Monday, September 16, 2024

TPM dedah draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pembangkang

bharian.com.my
fahmy.azril@bh.com.my
- September 16, 2024 @ 5:29pm
Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kandungan penuh draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam.

Menurut Fadillah, beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MoU itu memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.

Justeru, beliau berharap tindakannya itu membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.
Fadillah Yusof (kiri) dan Hamzah Zainudin
Tegas beliau, ini penting supaya semua pihak dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia.

"Dengan pendedahan MoU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali," katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Draf Memorandum Persefahaman (MoU).

Dalam kenyataan itu, Fadillah menghuraikan enam perkara mengenai fraf MoU iaitu tempoh berkuat kuasa, obligasi Perikatan Nasional (PN), obligasi Kerajaan Persekutuan, ketelusan dan tiada kerahsiaan, pemakaian undang-undang dan pembatalan memorandum.

Katanya, tempoh berkuat kuasa adalah dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen Ke-15 atau pada 19 Disember 2027 atau mana yang terdahulu.

Obligasi PN pula ialah menyentuh mengenai peranan dan fungsi Ahli Parlimen Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai Ahli Parlimen pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.

Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

Obligasi Kerajaan Persekutuan pula, antara lain mengakui bahawa Ahli Parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.

Berhubung ketelusan dan tiada kerahsiaan, memorandum berkenaan tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.

"Bagi pemakaian undang-undang, MoU ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia manakala aspek pembatalan memorandum pula ia secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini. Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang," katanya.

Kelmarin, PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Hamzah berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara kerajaan dengan parti PN dan antara kerajaan dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Beliau mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Awal bulan ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan, terdapat tujuh syarat yang didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan seperti dituntut.

Antara yang menjadi syarat adalah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R) yang didakwa beliau ada antaranya pelik dan tiada kena-mengena dengan peruntukan yang dituntut.

Pada 18 April lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju mempertimbang penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang disusuli dengan penyerahan draf kepada PN, bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Julai lalu dilaporkan, berkata isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan kerana membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-