Lalu ditakut-takutkan orang dengan mengatakan Islam ini, PAS ini bukan Islam sebenar tetapi saki-baki perjuangan kaum khawarij.

"Ini perancangan tertentu yang dibuat untuk memburuk-burukkan Islam," katanya lagi.

Annuar dalam pada itu merasa lega apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam ucapannya pada muktamar kali ini menyatakan secara jelas mengenai kesediaan untuk terus memperjuangkan usaha pengukuhan semula semangat Muafakat Nasional bersama Umno.

Katanya, sikap Abdul Hadi itu menunjukkan bahawa PAS tidak memusuhi Umno, namun ingin melihat parti itu kembali ke landasan perjuangan asal untuk agama dan bangsa.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dalam ceramah sama turut menyindir parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang sering menyebut PAS sebagai parti khawarij.

"Kalau kita ini khawarij, kita tak masuk bertanding dalam pilihan raya... khawarij ini dia cuma tahu berperang saja, dia kata semua orang tak betul.

"Yang mengajar politik ekstrem ini siapa dia? Geng-geng Pakatan Harapan (PH) sewaktu mereka jadi pembangkang buat himpunan (Bersih), berkhemah kat dataran.

"Hangpa (dia) tuduh kami khawarij, kami ni pelampau, kami ni ekstrem... yang melampau tu hangpa, yang perangai khawarij tu hangpa.

"PAS tak pernah mengajar penyokong kami macam ni (buat demonstrasi)... macam minyak naik baru ni, naik seringgit dua kupang (sen), bukan kata berguling, siap 'breakdance' kepala kat bawah kaki kat atas berguling dari Dataran Merdeka sampai parlimen," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-