Diterbitkan: Sep 18, 2024 12:54 PM
Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata pengalaman parti itu bersama PAS dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini adalah cukup pahit.
Dalam satu hantaran di Facebook, katanya, Umno telah belajar dari kesilapan lalu dan tidak akan terjerumus ke lubang sama bagi kali kedua.
“Umno tak terdesak dan tak bernafsu pun untuk bersama PAS lagi.
“Kalau PAS rasa dia dah hebat sangat dengan Perikatan Nasional (PN) macam sebelum ini, teruskanlah. Umno pun ada haluan sendiri. Tak payah la nak ungkit-ungkit lagi soal MN, tak ada sesiapa pun nak ulang kesilapan yang sama.
“Umno tak sama macam PAS yang gila talak dan suka poligami. Sebab itu sekarang ini orang PAS nak cari orang bukan Islam pula nak kahwin sebab nak dapat undi,” katanya.
Nur Jazlan merujuk kepada perbahasan Pemuda PAS, pada 12 September lalu, apabila seorang perwakilan menimbulkan cadangan taktik berkahwin dengan bukan Melayu. Katanya, ini boleh memenangi parti itu dengan mendapat satu undi tetapi berpuluh, malah ratusan undi.
Nur Jazlan berkata, Abdul Hadi sebenarnya cuba “kelentong” berhubung siapa yang meninggalkan MN.
“Dulu bukan main rapat dengan Umno sampai bersumpah setia dan menangis-nangis nak bersama-sama dalam MN.
“Tapi bila dah tak kena dengan selera tekak PAS, terus ditinggalkan macam tu saja. Tak ingat ke siapa sebenarnya yang tinggalkan siapa dulu?” katanya.
Abdul Hadi pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS ke-70, di Kerdau, Temerloh, Sabtu lalu, mendakwa parti itu tetap meneruskan usaha untuk menarik sokongan pemimpin Umno dalam usaha menghidupkan MN..
Bagaimanapun jelasnya ia melibatkan sebahagian pemimpin sebaliknya bukan pasukan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Nur Jazlan mencabar PAS supaya mendedahkan pemimpin partinya yang bukan daripada kumpulan atau penyokong Ahmad Zahid yang terlibat dalam perbincangan penyatuan orang Melayu-Islam dan bumiputera seperti yang didakwa itu.
“Hadi cuba kelentong siapa Ini? Kalau betul ada perbincangan tu, saya cabar Hadi dedahkan namakan pemimpin Umno yang kononnya berbincang dengan PAS.
“Takkan nak cakap ‘ada’ tapi tak berani nama. Takkan Pak Lebai nak menipu kot,” sindirnya.
Nur Jazlan berkata, presiden PAS itu cuba menunjukkan bahawa parti itu kononnya 'terpaksa' meninggalkan MN sebab Umno dipimpin oleh Ahmad Zahid yang terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah.
Macam la rakyat tak tahu permainan sebenar dan loyar buruk PAS selama ni.
“Pengalaman bersama PAS dalam MN dah cukup-cukup pahit. Umno pun dah belajar dari kesilapan lalu. Dah jatuh dalam lubang yang sama sekali, takkan nak jatuh kali kedua pula?” katanya.
Selain pimpinan-pimpinan Melayu Bumiputera, Abdul Hadi juga dipetik sebagai berkata, PAS juga ingin menarik pemimpin bukan Islam yang tidak ekstrem.
“PAS ini macam lintah ketika musim banjir di Pantai Timur. Selalu laparkan darah. Bila dah tak boleh nak kikis duit dari Bersatu, PAS mula cari balik Umno yang sekarang ini ada dalam kerajaan Perpaduan dengan harapan dapat menempel di kulit Umno dan hisap darah lagi,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.