Wednesday, October 16, 2024

Kes Altantuya: Polis boleh siasat semula berdasarkan dakwaan Azilah

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Oct 16, 2024 9:30 AM
Polis atas inisiatif sendiri boleh membuka semula siasatan terhadap kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006, kata bekas presiden Majlis Peguam Malaysia.

Salim Bashir berkata pihak berkuasa tidak perlu menunggu laporan polis dan boleh membuat siasatan berdasarkan dakwaan tertuduh, Azilah Hadri, yang hukuman terhadapnya kini diringankan daripada hukuman gantung kepada penjara seumur hidup.

Ketika permohonan semakan hukuman mati di Mahkamah Persekutuan Khamis lepas, peguam Azilah, J Kuldeep Kumar, membangkitkan semula tuduhan bahawa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada bekas menteri pertahanan, Najib Razak.

Bagaimanapun Najib secara konsisten menegaskan bahawa dia tidak terlibat dalam pembunuhan itu.
Salim berkata Akta Polis 1967 memberi kuasa kepada polis untuk membuka semula siasatan pembunuhan tersebut tanpa perlu menunggu laporan daripada orang awam.

Menurutnya, Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) menyatakan bahawa laporan maklumat pertama (FIR) bukan bukti substantif, tetapi hanya bertujuan untuk memulakan siasatan terhadap sesuatu kesalahan.

"Laporan FIR oleh orang awam bukanlah syarat utama untuk memulakan siasatan. Di bawah Seksyen 110 CPC, ia memperuntukkan bahawa pegawai polis yang berpangkat tidak kurang daripada sarjan atau pegawai yang bertugas di balai polis boleh menggunakan kuasa siasatan tanpa mendapat arahan untuk menyiasat bagi kesalahan yang boleh ditangkap.

"Pegawai polis boleh memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai bahawa satu kesalahan telah dilakukan. Kuasa siasatan dan penahanan mereka tidak hanya terhad kepada CPC tetapi juga tertakluk oleh Akta Polis 1967," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar bersetuju bahawa undang-undang memberi kuasa kepada polis untuk bersikap proaktif dan membuka semula kes Altantuya.

"Polis tidak boleh berdiam diri. Kini kita mempunyai badan kehakiman yang sangat bebas.

"Kerajaan kini mencari kebenaran, jadi polis perlu proaktif dan mengambil tindakan," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, peguam keluarga si mati, Sangeet Kaur Deo, mempersoalkan peguam negara (AG) berhubung afidavit yang tidak dicabar yang difailkan oleh Azilah sebagai sebahagian daripada permohonannya untuk meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

“Affidavit tambahan itu termasuk dakwaan tidak dipertikaikan bahawa Azilah bertindak di bawah arahan yang jelas, fakta yang tidak dicabar oleh pendakwa raya, menimbulkan persoalan serius mengenai tindakan peguam negara.

"Keluarganya menuntut untuk mengetahui sama ada dakwaan ini telah disiasat dan jika tidak, mengapa ia masih tidak ditangani?," tambahnya.

Altantuya, 28, dibunuh di kawasan terpencil di Shah Alam, Selangor, pada Oktober 2006. Mayatnya diletupkan dengan bahan letupan tentera.
Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Azilah, 48, dan komando polis Sirul Azhar Umar bersalah atas pembunuhan Altantuya dan menjatuhkan hukuman mati kepada mereka.

Namun, Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan kedua-dua tertuduh berkenaan dan mengembalikan sabitan dan hukuman mati terhadap mereka pada 2015.

Pihak berkuasa Australia kemudian menahan Sirul kerana berada di negara itu melebihi tempoh visa.

Australia memiliki dasar untuk tidak menghantar pulang individu yang menghadapi hukuman mati di negara asal mereka.

Pada November tahun lalu, Sirul yang kini berusia 52 tahun dibebaskan dari tahanan imigresen dan difahamkan masih berada di Australia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-