Showing posts with label Peruntukan pembangkang. Show all posts
Showing posts with label Peruntukan pembangkang. Show all posts

Saturday, February 22, 2025

Peruntukan pembangkang: Rundinglah dengan PM, kata Johari

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 22, 2025 8:00 AM
Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul menasihatkan pembangkang supaya berunding dengan kerajaan persekutuan bagi mendapatkan peruntukan kewangan untuk ahli parlimennya.

“Kita (Dewan Rakyat) tiada kuasa berkaitan peruntukan khas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM)....itu bukan kuasa kita, itu hak PM (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).

"Seperti PM dahulu di zaman Ismail Sabri, selepas lakukan beberapa rundingan pihak pembangkang juga dapat (peruntukan), maka buatlah rundingan dengan PM dan beritahu apa yang anda mahu," katanya seperti dipetik BH Online.

Menurut Johari, masalah terjadi kerana wakil rakyat pembangkang enggan datang berjumpa perdana menteri untuk membincangkan peruntukan yang diperlukan.
Gambar fail, PM Anwar bersama Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud. Kelantan diperintah PAS.
"Itu yang PM kata datang (berjumpanya) dan runding apa perkara yang anda mahu, anda hendak apa sebenarnya tetapi tidak datang (berjumpa PM)," katanya.

Johari dilaporkan mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin sebelum ini ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan dana pembangunan kawasan untuk ahli parlimen pembangkang.

Hamzah berkata pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa baru-baru ini hanya melibatkan ahli parlimen kerajaan yang menerima peruntukan khas perdana menteri sebanyak RM1.7 juta untuk kawasan parlimen di Semenanjung manakala RM2.2 juta bagi Sabah dan Sarawak.

"Nak kemas kini macam mana jika tiada apa-apa yang mereka (pihak kerajaan) buat, jemput kita, nak duduk (berbincang) dan sebagainya.
"Peruntukan (yang diumumkan Dr Zaliha) itu diberikan kepada mereka (ahli parlimen kerajaan), bukan kita (pembangkang).

"Sebab itu sekarang sudah banyak dipanggil penyelaras parlimen, mereka sudah lantik (perlantikan oleh kerajaan bagi kawasan yang diwakili pembangkang)," kata Hamzah pada Khamis.

Pada sesi parlimen November lalu, Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof berkata dia terbuka untuk berbincang dengan ahli parlimen pembangkang mengenai peruntukan kawasan.

Menurutnya, Ahli Parlimen Muar dari parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman satu-satunya wakil rakyat yang telah memberikan maklum balas terhadap memorandum persefahaman (MOU) dan memberi jaminan dia akan memberikan respons dalam masa terdekat.
Gambar fail, Syed Saddiq melakukan larian amal bagi mengumpul dana kawasan parlimennya.
Kenyataan Fadillah itu dibuat selepas laporan pada September lalu, yang menyatakan pimpinan PN menolak draf perjanjian Putrajaya mengenai peruntukan kawasan kepada ahli parlimen pembangkang.

Namun, pada Selasa lalu, Syed Saddiq mengadu walaupun sudah menjalani lima rundingan dengan Fadillah namun masih tiada kemajuan dalam isu itu.

Keadaan ini memaksanya mencari dana melalui cara lain, termasuk menjadi model dan melakukan larian amal bagi mengumpul dana.

NGO seperti Bersih telah menggesa kerajaan supaya memberikan peruntukan pembangunan kawasan kepada semua ahli parlimen secara adil, tanpa mengira parti politik yang mereka wakili.

Monday, September 16, 2024

Peruntukan pembangkang: 'Kerajaan, PN saling tidak mempercayai'

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
September 16, 2024 @ 3:32pm
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Sikap saling tidak mempercayai antara Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan isu peruntukan kepada pembangkang masih belum menampakkan jalan penyelesaian.

Pandangan itu disuarakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, yang sebelum ini menggesa pemberian peruntukan yang adil kepada semua wakil rakyat sama ada daripada kerajaan atau pembangkang.

"Masalah ini berlaku kerana tidak terbina jambatan kepercayaan antara kedua-dua pihak.

"Wujud defisit kepercayaan antara PN dan Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH)," kata Ahli Parlimen PKR itu kepada BH hari ini.

Semalam, PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata, keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara kerajaan dengan parti PN dan antara kerajaan dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Beliau mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral dan agama, selain boleh disalah tafsir, salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.


Mengulas mengenai keputusan PN itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Fadillah Yusof, berkata pembangkang sepatutnya menyatakan secara rasmi kepada kerajaan mengenai perkara yang tidak dipersetujui mereka dalam draf MoU itu beserta cadangan balas.

Bagaimanapun, Fadillah berkata, beliau yang mengetuai rundingan berkenaan hanya mengetahui PN menolak draf itu melalui media dan akan membawa perkara itu ke peringkat Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, beban tanggungjawab untuk melaksanakan reformasi di Parlimen dalam dasar menginstitusikan hak semua ahli Dewan Rakyat yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) untuk mendapat peruntukan sama rata terletak di bahu Kerajaan Perpaduan diterajui PH.

Katanya, janji reformasi itu dinyatakan PH dalam manifestonya pada PRU15.

"Sebagai Ahli Parlimen PKR, saya menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janjinya," katanya.

Thursday, April 18, 2024

K'jaan setuju salur peruntukan kepada pembangkang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 18, 2024 2:15 PM
Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbang langkah menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Dia yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sehubungan itu, satu draf memorandum persefahaman (MOU) akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu juga berkata persetujuan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

“Perkara ini dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dihadiri pemimpin tertinggi parti-parti komponen kerajaan perpaduan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-