Sunday, January 26, 2025

'Apabila premis jual arak, yang tak boleh minum jangan belilah' - Kor Ming

bharian.com.my
Oleh Muhamad Lokman Khairi 
bhnews@bh.com.my
- Januari 26, 2025 @ 12:06pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming beramah mesra bersama peniaga pasar, Khoo Kooi Lean ketika lawatan ke Pasar Canning hari ini. - NSTP/ L Manimaran

IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengingatkan semua pihak supaya menghormati hak individu dan tidak menjadikan penjualan arak sebagai isu khususnya menjelang Tahun Baharu Cina.

Ini kerana, katanya perniagaan syarikat arak mempunyai lesen dan operasi mereka tidak menyalahi di sisi undang-undang.

"Apabila (ada) premis jual arak, yang tak boleh (haram) minum jangan belilah.

"Tetapi kita tak boleh larang orang yang boleh minum. Itu hak dia sebab itu (kita perlu) hormat-menghormati," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Pasir Pinji dan lawatan di Pasar Taman Canning di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilapor akan mengkaji pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Dalam pada itu, Kor Ming menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan 'status quo' atau dasar sedia ada berhubung jualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan masing-masing.

"Syarikat (arak) pun syarikat tersenarai awam. Dia juga bayar cukai untuk kita bangunkan negara. Jadi kita harus adil kepada semua," katanya.

Tambah beliau, sekiranya terdapat permintaan komuniti setempat untuk menyekat jualan arak di sesuatu kawasan, PBT akan meneliti dan menilai permintaan terbabit.

Kor Ming berkata, Malaysia kini atas landasan betul dan semua pihak harus fokus memelihara keharmonian.

"Mengapa kita nak bazir masa. Jangan jadikan perkara ini sebagai isu, sebab itu saya sentiasa nasihat kita jangan hilang fokus dengan isu remeh yang tidak membina.

"Apabila kita terjerumus dalam pelbagai isu polemik, ia tidak membantu siapa pun, dia merugikan semua pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-