Friday, September 13, 2024

Ulama PAS lulus usul sijil halal ikut kategori mula di SG4

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
13 Sep 2024, 07:37 PM

Kategori itu antaranya restoran hotel, restoran francais, restoran pasar raya, kedai roti dan kek.
Perwakilan ulama dalam Muktamar Dewan Ulama PAS kali ke-63 di Kompleks Imam As-Syafie (Kias), Jerantut.

JERANTUT: Ulama PAS meluluskan usul sijil halal mengikut kategori bermula di negeri ditadbir Perikatan Nasional yang membentuk SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Usul dikemukakan Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) itu diterima tanpa bahas dalam Muktamar Dewan Ulama PAS kali ke-63 di Kompleks Imam As-Syafie (Kias).

Ulama mengusulkan agar pensijilan atau pengesahan halal bagi premis makanan mengikut kategori seperti restoran hotel, restoran francais, restoran pasar raya, kedai roti dan kek dan pusat penyembelihan dijadikan keperluan atau kehendak pelesenan secara berperingkat melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri SG4, menurut usul itu.

Usul itu juga menekankan kepentingan pensijilan halal bagi premis makanan dan menyeru ia dijadikan keperluan pelesenan di SG4.

DUPP menegaskan, Malaysia adalah salah satu pusat pensijilan halal paling diiktiraf di peringkat global.

Katanya, pensijilan halal bukan sahaja memastikan kebersihan dan jaminan bahan, tetapi turut meningkatkan reputasi produk di peringkat antarabangsa termasuk di negara bukan Islam.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula, sebagai agensi bertanggungjawab telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan reputasi tersebut melalui piawaian ketat dan integriti kukuh.

Ulama PAS juga melahirkan kebimbangan terhadap beberapa kenyataan daripada pihak tertentu, termasuk pimpinan politik bukan Islam, yang mempertikaikan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal atas alasan konon ia membebankan peniaga dan boleh mencemar imej negara, katanya.

Menurut usul itu, pelaksanaan yang dimulakan di negeri SG4 juga perlu menjadi contoh kepada negeri lain dalam memperkukuhkan pensijilan halal tanpa membebankan peniaga atau menjejaskan nama baik negara.

Cadangan itu, jika dilaksanakan dijangka dapat memperkuatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia, di samping memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga dengan adil dan saksama, menurut usul.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-