Monday, September 30, 2024

Kes GISBH: PAS seru henti menghukum sebelum keputusan mahkamah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 30, 2024 11:19 AM
PAS menggesa masyarakat berhenti daripada menghukum kontroversi membabitkan Global Ikhwan Sdn Bhd Holding (GISBH) selagi mana kes berkenaan belum diputuskan mahkamah.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua pihak selain hakim, termasuk penyiasat tidak mempunyai autoriti yang boleh menentukan sama ada satu-satu pihak itu bersalah atau sebaliknya.

Tegasnya, budaya menjatuhkan hukuman sebelum keputusan mahkamah jelas bercanggah dengan kaedah pengasingan kuasa yang menjadi teras dalam negara.

“Malah saya melihat ia lebih malang jika pihak yang melakukan penyiasatan terus menjatuhkan hukuman ‘bersalah’ dan seolah-olah memberi tekanan kepada mahkamah agar seiring dengan ‘keputusan’ mereka.
“Walhal, tugas pihak penyiasat hanyalah mencari dan mengemukakan bukti siasatan untuk dipertimbangkan dalam perbicaraan mahkamah.

"Tidak terhad kepada isu GISBH sahaja, apa juga kes mahkamah adalah tempat bergantungnya orang ramai bagi menegakkan hak dan keadilan,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Menurut ahli parlimen Kubang Kerian itu ramai pihak mengulas kes GISBH sehingga menggambarkan seolah-olah pihak berkenaan telah pun dijatuhkan hukuman bersalah.

Terdahulu pihak polis menerusi Op Global melakukan serbuan terhadap rumah-rumah amal di seluruh negara yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak yang membawa kepada penahanan beberapa individu dikaitkan dengan GISBH.

Tuan Ibrahim berkata budaya ‘penyiasat’ terlajak membuat keputusan mesti dihentikan demi menegakkan keadilan, sekali gus mengukuhkan pengasingan kuasa dalam dasar negara.

Katanya, perkara seumpama itu biar mahkamah membuat keputusan dan tindakan yang sepatutnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

“Seharusnya kita perlu membiarkan siasatan lengkap oleh pihak polis, agensi penyiasat, badan berautoriti agama sehinggalah keputusan daripada mahkamah.

“Budaya membuat ‘keputusan’ sebelum mahkamah memutuskan sesuatu perkara sepatutnya dihentikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-