Friday, October 4, 2024

'Kenyataan Nur Jazlan dangkal, lemah, bodoh'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 4, 2024 11:43 AM
Bekas naib ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman membidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nur Jazlan Mohamed yang menggunakan perumpaan bermain poker untuk menunjukkan pentingnya PH menerima kritikan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Kenyataan Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan PKR dan Amanah tidak layak berada di meja "poker" adalah kenyataan dangkal, lemah dan bodoh.

"Tidak seharusnya seorang pemimpin bertaraf kepimpinan tertinggi komponen kerajaan mengeluarkan kenyataan tempang yang berbaur perpecahan.

"Tindakan beliau ini diibaratkan seperti parasit yang berusaha ke arah meruntuhkan kerjasama Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan.

Menurut aktivis PKR itu, dia terkejut apabila seorang yang bertaraf Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara seperti Nur Jazlan boleh mengeluarkan kenyataan demikian seolah-olah mencerminkan sikap sebenarnya yang gemar berjudi.

"Adakah hari ini kita memiliki Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara yang bertaraf tahi judi?

“Adakah ini tahap profesionalme yang ditunjukkan oleh Nur Jazlan?" katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Nur Jazlan pada hantaran di media sosial menggunakan perumpamaan permainan daun terup "poker" dan beberapa sindiran lain untuk menekankan kepentingan PH menerima cadangan dan teguran agar perbezaan dalam kerajaan perpaduan dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

"Dalam konteks permainan poker politik ni, hanya mereka yang benar-benar ada skill, kekuatan dan pengalaman saja yang layak dan mampu bertahan di meja utama.

"Bagi saya hanya Umno, DAP dan GPS saja yang boleh diibaratkan sebagai pemain poker profesional yang tahu bila nak “bluff,” bila nak “raise" dan bila nak ambil risiko.

"Parti ini saja pemain sebenar dalam politik Malaysia sejak awal merdeka dulu," kata Jazlan.

Mengulas lanjut, Syed Badli berkata, Jazlan sepatutnya mengeluarkan pandangan yang positif ke arah pengukuhan kerajaan perpaduan dan bukan sebaliknya.

"Seharusnya beliau mengeluarkan kenyataan yang lebih positif menyeru ke arah pengukuhan kerajaan perpaduan kerana hubungan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Umno berada di tahap terbaik.

"Justeru itu, saya menyeru kepimpinan Umno untuk mengambil tindakan tegas terhadap Nur Jazlan.

“Tidak seharusnya pemimpin bersikap parasit seperti ini dibiarkan untuk merencatkan agenda pengukuhan kerajaan perpaduan," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-