Wednesday, October 16, 2024

Harga maksimun beras putih tempatan tak berubah sejak 2008

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
 - Oktober 16, 2024 @ 10:39am
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Harga siling beras tempatan perlu disemak semula dengan mengambil kira kos pengeluaran semasa, unjuran kos pada masa hadapan dan pergerakan harga beras putih dunia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata harga maksimum beras putih tempatan (BPT) ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak 2008 lagi bagi memastikan rakyat mendapat harga berpatutan susulan peningkatan mendadak harga makanan itu di pasaran global.

Namun, katanya, selepas 16 tahun, harga maksimum beras berkenaan belum lagi disemak walhal harga jualan BPT adalah berkait langsung dengan harga belian padi.

"Sejak 2008, harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM750 per tan kepada RM1,200 per tan pada 2014 dan terkini pada kadar RM1,300 setiap tan manakala harga BPT masih kekal tidak berubah," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat.

Mohamad berkata KPKM sudah pun menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi meneliti isu-isu berkaitan industri padi dan beras negara termasuk kajian daya saing struktur harga.

Di samping itu, katanya, kementeriannya juga sedang menunggu laporan hasil kajian terhadap industri padi dan beras yang bakal dikemukakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak lama lagi.

"Dapatan hasil kajian tersebut akan dijadikan rujukan kepada KPKM untuk menambah baik industri padi beras melalui `task force' yang telah ditubuhkan.

"KPKM ingin memberi komitmen bahawa kebajikan pesawah akan terus diutamakan dan diberikan perhatian yang sewajarnya," katanya.

Akhir tahun lalu, Pengilang Beras Malaysia memberi jaminan mereka akan meningkatkan harga belian padi kepada RM1,500 per tan sekiranya harga siling BPT dapat dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram.

Ini adalah susulan langkah kerajaan yang akan meneliti semula harga siling BPT dinaikkan dalam usaha menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-