Sunday, September 1, 2024

Manfaat pengaruh pemimpin seperti Ismail, Umno diberitahu

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
01 Sep 2024, 09:00 AM

Penganalisis Azmi Hassan berkata Ismail Sabri Yaakob telah membuktikan kesetiaannya kepada Umno.
Sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beliau tiada masalah dengan Zahid Hamidi ketika menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penganalisis politik berpandangan Umno seharusnya memanfaatkan pengalaman dan pengaruh pemimpin seperti bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob untuk kembali bangkit pada PRU16.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata bekas naib presiden Umno itu telah membuktikan kesetiaannya kepada parti terutama kepada presidennya, Zahid Hamidi di sebalik dakwaan dibuat pelbagai pihak.

“Umno perlu ambil peluang daripada individu berpengaruh seperti bekas perdana menteri Ismail dengan memberinya penghargaan.

Walaupun Ismail pada masa dilihat dipinggirkan tetapi keterbukaannnya membuktikan beliau tidak memburukkan Umno dan boleh bantu parti kembali bangkit, katanya kepada FMT.

Dalam program audio siar Keluar Sekejap disiarkan Rabu lalu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera menegaskan ‘beliau orang parti’, sentiasa mengangkat suara parti dalam kerajaan dan tidak pernah mempunyai masalah dengan Zahid.

Beliau mengakui rasa hormat terhadap Zahid selaku presiden mengatasi segalanya walaupunmenjadi perdana menteri ke-9 dari Ogos 2021 hingga November 2022, atas kapasiti sebagai naib presiden ketika itu.

Ismail menggantikan Muhyiddin Yassin yang diangkat sebagai perdana menteri kelapan menerusi Langkah Sheraton.

Langkah Sheraton merujuk kepada satu gerakan politik berlaku pada Februari 2020, apabila sekumpulan Ahli Parlimen PKR bersama Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS bergabung menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa selama 22 bulan.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya turut senada dengan Azmi supaya pengaruh Ismail dimanfaatkan untuk mengembalikan kekuatan Umno yang prestasinya semakin merudum sejak hilang kuasa di Putrajaya selepas PRU14.

Menurutnya, Umno juga dapat mengurangkan risiko ‘sokongan senyap’ kepada Perikatan Nasional (PN) berlaku sebelum ini susulan penyertaan bekas pemimpin utamanya ke kem lawan.

Perlu ada perbincangan untuk memastikan dapat dinilai kesetiaan semua pihak, katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-