Friday, October 4, 2024

Izin anak orang kaya berpotensi masuk SBP, MRSM, Matrikulasi, tapi bayar penuh

bharian.com.my
Oleh Prof Dr Barjoyai Bardai 
bhrencana@bh.com.my
- Oktober 4, 2024 @ 9:10am
Gambar hiasan. Foto NSTP

SISTEM pendidikan dari sekolah rendah sehingga ke menengah tinggi adalah percuma bagi seluruh warga Malaysia. Sebanyak 10,220 sekolah menawarkan pendidikan percuma untuk lebih lima juta pelajar pada setiap tahun, membabitkan lebih 416,000 pendidik seluruh negara.

Malaysia mempunyai 72 sekolah berasrama penuh (SBP) dengan 11 sekolah premier, 46 sekolah menengah sains, 12 sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI) dan tiga sekolah menengah agama persekutuan (SMAP) menawarkan hampir 5,000 tempat belajar dengan lebih 53 peratus adalah pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Jumlah tempat belajar ini meningkat lebih 15 peratus setiap tahun. Bahkan, lebih 10,000 permohonan diterima untuk memasuki SBP setiap tahun. Hari ini ada lebih sebuah SBP di setiap negeri.

Bagi program persediaan memasuki ke IPT, Malaysia menyediakan pusat matrikulasi dan pusat asasi menyediakan 30,000 tempat bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada 2021, lebih 14,000 pelajar mengikuti program ini sebagai persediaan ke universiti.

Malaysia juga mempunyai institusi pendidikan premier sangat terkenal di seluruh dunia dipanggil Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), menawarkan program pendidikan unggul dan unik. Sebanyak 55 MRSM wujud hari ini menawarkan program pengajian dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima.

MRSM juga mula menawarkan program prauniversiti selepas 50 tahun penubuhannya. Setakat 2022, MRSM berjaya melahirkan lebih 194,000 graduan lepasan SPM dan kelayakan berkaitan serta berjaya masuk ke IPT. Pengambilan masuk pelajar ke MRSM sangat ketat, menekankan tahap kecerdasan tinggi dan potensi pelajar dalam sains, teknologi, keusahawanan dan pemikiran kreatif.

100,000 pelajar mohon MRSM setiap tahun

Pada setiap tahun, lebih 100,000 pelajar memohon memasuki MRSM dan kira-kira 10 peratus sahaja diterima masuk. Pada 2021, seramai 10,209 pelajar diterima masuk, manakala pada 2022, seramai 9,879 orang diterima memasuki MRSM seluruh negara.

Sebagai panduan khusus, 60 peratus kuota pengambilan ke MRSM diperuntukkan kepada anak kumpulan B40, 20 peratus kepada anak kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan 15 peratus kepada kumpulan berpendapatan tinggi (T20) manakala 5.0 peratus khusus untuk pelajar bukan Bumiputera.

Setiap tahun, 10 peratus pengambilan dikhususkan kepada pelajar bukan Bumiputera sehingga kuota 5.0 peratus pelajar bukan Bumiputera dipenuhi daripada jumlah 10,000 pelajar diterima masuk.

Atas faktor ini, kerajaan dan penggubal dasar perlu berhati-hati dalam membuat dasar mengenai pengambilan pelajar masuk ke SBP, MRSM dan Pusat Matrikulasi kerana ia membabitkan kesan jangka pertengahan dan panjang.

Jika kos purata pembelajaran dan sara hidup ialah RM1,000 sebulan untuk 30,000 pelajar, jumlah kos tahunannya hanyalah RM360 juta, hanya kurang 0.01 peratus daripada jumlah belanjawan untuk pendidikan sebanyak RM55 bilion pada 2023.

Usah samakan kumpulan pendapatan tinggi, sederhana

Penggubal dasar perlu lebih teliti melihat kemungkinan kesan jangka panjang. Pertama, kumpulan berpendapatan tinggi adalah mereka berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan. Mereka ini sebenarnya lebih sesuai dikategorikan sebagai kumpulan berpendapatan sederhana berbanding kumpulan 'maha kaya'.

Mereka menyumbang bukan sahaja jumlah cukai agak besar tetapi kemahiran dan kepakaran, tenaga serta sumber daya. Mereka tidak sepatutnya dianaktiri.

Kedua, golongan ini mempunyai kecerdasan dan keupayaan tinggi. Anak mereka juga didedahkan dengan potensi tinggi dalam pendidikan. Mengetepikan mereka daripada peluang memasuki ke institusi pendidikan premier seperti MRSM, Kolej Matrikulasi dan SBP akan menghilang potensi besar keupayaan negara pada masa hadapan.

Apa yang boleh dilakukan ialah membuka program asrama penuh ini termasuk SBP, Kolej Matrikulasi dan MRSM kepada kumpulan berpendapatan tinggi mempunyai anak berpotensi, tetapi membayar yuran penuh bagi membolehkan mereka menjadi sumber modal insan penting negara pada masa depan.

Penulis adalah Provost di Malaysia University of Science and Technology (MUST)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-