Tuesday, October 22, 2024

Anwar-Prabowo perlu rentak sedegam demi manfaat rakyat serumpun

bharian.com.my
Oktober 22, 2024 @ 8:34am

MALAM sebelum Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia kelapan, beliau dilihat memaut tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan empat mata dan makan malam di kediaman peribadi Subianto.

Mantan Jeneral itu kemudian menunjukkan kepada Perdana Menteri sambil berkata: "Kakak saya ini..." bermaksud abang, manakala Anwar menyifatkan Indonesia di bawah kepemimpinan Prabowo sebagai sahabat sejati yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Begitulah keakraban pemimpin kedua-dua negara berjiran memiliki hubungan unik mungkin tidak ada pada negara lain. Malaysia dan Indonesia, dua negara serumpun berkongsi akar budaya, bahasa dan sejarah, tetapi melalui pelbagai era pembangunan sejak merdeka hingga kini.

Namun, dengan kepemimpinan Prabowo dan Anwar tegas dalam visi Malaysia MADANI, era baharu ini menuntut kedua-dua negara lebih sepakat dan berpadu tenaga.

Pada pertemuan lebih mirip kekeluargaan berbanding formaliti kenegaraan, Anwar dan Prabowo sempat berbincang pelbagai isu dan inisiatif memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor, mencerminkan komitmen tidak hanya mengekalkan hubungan baik, bahkan menghangatkan lagi kerjasama strategik.

Menariknya, Prabowo dengan azam menjadikan Indonesia mampu swasembada pangan bermaksud mencapai keperluan makanan sendiri hakikatnya serupa dengan tekad Anwar dalam konteks keterjaminan makanan seperti terserlah dalam Belanjawan 2025 lalu. Begitu juga sektor tenaga, kedua-dua pemimpin berkongsi idea sama apatah lagi Malaysia dan Indonesia dikurniakan sumber alam melimpah dalam sektor bahan api serta mineral termasuk unsur nadir bumi (REE). Semua ini menjadi antara ramuan penting dalam konteks ekonomi dan teknologi hijau.

Justeru, Malaysia dan Indonesia perlu rentak sedegam, langkah sepijak memanfaatkan kekayaan sumber secara lebih bijak, bukan sahaja meningkatkan usaha menghasilkan produk akhir daripada bahan mentah, bahkan memastikan kekayaan dinikmati rakyat mereka sendiri. Malah, dalam banyak hal seperti minyak sawit, suara kedua-dua negara lebih kuat berdepan percaturan gergasi ekonomi seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Malaysia sendiri bakal menggalas tanggungjawab Pengerusi ASEAN 2025, perlu memastikan hubungan erat dengan Indonesia terus diperkukuh, terutama dalam konteks kerjasama serantau. Sebagai dua negara utama ASEAN, kita perlukan sokongan teguh terutama Indonesia dalam melaksanakan tanggungjawab menangani cabaran serantau mahupun global seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan pengurusan tenaga mampan.

Apatah lagi berdepan percaturan geopolitik kuasa besar terutama antara AS dengan China yang kedua-dua rakan dagang, menuntut pendekatan diplomasi bijak sering dirujuk sebagai 'diplomasi kancil' bukan sahaja demi manfaat kepada kedua-dua negara, bahkan ASEAN keseluruhannya. Malah, suara Anwar membela Palestin berdepan serangan genosid Israel di Gaza juga senada dengan Prabowo yang turut menyatakan dukungan kemerdekaan negara itu dalam pidato perdananya.

Kita mahu melihat Malaysia dan Indonesia pada era baharu ini berpadu tenaga lebih erat, menjadikan kekuatan serumpun sebagai asas melangkah lebih jauh di pentas dunia. Pemimpin kita perlu memastikan hubungan unik ini membawa manfaat jangka panjang dengan semua pihak termasuk rakyat turut sama mendukungnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto atas pelantikannya sebagai Presiden baharu Indonesia, kelmarin. - Foto BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-