Sunday, September 22, 2024

'Terima kasih, Perdana Menteri' - Sanusi

bharian.com.my
Oleh Noorazura Abdul Rahman 
bhnews@bh.com.my
- September 22, 2024
Muhammad Sanusi melawat pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Komplek Rakan Sukan, Pendang, hari ini. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir

PENDANG: Kos kerja baik pulih infrastruktur rosak dan ganti rugi akibat banjir di Kedah dijangka mencecah lebih RM100 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berharap Kerajaan Persekutuan dapat menambah peruntukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bantuan RM13 juta bagi tujuan itu, semalam.

"Saya rasa tak cukuplah tapi kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri yang datang kelmarin, ambil masa datang ke Kedah, terima kasih banyak-banyak.

"Pengumuman awal RM13 juta kelmarin dia umum 'on the spot', saya harap akan ada pertambahan, selepas ini kita kita akan buat bancian kerosakan infrastruktur kediaman dan lain-lain.

"Selepas itu laporan akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kita jangka lebih RM100 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, bancian kerosakan akibat banjir turut merangkumi sektor pertanian terutama padi.

"Kalau sawah yang tenggelam, ada kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan di luar MADA. Kawasan MADA ditentukan oleh MADA tapi di luar MADA, ada 32,000 hektar dan kena tengok jugalah.

"Saya harap selepas ini kita dapat buat penilaian penuh dan serahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk diberi pertimbangan," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah tetap berjaga-jaga kerana tempoh peralihan monsun dijangka bermula Selasa ini.

"Biasanya peralihan monsun akan membawa hujan lebat, saya harap ia tidak membawa banjir sehingga terpaksa berpindah," katanya.

Beliau berkata, situasi banjir ketika ini terkawal dan tidak seburuk 2010 walaupun berlaku peningkatan mangsa banjir terutama di daerah Kota Setar.

"Alhamdulillah, terurus dengan sempurna seperti kita hadapi tiap-tiap tahun tanpa perubahan apa-apa dari segi langkah menangani situasi ini. Terima kasih kepada semua agensi kerajaan," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Suka Menanti, Alor Setar, semalam. - Foto BERNAMA
Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan RM13 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir yang berlaku di seluruh negeri ini.

Jumlah itu termasuk bantuan kewangan yang disalurkan agensi Persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke PPS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-