Sunday, September 22, 2024

Rampasan Op Global jadi bukti tentu status akidah pengikut GISBH

freemalaysiatoday.com
Bernama
22 Sep 2024

Jakim berkata bahan bukti itu akan dijadikan asas dalam kertas laporan untuk dibincang dan diputuskan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam memaklumkan beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah ajaran Islam serta barang khurafat dirampas dalam serbuan di premis berkaitan GISBH. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Hasil rampasan Op Global fasa keempat oleh polis dan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dijadikan bukti sokongan untuk menentukan status pegangan akidah pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff, berkata bahan bukti berkenaan akan dijadikan asas dalam kertas laporan untuk dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) pada 24 hingga 26 Sept ini.

Keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin GISBH itu akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan itu dibawa ke Mahkamah Syariah, katanya dalam kenyataan.

Hakimah berkata, Jakim amat menghargai kerjasama semua agensi terlibat khususnya polis dalam membantu pihaknya melengkapkan bahan bukti untuk siasatan kes berkaitan GISBH.

“Penghargaan juga kepada pihak jabatan agama Islam negeri yang memberi kerjasama erat kepada Jakim selama ini bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISBH dapat diputuskan secara tuntas.

Jakim bawah arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar sentiasa berusaha bagi memastikan pegangan akidah dan syariah umat Islam di negara ini sentiasa selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, katanya.

Beliau berkata, sebarang usaha yang boleh mencemarkan kesucian ajaran Islam akan dibendung dengan kerjasama semua pihak.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam memaklumkan beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah ajaran Islam serta barang khurafat dirampas dalam serbuan di premis berkaitan GISBH di seluruh Semenanjung.

Antara hasil rampasan di Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang itu termasuk enam buku atau kitab disyaki berkaitan ajaran Al Arqam iaitu gerakan difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-