Tuesday, September 3, 2024

Menteri agama jumpa wakil MCCBCHST Jumaat

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-03 Sep 2024, 08:00 PM

Pertemuan itu bagi membincangkan isu penempatan pegawai Jakim di jabatan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata pertemuan dengan wakil MCCBCHST akan berlangsung 3 petang, Jumaat ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) Jumaat ini.

Beliau berkata, pertemuan itu bagi membincangkan isu penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di jabatan kerajaan yang dibantah organisasi berkenaan.

Saya cadang untuk berbincang dengan MCCBCHST Jumaat ini, mungkin sekitar 3 petang, katanya kepada FMT.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perpaduan Negara dan Na’im berbincang dengan MCCBCHST bagi mengelakkan salah faham isu penempatan pegawai Jakim.

Semalam, MCCBCHST dalam kenyataan membantah cadangan menempatkan pegawai Jakim di jabatan kerajaan yang didakwa berpotensi menjejaskan jaminan Perlembagaan termasuk hak asasi dilindungi Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel disiarkan Daily Express yang memetik dakwaan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) David Ong berhubung perkara terbabit.

Bagaimanapun, Na’im menjelaskan tujuan pegawai Jakim ditempatkan hanya untuk mengendalikan program keagamaan.

Fahmi berkata, isu penempatan pegawai Jakim di semua jabatan kerajaan sudah dijawab Jakim pada 7 Ogos lalu, namun berlaku salah faham apabila MCCBCHST mengeluarkan kenyataan baharu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-