Monday, October 14, 2024

'Saya saman Ahmad Zahid kerana dia menghina saya secara peribadi' - Dr Mahathir

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my
 - Oktober 14, 2024
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan saksi berhubung saman terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau mengemukakan saman fitnah terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu adalah satu pembohongan.

Dr Mahathir yang memberi keterangan sebagai plaintif dalam kes saman terbabit di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata kenyataan Presiden UMNO itu menggambarkan seolah-olah beliau bukan Mahathir Mohamad.

"Saya memfailkan saman ini kerana beliau menghina saya secara peribadi dengan membangkitkan isu 'kutty' yang menyentuh keturunan saya.

"Masyarakat Melayu tidak meletakkan 'anak lelaki' sebaliknya menggunakan perkataan 'bin' pada nama.

"Mana-mana orang bodoh pun akan faham beliau hendak menggambarkan bahawa saya bukan seorang Melayu, dengan menggunakan perkataan 'anak lelaki Iskandar Kutty'.

"Semua kenyataan beliau adalah bohong. Tujuan beliau adalah untuk menunjukkan saya berpura-pura bahawa saya adalah Mahathir Mohamad," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan undang-undang diambil tiga bulan selepas Ahmad Zahid menyamannya pada April 2022.

Ketika disoal balas peguam Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Ahmad Zahid, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' yang didakwa tertera pada kad pengenalan birunya, adalah tidak benar.

Pada prosiding itu, Mohd Shahrul Fazli turut mempertikaikan mengapa Dr Mahathir mengambil masa lima tahun untuk memfailkan saman terhadap Ahmad Zahid.

Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai hak mengemukakan tindakan saman yang didakwa menghinanya kerana masyarakat masih mengingati isu dibangkitkan dan dituturkan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkan beliau kepada rasa tidak puas hati dan dibenci masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Dr Mahathir berkata, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoalkan dan diragui.

Katanya, ia juga difahamkan beliau adalah pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika memegang jawatan awam dan tidak layak menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong bersambung Rabu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-