Friday, October 4, 2024

Premis jual minyak masak peket kepada orang tertentu sahaja

kosmo online
Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
4 Oktober 2024
Anggota penguat kuasa KPDN memeriksa premis yang Kampung Acheh, Lumut semalam yang dipercayai menjual minyak masak peket 1kg kepada orang tertentu sahaja. - Foto IHSAN KPDN

LUMUT – Padah menimpa sebuah premis di Kampung Acheh di sini yang memilih pelanggan dalam penjualan minyak masak peket 1 kilogram (kg) apabila ia diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan terhadap premis itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung.

Katanya, kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat dan aduan awam yang tidak berpuas hati kepada peniaga yang menjual minyak masak peket 1kg bersubsidi kepada orang tertentu sahaja.

“Bertindak atas maklumat tersebut, satu tindakan uji beli (Ops Samar) telah dilaksanakan dan hasil mendapati pekerja kedai memaklumkan bahawa minyak masak peket telah habis dijual semalam dan masih menunggu penghantaran.

“Curiga dengan jawapan pekerja kedai tersebut, satu pasukan penguat kuasa beruniform telah melakukan pemeriksaan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamalludin berkata, pemeriksaan mendapati premis ini mempunyai Lesen CSA Runcit yang masih sah sehingga 12 Julai 2026 bagi barang kawalan gula, minyak masak dan tepung gandum dengan had kuantiti simpanan sebanyak 500kg bagi setiap jenis barangkawalan.

Seterusnya, ujar beliau, pemeriksaan lanjut juga telah menemui sejumlah minyak masak peket 1kg yang diletakkan dalam satu bilik kecil disyaki dijadikan stor simpanan premis terbabit.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil kerana premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(1)(a) AKB1961 iaitu mana-mana orang yang merupakan pemegang lesen CSA/GMT yang sah secara palsu menafikan bahawa dia mempunyai barang kawalan berjadual iaitu minyak masak peket 1kg dalam miliknya.

“Sebanyak 78 paket minyak masak 1kg telah disita dengan nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM195. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Kamalludin berkata, seseorang, selain dari badan korporat, tetapi termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961 apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

“Manakala mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. 

KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-