Friday, October 4, 2024

Hampir 2,000 mangsa banjir Selangor dipindahkan ke 6 PPS

bharian.com.my
Oleh Austin Camoens
bhnews@bh.com.my
 - Oktober 4, 2024 @ 11:28am
Gambar hiasan

SUNGAI BULOH: Hampir 2,000 mangsa membabitkan 480 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir yang berlaku di tiga daerah di negeri ini bermula malam tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata tiga daerah terbabit ialah Gombak, Shah Alam dan Kuala Selangor.

Beliau berkata, mangsa banjir berkenaan di tempatkan di PPS Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras; Dewan Kenanga; Dewan MBSA Bunga Matahari; Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang; Sekolah Rendah Agama Kuang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman.

"Setakat ini, enam PPS dibuka dengan sejumlah 480 keluarga sudah dipindahkan.

"Jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan di PPS ketika ini ialah 1,968 orang," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, seramai 54 anggota daripada enam balai bomba iaitu Sungai Buloh, Bestari Jaya, Selayang, Batu Arang, Dengkil dan Bukit Jelutong terbabit dalam operasi berkenaan.

"Balai Bomba Sungai Buloh akan memantau Kampung Kubu Gajah, Merbau Sempah dan Kampung Cempedak, Kuang, manakala Balai Bomba Bukit Jelutong melihat perkembangan semasa sekitar Kampung Melayu Subang dan Jalan Tembusu.

"Balai Bomba Bestari Jaya dan Dengkil pula akan memantau kawasan Kampung Sri Aman, Taman Saujana Aman, Kampung Parit Mahang, Sungai Buah, Jambatan Sekolah Vokasional, Revolusi Hijau dan Pasar Dengkil.

"Selain itu, Balai Bomba Selayang dan Batu Arang akan memantau Kampung Selayang Baru, Kampung Laksamana, Indian Settlement, Taman Rahmat Jaya Kundang, Lorong Utama 1, Lorong Setia 7, Kampung Melayu Sri Kundang, Lorong Haji Talib, Kampung Gombak dan Kampung Bunga Raya, " katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-