Showing posts with label sijil halal. Show all posts
Showing posts with label sijil halal. Show all posts

Saturday, September 28, 2024

Isu halal: Akmal beri keterangan pada polis esok

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 28, 2024 8:37 PM
Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh akan memberikan keterangan kepada polis susulan pertikaian isu sijil halal melibatkan pemimpin DAP esok.

Dia mengumumkan akan hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Jasin, Melaka, bagi berbuat demikian 10 pagi esok.

“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai, jika takut dengan cabaran jangan sesekali dipanggil pejuang.

“Untuk saya menyerah kalah tidak sama sekali apa lagi untuk saya memohon maaf,” katanya sejurus selepas BN menang dalam pilihan raya kecil Mahkota di Johor.

Pertikaian antara dua pemimpin parti kerajaan itu bermula apabila Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menolak cadangan mewajibkan peniaga yang tidak menjual babi dan arak untuk memohon sijil halal.

Pada 11 September lalu, Kok, yang juga anggota parlimen Seputeh, menghantar surat peguam kepada Akmal menuntut ganti rugi RM25 juta kerana melabelnya sebagai “nyonya tua” dan mahu melekatkan logo tidak halal di dahinya.

Sayap Pemuda DAP Seputeh turut membuat laporan polis terhadap Akmal.

Sementara itu, Akmal dalam tulisan di Facebook sebentar tadi berkata diajar untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air “walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa”.

“Kamu yang buat hal, kamu yang nak play victim (berlakon jadi mangsa) pula.

“Kita jumpa di mahkamah!” katanya.

Sunday, September 22, 2024

Akmal didesak minta maaf pada Teresa isu sijil halal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 22, 2024 10:35 AM
Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Salleh didesak meminta maaf kepada Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dan semua rakyat Malaysia berhubung isu pensijilan halal.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau berkata keputusan terkini kabinet untuk tidak mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan perniagaan makanan yang tidak menjual daging babi dan alkohol membuktikan kebenaran pendirian Kok.

"Keputusan kabinet membuktikan kebimbangan Teresa Kok terhadap perkara itu adalah berdasarkan kedaulatan undang-undang dan pandangan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

"Pandangannya mencerminkan kebimbangan daripada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil Melayu dan bukan Melayu ketika rakyat menghadapi masalah ekonomi dan kecewa terhadap politik perkauman dan kepercayaan agama yang ekstrem," kata Boo pada satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Kok yang juga ahli parlimen Seputeh disiasat berhubung kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Antara lain Kok berkata cadangan itu bakal membebankan peniaga, termasuk orang Islam dan boleh menjejaskan imej Malaysia.

Susulan itu Akmal menggelarkan Kok sebagai "Nyonya tua" dan memberi amaran supaya pemimpin DAP itu tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam.

Dia juga secara sinis meminta kerajaan menyediakan logo non-halal untuk “ditampal di dahi” pemimpin DAP itu.
Kok telah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung isu itu namun menegaskan tiada keperluan untuk pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadapnya.

Dia juga telah dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas "penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian".

Pada hari sama Kok mengeluarkan surat tuntutan kepada Akmal bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM25 juta.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair and Partners, Kok mendakwa Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Sebelum kempen PRK Mahkota, terdapat kebimbangan bahawa serangan Akmal terhadap Kok mungkin menjejaskan peluang BN untuk menang di kerusi itu.

Ini kerana pengundi Cina meliputi kira-kira 35 peratus daripada jumlah pengundi di DUN berkenaan.

Pergeseran reda

Pun begitu Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Sept menjelaskan pergeseran antara Ketua Pemuda Umno dan Naib Pengerusi DAP berhubung isu pensijilan halal sudah reda.
Zahid berkata dia sudahpun mengeluarkan kenyataan pada 18 Sept berkaitan pendirian kerajaan bahawa permohonan sijil halal kekal dibuat secara sukarela.

"Dah reda (tone down), saya sendiri telah berjumpa dengan Dr Akmal pada 14 Sept lepas bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan saya juga telah memberitahu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengenai perkara itu.

"Jadi isu ini telah ditutup," kata Zahid.

Selesaikan cara baik

Sementara itu, Boo menasihati Akmal untuk menyelesaikan pertikaian dan konflik undang-undang yang sedang berjalan dengan Kok serta mengelakkan daripada menghidupkan semula politik perpecahan.

“Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh bukan sahaja (perlu) memohon maaf kepada Teresa Kok dan menyelesaikan perselisihan pendapat dan pertikaian undang-undang secara baik.

“(Ini) untuk menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin negara kelak yang matang dan berpotensi dengan tidak mengulangi politik terlampau yang kelam,” katanya lagi.

Boo berkata permohonan maaf Akmal itu penting untuk memulihkan imej BN di mata pengundi Cina pada pilihan raya kecil Mahkota.

[Baca berita asal]

Friday, September 13, 2024

Ulama PAS lulus usul sijil halal ikut kategori mula di SG4

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
13 Sep 2024, 07:37 PM

Kategori itu antaranya restoran hotel, restoran francais, restoran pasar raya, kedai roti dan kek.
Perwakilan ulama dalam Muktamar Dewan Ulama PAS kali ke-63 di Kompleks Imam As-Syafie (Kias), Jerantut.

JERANTUT: Ulama PAS meluluskan usul sijil halal mengikut kategori bermula di negeri ditadbir Perikatan Nasional yang membentuk SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Usul dikemukakan Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) itu diterima tanpa bahas dalam Muktamar Dewan Ulama PAS kali ke-63 di Kompleks Imam As-Syafie (Kias).

Ulama mengusulkan agar pensijilan atau pengesahan halal bagi premis makanan mengikut kategori seperti restoran hotel, restoran francais, restoran pasar raya, kedai roti dan kek dan pusat penyembelihan dijadikan keperluan atau kehendak pelesenan secara berperingkat melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri SG4, menurut usul itu.

Usul itu juga menekankan kepentingan pensijilan halal bagi premis makanan dan menyeru ia dijadikan keperluan pelesenan di SG4.

DUPP menegaskan, Malaysia adalah salah satu pusat pensijilan halal paling diiktiraf di peringkat global.

Katanya, pensijilan halal bukan sahaja memastikan kebersihan dan jaminan bahan, tetapi turut meningkatkan reputasi produk di peringkat antarabangsa termasuk di negara bukan Islam.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula, sebagai agensi bertanggungjawab telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan reputasi tersebut melalui piawaian ketat dan integriti kukuh.

Ulama PAS juga melahirkan kebimbangan terhadap beberapa kenyataan daripada pihak tertentu, termasuk pimpinan politik bukan Islam, yang mempertikaikan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal atas alasan konon ia membebankan peniaga dan boleh mencemar imej negara, katanya.

Menurut usul itu, pelaksanaan yang dimulakan di negeri SG4 juga perlu menjadi contoh kepada negeri lain dalam memperkukuhkan pensijilan halal tanpa membebankan peniaga atau menjejaskan nama baik negara.

Cadangan itu, jika dilaksanakan dijangka dapat memperkuatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia, di samping memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga dengan adil dan saksama, menurut usul.

Thursday, September 12, 2024

Pertembungan Akmal-Kok untungkan Umno, kata penganalisis

malaysiatoday.com
Mohamad Fadli
12 Sep 2024

Penganalisis berkata pertembungan antara ketua Pemuda Umno dan naib pengerusi DAP pamer bahawa Umno sedia berselisih dengan DAP.
Penganalisis percaya perbalahan antara Dr Akmal Saleh dan Teresa Kok tidak akan ganggu hubungan Umno dan DAP dalam kerajaan.

PETALING JAYA: Penganalisis percaya pertembungan antara Dr Akmal Saleh dan Teresa Kok berhubung kenyataan balas berkait isu pensijilan halal akan beri keuntungan politik kepada Umno.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, menjelaskan pertembungan antara ketua Pemuda Umno dan naib pengerusi DAP itu mempamerkan kepada orang ramai bahawa Umno sedia berselisih dengan DAP walaupun kedua-duanya parti pemerintah.

Pertembungan ini lebih beri keuntungan kepada Umno kerana dapat mempamerkan pendapat dan pandangan bertentangan dengan DAP walaupun dalam kerajaan yang sama, katanya kepada FMT.

Sebaliknya DAP tidak guna untuk mereka melawan isu dengan Akmal kerana tetap akan memberi persepsi negatif kepada DAP dan Teresa.

Sementara itu, Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah percaya perbalahan antara Akmal dan Kok tidak akan ganggu hubungan kedua-dua parti.

Saya fikir perbuatan mereka adalah bersifat peribadi, iaitu perbezaan pendapat secara umumnya dan tidak mengganggu hubungan Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan, katanya.

Terbaharu, Kok mengancam akan menyaman Akmal yang didakwa memfitnahnya dalam video TikTok, yang menyentuh kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tertentu mendapatkan pensijilan halal.

Dalam surat tuntutan dilihat FMT, peguam mewakili Kok berkata anak guamnya menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal jika beliau gagal memenuhi tuntutan.

Surat itu menyatakan Akmal sengaja membesar-besarkan dan/atau secara berniat jahat memutar belit kenyataan Kok dengan niat untuk memfitnahnya.

Akmal berkata beliau sedia berdepan Kok di mahkamah.

Sebelum ini, Akmal dilapor berkata tindakan Kok memalukan negara dan lebih elok diam kalau tidak tahu mengenai agama Islam.

Pada Ahad, polis dilapor membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard isu kaum, agama, raja (3R) terhadap Kok.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis, Syed Arabi Idid, berkata Akmal sepatutnya tumpu pada isu ditimbulkan Kok, dan tidak menggunakan gelaran ‘nyonya tua’.

Beliau percaya, jika perkara itu berlarutan ia boleh menjadi isu pada PRK DUN Mahkota kelak.

Jika berlarutan dan tidak dinasihati oleh pihak pemimpin atasan dalam kedua-dua parti itu, mungkin boleh merebak menjadi isu nasional di PRK DUN Mahkota, katanya.

Umno menerusi perhimpunan agung bulan lalu sekali lagi membulat tekad untuk mendapatkan kembali sokongan orang Melayu, menyusuli kemenangan pada PRK Nenggiri, Kelantan.

Parti itu akan perlu sekali lagi membuktikan pengaruhnya pada PRK Mahkota, Johor, akan datang.

Monday, September 9, 2024

DAP masih mahu tegak benang basah isu sijil halal

harakahdaily.net
September 9, 2024
Dr Zulkeflee Yaacob

KOTA BHARU: Pemimpin DAP masih lagi dianggap mahu menegak benang basah biar pun ahli parlimen Seputeh Teresa Kok disiasat polis kerana kenyataannya menyentuh isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Pensyarah Psikososio Dr Zulkeflee Yaacob berkata, semua perkara dan hal berkaitan umat Islam dilihat buruk dan alahan oleh pimpinan DAP.

Sedangkan katanya ia termaktub dalam perlembagaan fasal 3 dan 11 tentang Islam sebagai agama Persekutuan.

“Inilah minda penjajah masih menebal dalam kasus entiti mereka apatah sejak memiliki tampuk dalam kerajaan Madani dengan dibantu Umno.

“Pelaksanaan sijil halal untuk meningkatkan kualiti produk terutama makanan, malah mengesahkan sesuatu produk itu baik dan bersih,” katanya di sini.

Sebelum ini Teresa dilapor berkata, cadangan pelaksanaan pensijilan halal ke atas restoran makanan seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasar permintaan pasaran, bukan secara pakasa.

Menurutnya cadangan mewajibkan restoran memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada peniaga kecil.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak sehingga Pemuda PAS di beberapa tempat termasuk Kelantan membuat laporan polis terhadap pemimpin DAP terbabit.

Sebelum itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada kenyataan mempertimbang cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilapor berkata, isu sijil halal tidak harus dipolemik kerana menganggap kenyataan Teresa cuma menyuarakan kebimbangan dalam kalangan pengusaha restoran bukan Islam kemugkinan mereka juga diwajibkan mendapat sijil halal.

Dr Zulkeflee juga berkata, proses penarafan sesuatu sijil bagi menjaga kualiti sesuatu produk bersesuian dengan kehendak dan piawaian yang ditetapkan seperti ISO, MyGAP dan GMP.

“Kos bagi mendapat sijil halal bukan menjadi keutamaan bagi peniaga Muslim kerana dengan adanya sijil halal membolehkan perniagaan mereka lebih berkembang,” ujarnya. 

HARAKAHDAILY 9/9/2024

Sunday, September 8, 2024

Sijil halal: Sikap ekstrem DAP terhadap Islam

harakahdaily.com
September 8, 2024
Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi melihat kenyataan pemimpin DAP berhubung sijil halal adalah satu contoh sikap ekstrem dan melampau parti itu terhadap Islam.

“Kita tak nafi ada kelemahan dalam proses pensijilan halal yang wajar dimurni dan diperkasakan untuk kemudahan rakyat,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Sepatutnya, kata beliau rakyat Malaysia berbangga kerana sijil Halal Malaysia antara yang terbaik di dunia dan diiktiraf negara-negara lain.

“Tapi itulah sikap DAP, mereka tuduh orang lain ekstrem padahal mereka yang sebenarnya ekstrem, lagi-lagi benda berkait Islam,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu.

menyatakan demikian susulan kenyataan Teresa Kok mengenai sijil halal.

Kelmarin, Naib Presiden DAP itu berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Teresa juga mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.

Khamis lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal kecuali restoran yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol. 

Akmal: Saya minta kerajaan sediakan logo non-halal, tampal pada dahi Teresa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2024 1:46 PM
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menyelar Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok kerana mempersoal cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal.

Menyifatkan ahli parlimen Seputeh itu sebagai 'nyonya tua', Akmal berkata Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensjilan halal.

“Pertama saya nak bagi tahu pada nyonya tua ini, sijil halal ini bukan sahaja arak dan babi, tapi sijil ini merangkumi bagaimana dia (peniaga) nak sediakan (makanan), bagaimana sumber (perniagaan) tu dapat.

“Jadi ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu juga nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat. Hari ni kita dah dapat pendekkan kepada 23 hari saja dah boleh dapat sijil halal.

“Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di TikTok.

Kelmarin, Teresa berkata cadangan itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, Khamis lalu yang memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan itu.
Teresa berkata, langkah itu juga bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pensijilan halal sepatutnya bersifat sukarela dan membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.

Pandangan Teresa bagaimanapun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno dan Amanh yang meminta dia menarik balik kenyataan itu.

‘Diam lebih elok’

Mengulas lanjut, Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut menyangkal dakwaan Teresa bahawa langkah mewajibkan pensijilan halal sebagai memalukan negara.

Sebaliknya, dakwa Akmal, Teresa yang sebenarnya telah memalukan negara ini dengan tidak berhenti mengganggu-gugat keharmonian.

“Kalau kamu tak suka, dia tak melibatkan kamu pun dan yang sebenarnya yang memalukan negara ini adalah ada ahli parlimen seperti kamu wahai nyonya tua yang tak habis-habis mengganggu gugat keharmonian negara.

“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” tambahnya.

Kenyataan Teresa hanya keruhkan keadaan, kata PM

bharian.com.my
Oleh Muhammad Yusri Muzamir 
yusri.muzamir@bh.com.my
- September 8, 2024 @ 10:09am
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Majlis Perasmian Kawasan Rehat & Rawat Seremban (Arah Selatan) : R&R Lestari Pertama hari ini. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan tiada keperluan bagi Teresa bertindak sedemikian, selain menyifatkan kenyataan Naib Pengerusi DAP itu hanya mengeruhkan keadaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) di sini, hari ini.

Sebelum ini Teresa mendakwa cadangan kerajaan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan pengusaha restoran Melayu.

Teresa juga turut mendakwa langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Saturday, September 7, 2024

'Kalau kamu tak tahu agama kami, jangan cakap, kamu diam lebih elok'

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
Muhamad Akmal Saleh (kiri) dan Teresa Kok.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menempelak tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Dr Muhamad Akmal menegaskan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan saja membabitkan larangan kandungan arak dan babi tetapi merangkumi bagaimana sesuatu makanan itu disediakan dan sumber penyediaannya.

"Saya nak beritahu... sijil halal dulu berbulan nak dapat. Hari ini, kita sudah pendekkan sehingga 23 hari saja, sudah dapat sijil halal.

"Jadi, apa masalah kamu dengan sijil halal ini. Kalau kamu tidak suka, ia tidak membabitkan kamu pun," kata beliau melalui TikToknya, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Naib Pengerusi DAP itu mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil, selain bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, kelmarin yang JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Dr Muhamad Akmal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mendakwa tindakan Teresa itu yang sebenarnya memalukan negara, yang disifatkan beliau sering mengganggu gugat keharmonian.

"Kalau kamu tak tahu mengenai agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok," katanya.

'Hormati sensitiviti umat Islam', UMNO Terengganu bidas Teresa

bharian.com.my
Oleh Baharom Bakar
bhnews@bh.com.my
 - September 7, 2024 @ 12:29pm
Teresa Kok (kiri), dan Rozi Mamat

KUALA TERENGGANU: UMNO negeri menyanggah kenyataan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok yang mendakwa kewajipan mendapatkan sijil halal membebankan peniaga dan memalukan negara.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata kenyataan itu tidak hanya menyentuh aspek komersial, tetapi membabitkan isu pemeliharaan kesucian dan kedaulatan agama Islam.

Katanya, Islam menetapkan garis panduan yang jelas dalam soal makanan serta minuman dan sijil halal adalah penting untuk memastikan umat Islam tidak termakan sesuatu yang tidak menepati syarak.

"Sijil halal juga berfungsi sebagai perlindungan kepada pengguna Muslim daripada sebarang kekeliruan atau eksploitasi.

"Kenyataan Setiausaha Publisiti DAP bahawa sijil halal membebankan peniaga menunjukkan kurangnya pemahaman mengenai tanggungjawab sosial dan agama yang sepatutnya dipikul dalam masyarakat pelbagai agama dalam negara," katanya.

Rozi mengulas kenyataan Teresa yang mendakwa cadangan kerajaan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan pengusaha restoran Melayu.

Teresa juga turut mendakwa langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Mengulas lanjut, Rozi berkata Teresa digesa memahami kepentingan sijil halal, menghormati sensitiviti umat Islam dan tidak memandang perkara itu sebagai beban.

Katanya, sijil halal adalah satu keperluan untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara, terutama dalam konteks sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Kerajaan terutama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mengambil langkah proaktif untuk memantapkan lagi industri halal di negara ini.

"Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan sijil halal bukan sahaja lebih mudah diperoleh, tetapi juga lebih diyakini dan berdaya saing di peringkat global.


"Antara usaha dilakukan kerajaan adalah mempercepatkan proses permohonan sijil halal melalui digitalisasi dan mengurangkan kerenah birokrasi, serta mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai pusat halal global," katanya.

Rozi berkata Kerajaan Perpaduan juga komited untuk memastikan industri halal terus berkembang dan menjadi pemacu utama ekonomi negara dan bukannya bebanan.

"Kita menggesa semua pihak terutama Teresa supaya memahami kepentingan sijil halal, menghormati sensitiviti umat Islam serta tidak memandang perkara ini sebagai beban," katanya.

Tarik balik kenyataan sijil halal dan mohon maaf, kata Pemuda Bersatu

suaramerdeka
 7 September 2024

PEMUDA Bersatu meminta Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya mengenai pensijilan halal untuk semua premis makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.

Ketua sayap pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mengancam untuk membuat laporan polis terhadap pemimpin DAP itu kerana didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama dan royalti.

Kenyataan Teresa yang membantah pensijilan halal mandatori kerana mendakwa akan membebankan peniaga kecil, menunjukkan pemahaman yang cetek mengenai isu itu, kata Wan Fayhsal, yang merupakan ahli parlimen Machang.

“Mencari yang halal adalah kewajipan asas bagi umat Islam. Tidak ada yang memalukan untuk mewajibkan semua perniagaan yang berurusan dengan orang Islam mematuhi piawaian ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari pula berkata DAP harus mengelak daripada mengulas mengenai pensijilan halal, dengan mengatakan ia hanya akan menguatkan persepsi bahawa parti itu anti Islam.

“Sekiranya mereka mesti ingin menanganinya, mereka harus melakukannya melalui pihak lain dalam kerajaan.

“Mereka boleh berunding dengan PKR, Amanah, atau Umno melalui presidennya untuk bercakap bagi pihak DAP,” kata Fadhli.

Awal semalam, Teresa yang juga naib pengerusi DAP menyuarakan bantahan terhadap cadangan untuk mewajidkan semua premis perniagaan yang menjual makanan halal untuk umat Islam mendapatkan sijil halal yang mana ia sedang dikaji oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Na’im Mokhtar berkata, Jakim sedang mempertimbangkan cadangan itu kerana pensijilan halal pada masa ini secara sukarela untuk pengusaha makanan.

Teresa berkata langkah itu boleh membebankan perniagaan kecil, menyekat kebebasan pengguna, dan mungkin bertembung dengan kepelbagaian budaya Malaysia. 

SM

Friday, September 6, 2024

'Wajibkan sijil halal akan tambah beban peniaga, malukan negara'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 6, 2024 6:15 PM
Cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

"Apabila kerajaan mewajibkan premis makanan mempunyai sijil halal, ia dilihat akan menambah beban kepada perniaga kecil.

“Walaupun banyak restoran tidak menyediakan daging babi atau alkohol, mereka tidak memohon pensijilan halal. Ini termasuklah ribuan pengusaha restoran kecil Melayu.

"Pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran. Pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, dan bukannya dilaksanakan secara paksa yang akan menambah kesukaran operasi perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Ketika ini tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal.

“Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda.

“Banyak agensi akan terlibat untuk menguatkuasakannya,” katanya.

Pilihan pengguna

Mengulas lanjut, Teresa berkata pengguna berhak memilih sama ada untuk mengunjungi restoran yang telah disahkan halal atau tidak.

"Pensijilan halal secara mandatori akan menghadkan fleksibiliti perniagaan dan mempengaruhi kebebasan pilihan pengguna.
"Pengawalan yang berlebihan ini bukan sahaja mengekang kebebasan pengurusan perniagaan tetapi juga tidak menghormati kehendak pengguna," tambahnya.

Katanya, Malaysia pada masa ini tidak mempunyai undang-undang sedemikian dan pelaksanaan mandatori ini bercanggah dengan undang-undang sedia ada serta mungkin memerlukan pindaan kepada pelbagai undang-undang.

“Lebih penting lagi, campur tangan ini bertentangan dengan semangat kebebasan ekonomi dan autonomi perniagaan yang sering dianjurkan oleh kerajaan, dan akan memberi kesan negatif kepada kerajaan perpaduan.

“Jika pensijilan halal ini diwajibkan, ia bukan sahaja akan mencetuskan reaksi negatif dalam negara, malah mungkin memalukan negara kita di peringkat antarabangsa," katanya.

Monday, December 13, 2021

Restoran terkenal di Ipoh disahkan JAIPk tiada sijil halal

mykmu.net
December 13, 2021

Sebaran :


Restoran terkenal di Ipoh disahkan JAIPk tiada sijil halal

KALAU ramai yang singgah makan di sebuah restoran terkenal di Ipoh, Perak, New Hollywood, mesti rasa nak termuntah kerana dikhabarkan bahawa restoran berkenaan tidak mempunyai sijil Halal.

Satu perkongsian di laman sosial Facebook, ditulis oleh individu yang menggunakan nama Nadia Ghafar, ramai yang akan menyerbu restoran ini dan pada sebelah pagi, untuk sarapan, memang penuh.

Itulah sebabnya, kena bangun tidur awal jika teringin nak bersarapan pagi di Restoren New Hollywood.

Walau bagaimanapun, ramai yang mempersoalkan sama ada pihak pengurusan restoran ini ada mempunyai sijil Halal atau pun tidak?

Kalau ada rasa was-was, lebih baik jangan makan di situ tetapi pihak penguatkuasa perlu melakukan siasatan supaya pengunjung beragama Islam, tahu dan jelas dengan status Halal restoren berkenaan.

Menurut catan penulis, Nadia, ekoran ini, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah pun mengeluarkan kenyataan yang menjadi kekeliruan orang ramai selama ini.

JAIPk telah pun mengesahkan bahawa restoran New Hollywood ini bukanlah pemegang sijil halal Malaysia.

Selain itu, JAIPk turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan sesuatu premis itu mempunyai Sijil Pengesahan Halal terlebih dahulu dan jangan makan sekiranya was-was.

“Jangan cepat terpengaruh dengan kehadiran ramai orang Islam ke kedai berkenaan jika masih tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Ini kerana tanda HALAL sesebuah premis itu diperoleh jika operasi dan bahan makanan yang dijual adalah menepati syariat,” jelasnya.

Bagaimanapun, sebelum ini menerusi The Star pemilik restoran ini ada memberitahu bahawa proses untuk mendapatkan sijil halal bukanlah mudah.

Jadi, bagi mengekalkan kredibiliti restorannya ini, pemilik restoran yang dikenali dengan nama Chan telah memastikan segala bahan masakan yang digunakan diperolehi daripada pembekal yang mempunyai sijil halal.

 SM

Friday, October 23, 2015

Kecoh.... JAKIM Tarik Balik Sijil Halal Roti Sweetie

PENGGUNA beragama Islam sememangnya begitu sensitif berhubung isu halal kerana tidak mahu ditipu perihal status makanan yang berada di pasaran.

Namun, baru-baru ini heboh di laman sosial apabila seorang netizen mendakwa roti jenama Sweetie tidak halal berikutan tiada sebarang sijil halal dipaparkan padapackaging roti tersebut.

Apa yang lebih mengejutkan, atas pemeriksaan orang ramai menerusi laman direktrori Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mendedahkan bahawa status halal roti jenama terkenal itu telah ditarik balik.
Menurut sumber yang kami terima, sijil pengesahan halal bagi roti jenama Sweetie keluaran syarikat Today Bakeries Products (Klang) Sdn. Bhd. itu telah ditarik balik sejak dua bulan lalu.

Difahamkan, penarikan semula sijil halal tersebut hanya melibatkan produk yang dihasilkan di kilang roti tersebut di Klang.

Bagaimanapun, tidak diketahui mengapa sijil tersebut ditarik balik.

Sementara itu, dalam satu laporan akhbar, pihak JAKIM dikatakan memberi tempoh masa selama tiga bulan bagi syarikat tersebut untuk membuat permohonan semula sijil halalnya. – MYNEWSHUB.CC

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-