Tuesday, September 10, 2024

PRK Mahkota: Annuar lancar perang psikologi terhadap BN, tak perkecil Bersatu

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-10 Sep 2024, 08:00 AM

Penganalisis berkata Annuar Musa sedar BN jauh di hadapan berdasarkan gabungan undinya dan PH berbanding 7,614 undi diperoleh PN pada PRN Johor 2022.
BN mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calonnya untuk PRK Mahkota 28 Sept ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kenyataan secara terbuka Annuar Musa yang yakin Barisan Nasional (BN) mampu menang majoriti lebih besar pada PRK Mahkota bukan berniat memperkecilkan kemampuan Bersatu, sebaliknya hanya ‘perang psikologi’ untuk jentera kerajaan perpaduan berasa selesa.

PN dijangka diwakili Bersatu pada PRK berlangsung 28 Sept ini dalam usaha merampas kerusi itu daripada BN yang mencalonkan Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata kenyataan pemimpin PAS itu menunjukkan PN menyedari realiti perlu berdepan sokongan gabungan undi BN dan Pakatan Harapan (PH) yang meraih 28,056 undi pada PRN Johor lalu berbanding 7,614 undi diterimanya.

“Kenyataan itu hanya perang psikologi kerana Annuar tahu BN akan menang selesa, tak boleh kata sengit.

Jadi, dia (Annuar) sengaja kata begitu supaya Umno alpa, merasa selesa dan tidak kuat sangat berkempen, katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Annuar yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat Ahad lalu, bahawa BN akan menang PRK Mahkota dengan majoriti lebih 20,000 undi.

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan kenyataan Annuar menggambarkan PN tidak yakin terhadap kemampuannya menawan kubu kuat Umno, mengambil kira masalah dalaman sedang dihadapi Bersatu ketika ini.

“Bersatu sendiri sedang berdepan pelbagai tekanan melibatkan pemimpin tertinggi mereka yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Ia boleh dianggap jalan mudah untuk BN mengalihkan sokongan pengundi PN kepada mereka, katanya.

Bagaimanapun, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpendapat jentera kerajaan perpaduan perlu menumpukan kepada pengundi Umno yang mengalihkan sokongan kepada PN kerana kerjasama BN dan PH.

“Senario bila PH bergabung dengan BN, kita lihat ada trend peralihan undi orang Umno kepada PN, ini dapat dilihat sewaktu PRN enam negeri tempoh hari, Umno perlu turun secara agresif beri penerangan mengenai isu ini kerana ia sering dijadikan modal oleh PN.

PH pula perlu bersungguh-sungguh pastikan supaya 34% pengundi Cina di Mahkota keluar mengundi bagi memastikan kemenangan mutlak memihak kepada Umno/BN, katanya.

DUN Mahkota terletak di bawah Parlimen Kluang mempunyai 66,318 pemilih meliputi Melayu (56%), Cina (34%), India (8%), dan lain-lain (2%).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-