Monday, September 16, 2024

Peruntukan pembangkang: 'Kerajaan, PN saling tidak mempercayai'

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
September 16, 2024 @ 3:32pm
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Sikap saling tidak mempercayai antara Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan isu peruntukan kepada pembangkang masih belum menampakkan jalan penyelesaian.

Pandangan itu disuarakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, yang sebelum ini menggesa pemberian peruntukan yang adil kepada semua wakil rakyat sama ada daripada kerajaan atau pembangkang.

"Masalah ini berlaku kerana tidak terbina jambatan kepercayaan antara kedua-dua pihak.

"Wujud defisit kepercayaan antara PN dan Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH)," kata Ahli Parlimen PKR itu kepada BH hari ini.

Semalam, PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata, keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara kerajaan dengan parti PN dan antara kerajaan dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Beliau mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral dan agama, selain boleh disalah tafsir, salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.


Mengulas mengenai keputusan PN itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Fadillah Yusof, berkata pembangkang sepatutnya menyatakan secara rasmi kepada kerajaan mengenai perkara yang tidak dipersetujui mereka dalam draf MoU itu beserta cadangan balas.

Bagaimanapun, Fadillah berkata, beliau yang mengetuai rundingan berkenaan hanya mengetahui PN menolak draf itu melalui media dan akan membawa perkara itu ke peringkat Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, beban tanggungjawab untuk melaksanakan reformasi di Parlimen dalam dasar menginstitusikan hak semua ahli Dewan Rakyat yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) untuk mendapat peruntukan sama rata terletak di bahu Kerajaan Perpaduan diterajui PH.

Katanya, janji reformasi itu dinyatakan PH dalam manifestonya pada PRU15.

"Sebagai Ahli Parlimen PKR, saya menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janjinya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-