Sunday, October 13, 2024

RM5 juta ditemui dalam ‘safe house’ milik ahli politik berpengaruh

kosmo online
Oleh TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI
13 Oktober 2024, 3:09 pm
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjumpai mata wang Singapura, SGD SGD1,529,000 (kira-kira RM5 juta) di sebuah pangsapuri ibu negara semalam, yang dipercayai dijadikan ‘safe house’ seorang ahli politik berpengaruh.

Difahamkan, tindakan itu susulan penahanan dua individu termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkait siasatan skandal rasuah jutaan ringgit berhubung konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan ahli politik yang pernah mempunyai pengaruh di Selangor.

“Seorang suspek mendedahkan kewujudan ‘safe house’ yang bertujuan menyimpan wang hasil rasuah milik seorang ahli politik berpengaruh.

“Penggeledahan dilakukan pada pukul 10 malam semalam di sebuah pangsapuri bertempat di Kuala Lumpur yang disewa oleh seorang ahli perniagaan sebagai tempat penyimpanan wang hasil rasuah yang diperoleh,” katanya.

Sumber berkata, hasil penggeledahan semalam menemui sejumlah wang mata wang Singapura SGD1,529,000 atau bernilai kira-kira RM5 juta.

“Wang disimpan bertujuan untuk kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya. Wang ini sudah disita oleh SPRM bagi siasatan lanjut.

“Dipercayai wang ini diberikan oleh seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan oleh ahli perniagaan ini atas arahan ahli politik berpengaruh berkenaan,” jelasnya.

Jelas sumber lagi, SPRM telah membekukan kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat, termasuk yang dipercayai penyiasat digunakan untuk menyalurkan rasuah.

“SPRM ketika ini sedang menyiasat pembabitan ahli politik berpengaruh itu. Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek tersebut. 

KOSMO! ONLINE.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-