Sunday, September 29, 2024

Kekalahan PN boleh gugat hubungan Bersatu-PAS, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif
-29 Sep 2024

Penganalisis berkata kekalahan di PRK Mahkota itu juga membuktikan kelemahan Perikatan Nasional di kerusi campuran.
Perikatan Nasional yang diwakili Haizan Jaafar tewas pada PRK Mahkota selepas Barisan Nasional mengekalkan kerusi itu menerusi calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah dengan 27,995 undi.

PETALING JAYA: Kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam PRK Mahkota berisiko menggugat hubungan Bersatu dan PAS, kata penganalisis.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kekalahan Haizan Jaafar daripada Bersatu di Mahkota, yang mempunyai pola sokongan pengundi yang sama di PRK Kuala Kubu Baharu membuktikan kelemahan mereka di kerusi campuran.

“Sebenarnya kekalahan ini, lebih spesifik adalah kekalahan Bersatu. Kebanyakan kerusi besar Perikatan Nasional (PN) menang sebab PAS. Jadi, PAS sepatutnya menjadi ‘abang besar’ (dalam pimpinan PN).

Tapi selepas semua keputusan ini, PAS masih jadi nombor dua dengan Muhyiddin Yassin masih pengerusi PN, dalam erti kata lain memang (kekalahan) ini akan merenggangkan hubungan Bersatu – PAS, katanya.

Manakala Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, sokongan akar umbi PN di Johor dilihat masih terhad apabila calonnya hanya mampu meraih 7,347 undi.

Menurutnya, selain faktor peratusan mengundi yang kurang daripada 50%, ia sememangnya mustahil untuk PN menembusi DUN Mahkota kerana ia merupakan kubu kuat Umno.

Perikatan Nasional belum lagi sampai di Johor, katanya sambil menambah bahawa pengundi bukan Melayu masih tidak memilih PN sebagai alternatif walaupun berlaku konflik antara pemimpin Umno dan DAP.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan DUN Mahkota dengan bergaya apabila memperoleh majoriti 20,648 undi, empat kali ganda lebih besar berbanding PRN 2022 iaitu 5,166 undi.

Calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah mendapat 27,995 undi manakala Haizan hanya memperoleh 7,347 undi.

Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN memenangi kerusi itu pada PRN Mac 2022, menewaskan calon Pakatan Harapan, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-