Showing posts with label Tahun Baharu Cina. Show all posts
Showing posts with label Tahun Baharu Cina. Show all posts

Thursday, January 30, 2025

Semangat 'Pakcu Hassan' berusia 100 tahun rai Tahun Baharu Cina masih utuh

bharian.com.my
Oleh Bernama 
Januari 30, 2025 @ 5:15pm
Tan Ban Sing, 101, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Hassan menyambut Tahun Baharu Cina kali ini bersama anak, cucu, dan cicit. - Foto BERNAMA

MACHANG: Meskipun usianya sudah melebihi seabad namun semangatnya tetap utuh. Tan Ban Sing, 101, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Hassan menyambut Tahun Baharu Cina kali ini dengan penuh kesyukuran kerana dikelilingi anak-anak, cucu, dan cicit.

"Saban tahun, rumah ini kembali hidup. Anak dan cucu berkumpul, berkongsi cerita, bergelak ketawa. Itu sudah cukup membahagiakan saya," katanya yang mempunyai lima anak, 30 cucu dan 10 cicit.

Namun, kemeriahan ini turut disulami kerinduan. Tahun ini kali kedua dia menyambut perayaan tanpa isteri tersayang, Kua Yok Ting yang menghembuskan nafas terakhir pada 2023 di usia 96 tahun.

"Dulu, kami bersama-sama menyambut tetamu. Sekarang, rumah terasa lebih sunyi … tapi saya bersyukur kerana cucu tinggal bersebelahan, sentiasa membantu jika saya perlukan sesuatu," katanya kepada pemberita hari ini.

Walaupun penglihatan dan pendengarannya semakin lemah, langkahnya masih bertenaga dengan menggunakan tongkat dia masih mampu berjalan di sekitar halaman.

Pakcu Hassan bukan sekadar warga emas, tetapi juga saksi kepada keharmonian di kampung yang telah wujud sejak dulu.

"Di sini, semua orang bercakap loghat Kelantan, tak kira bangsa. Kami sudah biasa hidup bercampur gaul," katanya.

Setiap tahun baharu, bukan hanya ahli keluarga yang datang berkunjung malah jiran-jiran Melayu juga turut memeriahkan suasana. Baginya, inilah keindahan hidup di kampung yang tiada jurang, tiada batas.

Ditanya mengenai rahsia panjang umur, dia hanya ketawa kecil.

"Tak ada rahsia besar. Saya minum air kosong, makan ulam dan budu, dan berjalan kaki setiap hari. Dulu saya ada kebun di tepi Sungai Kelantan, kira-kira 300 meter dari rumah. Sekarang kurang bekerja, tapi saya tetap bergerak," katanya.

Baginya, kesihatan bukan sekadar soal makanan atau senaman, tetapi juga ketenangan jiwa.

"Hidup ini jangan dibebani dengan marah atau resah. Kalau ada masalah, bertenang. Itu kunci utama untuk hidup lama," katanya yang loghat Kelantannya masih pekat, seakan menyimpan seribu kisah yang ingin dikongsikan. 

BERNAMA

Wednesday, January 29, 2025

'Walaupun bertukar agama, kami tetap kekalkan tradisi 'makan besar' sempena Tahun Baharu Cina'

bharian.com.my
Oleh Zaid Salim 
bhnews@bharian.com.my
- Januari 29, 2025 
Abdul Halim (duduk empat kiri) dan Nur Khaalishah (duduk enam kiri) bersama keluarga dan rakan pada majlis ‘makan besar' sempena perayaan Tahun Baharu Cina malam tadi. NSTP/ZAID SALIM

KUALA TERENGGANU: Meskipun sudah memeluk Islam, golongan mualaf masyarakat Cina di negeri ini tidak pernah melupakan tradisi 'makan besar' pada setiap kali sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Malah, tradisi turun temurun masyarakat Tionghua itu bukan hanya diraikan mereka, sebaliknya turut menjemput mualaf bangsa lain bagi mewujudkan suasana lebih harmoni dan ukhuwah erat dijalin selama ini.

Bagi Abdul Halim Lim Abdul Rahman, 53, tradisi makan besar dalam kalangan mualaf itu diadakan bagi mengukuhkan hubungan mesra dalam kalangan masyarakat Cina Muslim yang bermastautin di negeri ini.

"Majlis ini diadakan kerana kita mahu masyarakat luar melihat meskipun sudah bertukar agama, kami tetap meraikan perayaan (Tahun Baharu Cina) bersama keluarga.

"Kami meraikannya dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak dengan tidak mencampuradukkan rutin agama yang tidak dibenarkan dalam Islam," katanya selepas meraikan tradisi 'makan besar' bersama keluarga dan rakan mualaf di sebuah restoran, di sini, malam tadi.

Abdul Halim yang bertugas sebagai pegawai di Unit Korporat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, berkata acara berkenaan turut diraikan bersama isteri, anak dan ahli keluarga lain yang teruja dan menghormati tradisi nenek moyang mereka meskipun berbeza agama.

Sementara itu, Nur Khaalishah Shandlaysnie, 38, pula berkata, selepas memeluk Islam pada 2018, setiap tahun dia meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dan tradisi 'makan besar' bersama rakan mualaf daripada pelbagai bangsa.

Beliau yang berumahtangga dengan lelaki tempatan, berkata acara 'makan besar' yang menjadi tradisi masyarakat Tionghua setiap kali menyambut perayaan Tahun Baharu Cina memberi kesan mendalam dalam dirinya terutama dalam menjalinkan ukhuwah dalam kalangan mualaf.

"Saya berhijrah ke Terengganu pada 2017 dan memeluk Islam setahun kemudian. Dengan menyertai tradisi 'makan besar' bersama rakan mualaf, ia banyak membantu saya menyesuaikan diri, selain mempelajari banyak perkara berkaitan Islam.

"Dalam kalangan mualaf, ramai yang arif dan bergelar ustaz, menerusi tradisi ini (makan besar), saya boleh belajar banyak perkara baharu daripada mereka berhunung Islam," katanya yang berasal dari Sarawak.

Nur Khaalishah berkata, walaupun sudah berbeza agama, hubungan keluarga yang masih beragama asal tidak pernah renggang.

Malah, beliau berkata, perbezaan agama dapat menguatkan lagi hubungan keluarga yang merestui keputusannya memilih Islam sebagai agama baharu.

"Keluarga di Sarawak meraikan perayaan Krismas dan setiap kali tiba perayaan, saya dan suami akan pulang ke Sarawak meraikan perayaan itu bersama keluarga," katanya.

Keharmonian menjamin kekuatan - PM

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 29, 2025 10:44 AM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap sambutan Tahun Baharu Cina menjadi satu titik permulaan baru dan segar untuk terus memperkukuh semangat kebersamaan dan kekeluargaan demi negara.

“Dalam semangat menyambut perayaan besar bagi kaum Cina yakni Tahun Baharu Cina, kita kembali diingatkan oleh Confucius yang menekankan betapa keharmonian menjamin kekuatan.

“Lantas, falsafah kenegaraan ini bertepatan dalam menjelmakan sebuah tatanan (sistem) yang MADANI, yang menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi sambil memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, Gong Xi Fa Cai kepada seluruh kaum Cina,” kata Perdana Menteri menerusi hantarandi Facebook malam tadi.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, dalam perutusannya meminta rakyat Malaysia agar menghayati semangat perpaduan dan memupuk rasa saling menghormati.

"Semoga perayaan ini menjadi detik bermakna untuk kita terus menanam nilai saling menghormati dan membina sebuah Malaysia yang lebih makmuar dan harmoni.

"Selamat menyambut Tahun Baru Cina 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya” katanya.

Begitu juga, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof turut menyeru orang ramai agar menyambut Tahun Baharu Cina dengan kegembiraan, muhibah, toleransi, dan kasih sayang dalam kalangan keluarga serta rakan-rakan.

“Semoga perayaan Tahun Ular ini mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dan perpaduan di kalangan kita, serta membawa kebahagiaan yang melimpah, rezeki yang bertambah dan kejayaan kepada semua,” tambahnya.

Tuesday, January 28, 2025

Tahun Baharu Cina pupuk perpaduan rakyat pelbagai kaum – PM

Oleh KOSMO!
28 Januari 2025, 10:49 pm

Perdana Menteri DS Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA – Tahun Baharu Cina seharusnya dijadikan satu titik permulaan baharu dan segar untuk terus memperkukuh semangat kebersamaan dan kekeluargaan demi negara.

Menerusi hantaran Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Tahun Baharu Cina, beliau memetik penekanan oleh seorang ahli falsafah agung dari China berhubung keharmonian.

“Dalam semangat menyambut perayaan besar bagi kaum Cina iaitu Tahun Baharu Cina, kita kembali diingatkan oleh Confucius yang menekankan betapa keharmonian menjamin kekuatan.

“Lantas, falsafah kenegaraan ini bertepatan dalam menjelmakan sebuah tatanan yang madani, menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi sambil memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada seluruh kaum Cina di negara ini. 

KOSMO! ONLINE

Sunday, January 26, 2025

Pelbagai kaum makan budu dalam pinggan sama

harakahdaily
January 26, 2025
Di Kelantan

KOTA BHARU: Kelantan terus menjadi contoh negeri yang memupuk perpaduan harmoni antara kaum apabila mereka seumpama ‘bersaudara’.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, sejarah membuktikan tidak pernah berlaku perbalahan kaum di Kelantan sehingga berlaku perkara tidak diingini sebagaimana berlaku di negeri lain.

“Ini adalah keistimewaan yang kita miliki, dan ia bukan sekadar kata-kata,” tegasnya ketika berucap merasmikan Majlis Malam Kebudayaan Tahun Baharu Cina 2025 di AEON Mall Kota Bharu malam tadi.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Antara Kaum Negeri, Zamakhshari Muhamad

Menurut beliau, kemakmuran masyarakat pelbagai kaum di Kelantan bukan sahaja dapat dilihat dalam kehidupan harian, tetapi juga dalam tradisi sambutan perayaan yang melibatkan pelbagai agama dan bangsa.

“Di Kelantan, kita tidak melihat perbezaan kaum, agama, atau tradisi sebagai punca perpecahan. Sebaliknya, ia menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan dan silaturrahim antara semua,” katanya.

Beliau menambah bahawa perpaduan erat ini menjadikan masyarakat Kelantan hidup sebagai sebuah keluarga besar, tidak kira bangsa dan agama.

“Bahkan, sambutan Aidilfitri di negeri ini sering dihadiri oleh masyarakat pelbagai kaum yang mempunyai masyarakat Melayu, Cina, India, Siam dan lain-lain bangsa sebagai tanda perpaduan sejati,” katanya.

Sambungnya, kehidupan bermasyarakat terus ditonjol ketika makan tengahari bersama-sama terutama ketika menikmati menu masakan kampung.

“Nak cari di negeri mana seperti di Kelantan, orang Melayu, Cina, India dan Siam petak budu dalam pinggan yang sama ketika menikmati hidangan tengah hari.

“Saya rasa tidak jumpa di negeri lain, tetapi di Kelantan inilah yang berlaku, mu (kau) picit lada dalam budu, aku petak sama dan makan,” ujarnya sambil disambut sorakan para hadirin yang hadir.

Dato’ Nassuruddin turut menyeru agar budaya harmoni ini terus dipertahankan.

“Hidupkan budaya yang berbeza ini, dan saya yakin Kelantan akan menjadi lebih makmur. Kita mahu perpaduan ini kekal dan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menekankan bahawa hubungan erat antara kaum di Kelantan adalah asas utama untuk membina negeri yang lebih sejahtera dan bersatu. 

HARAKAHDAILY 26/1/2025

'Apabila premis jual arak, yang tak boleh minum jangan belilah' - Kor Ming

bharian.com.my
Oleh Muhamad Lokman Khairi 
bhnews@bh.com.my
- Januari 26, 2025 @ 12:06pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming beramah mesra bersama peniaga pasar, Khoo Kooi Lean ketika lawatan ke Pasar Canning hari ini. - NSTP/ L Manimaran

IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengingatkan semua pihak supaya menghormati hak individu dan tidak menjadikan penjualan arak sebagai isu khususnya menjelang Tahun Baharu Cina.

Ini kerana, katanya perniagaan syarikat arak mempunyai lesen dan operasi mereka tidak menyalahi di sisi undang-undang.

"Apabila (ada) premis jual arak, yang tak boleh (haram) minum jangan belilah.

"Tetapi kita tak boleh larang orang yang boleh minum. Itu hak dia sebab itu (kita perlu) hormat-menghormati," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Pasir Pinji dan lawatan di Pasar Taman Canning di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilapor akan mengkaji pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Dalam pada itu, Kor Ming menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan 'status quo' atau dasar sedia ada berhubung jualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan masing-masing.

"Syarikat (arak) pun syarikat tersenarai awam. Dia juga bayar cukai untuk kita bangunkan negara. Jadi kita harus adil kepada semua," katanya.

Tambah beliau, sekiranya terdapat permintaan komuniti setempat untuk menyekat jualan arak di sesuatu kawasan, PBT akan meneliti dan menilai permintaan terbabit.

Kor Ming berkata, Malaysia kini atas landasan betul dan semua pihak harus fokus memelihara keharmonian.

"Mengapa kita nak bazir masa. Jangan jadikan perkara ini sebagai isu, sebab itu saya sentiasa nasihat kita jangan hilang fokus dengan isu remeh yang tidak membina.

"Apabila kita terjerumus dalam pelbagai isu polemik, ia tidak membantu siapa pun, dia merugikan semua pihak," katanya.

'Tahun ini tidak lagi dengar rungutan tiket mahal' - Loke

hmetro.com.my
BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook beramah mesra bersama penumpang semasa majlis pelepasan penumpang penerbangan lewat malam dengan tambang tetap pertama Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Tawau dan Sandakan untuk sambutan Tahun Baharu Cina, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam ini. FOTO BERNAMA

Sepang: Langkah kerajaan melanjutkan pemberian subsidi bagi menjayakan inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum pada musim perayaan, berjaya mengurangkan rungutan rakyat mengenai harga tiket penerbangan yang mahal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kejayaan itu terbukti setelah setahun kerajaan MADANI melaksanakan pemberian subsidi sempena musim perayaan di negara ini.

"Tahun ini kita tidak lagi dengar rungutan di media sosial tentang tiket mahal seperti RM2,000 untuk balik Tawau atau Sandakan. Semuanya terkawal dan ramai yang mengambil peluang dengan tambang tetap ini.

"Setelah setahun kita melaksanakan dasar menetapkan kadar tambang tetap atau tambang maksimum, kita dapat lihat hasilnya. Harga tiket dapat dikawal dan tiada lagi aduan harga tiket (penerbangan) melambung seperti sebelum ini," katanya.

Loke berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan penerbangan tambahan Malaysia Airlines (MAS) ke Tawau dan Sandakan, Sabah sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarbangsa (KLIA) Terminal 1 (T1) di sini hari ini.

Loke berkata walaupun kerajaan menetapkan kadar tambang penerbangan maksimum berjumlah RM499 pada musim perayaan, namun terdapat syarikat penerbangan yang menawarkan harga lebih rendah.

"Ada syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap serendah RM300 bagi penerbangan khas waktu malam. Usaha ini membuktikan intervensi kerajaan berjaya meringankan beban rakyat," katanya.

Mengenai sambutan rakyat terhadap inisiatif itu, Loke berkata keputusan kerajaan melanjutkan pemberian subsidi adalah tepat, kerana mendapat sambutan menggalakkan dengan kapasiti tempat duduk dalam pesawat mencecah 95 peratus.

"Ini termasuk bagi penerbangan balik dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur. Selain MAS, syarikat penerbangan lain seperti AirAsia dan Batik Air turut menambah penerbangan untuk memenuhi permintaan tinggi sepanjang musim perayaan ini," katanya.

MAS sebelum ini mengumumkan 102 penerbangan tambahan pada waktu malam, menjadikan jumlah keseluruhan 219 penerbangan mingguan sepanjang musim perayaan ini.

MAS menawarkan tambang tetap sehala bermula RM349 ke Sabah dan Sarawak.

Friday, February 16, 2018

Keceriaan rakyat tanda kemakmuran negara - PM



Oleh Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berharap sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini bakal membawa tuah kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri berkata, iringan doa daripada rakyat kepada BN diharap mampu mengekalkan kerajaan untuk terus memimpin negara.

"Mudah-mudahan, kita doalah tahun baharu lunar ini akan memberi sesuatu keputusan yang sangat memberangsangkan kepada kerajaan," katanya ketika ditemubual TV3 pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2018 anjuran MCA di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan barisan pimpinan kanan MCA menggaul hidangan Yee Sang ketika hadir pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam; Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas.

Mengulas mengenai kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma MCA tahun ini, Najib berkata keceriaan rakyat itu adalah terjemahan daripada keadaan ekonomi negara yang semakin berkembang.

"Saya lihat suasana hari ini pada tahun ini meriah, barangkali kerana rasa keceriaan rakyat dalam ekonomi berkembang 5.9 peratus tahun lalu.

"Saham pun dah naik, ringgit pun lebih kukuh dan keyakinan terhadap masa depan negara kita semakin menyerlah. Maka sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini sy saya kira disambut dalam suasana ceria dan sangat meriah," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan barisan pimpinan kanan MCA ketika hadir pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Saturday, January 16, 2016

NAJIB EDAR SAMPUL ANGPAU 'AH JIB GOR' PERCUMA SEMPENA TAHUN BARU CINA

by ARIANNA2016-01-16

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengedarkan sampul angpau secara percuma sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Cina pada 8 Februari ini.

“Sambutan Tahun Baharu Cina akan tiba tidak lama lagi, kami akan mengedarkan sampul angpau ‘Ah Jib Gor’ edisi khas secara percuma kepada peminat-peminat,” menurut kenyataan berbahasa Mandarin yang disiarkan melalui laman Facebook ‘Ah Jib Gor’.

Menurut laman web Facebook “Ah Jib Gor”, peminat-peminat hanya perlu tekan “Like” pada laman itu dan mengisi butiran peribadi seperti alamat rumah, nama penuh dan nombor telefon masing-masing menerusi pautan:
https://www.facebook.com/ahjibgor/app_161683100556760.

Sampul angpau itu berwarna merah dan memaparkan karikatur Najib dengan berbaju tradisional Cina serta karakter kartun monyet yang dicetak perkataan “Selamat Menyambut Tahun Monyet’ dalam warna emas.

Setiap peket mengandungi 10 keping sampul angpau dan akan diedarkan sementara stok masih ada, menurut laman web itu.

Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Monyet Api pada 8 Februari ini.

“Ah Jib Gor” merupakan Facebook perdana menteri dalam bahasa Mandarin, mula beroperasi sejak 16 Jan 2012 sebagai satu lagi platform untuk mendekati masyarakat dengan lebih meluas menerusi laman sosial.

“Ah Jib Gor” yang bermaksud “Abang Najib” dalam bahasa Mandarin, diwujudkan untuk memberikan satu lagi forum kepada pengguna media sosial berbahasa Mandarin.

– Bernama

Thursday, February 12, 2015

Ismail bertemu Presiden MCA sebelum Tahun Baharu Cina

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi menjelaskan kenyataannya berhubung peniaga yang enggan menurunkan harga barang.

Ismail Sabri berkata pertemuan itu dijangka diadakan sebelum Tahun Baharu Cina bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat kenyataan pada Jumaat lepas tentang perlunya peniaga tanpa mengira kaum menurunkan harga barang seiring dengan pengurangan kos berikutan penurunan harga minyak, isu itu masih dilihat belum selesai.

Ismail Sabri berkata MCA perlu berhenti mempolemikkan isu itu kerana ia tidak mendatangkan keuntungan kepada Barisan Nasional (BN).

"Kalau MCA attack (serang) saya, orang Umno akan terasa, kerana saya merupakan pemimpin Umno," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Gen Y (Generasi Y) yang julung kali dianjurkan Yayasan Pertanian Belia Malaysia (YPBM) dengan kerjasama Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia, termasuk Kelab Umno Luar Negara di sini Rabu malam.

Generasi Y ialah pelajar institusi pegajian tinggi dalam dan luar negara.

Kira-kira 100 orang pelajar menyertai program santai 'You Tanya, I Jawab' itu, yang membuka peluang kepada para belia untuk mendekati Ismail Sabri secara terus untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu semasa. - Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-